SEORANG pelajar Tingkatan 1 dilapor telah dicekik rakannya gara-gara berebut tempat duduk dalam kejadian di sebuah sekolah di Cheras, April lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Rosdi Daud memaklumkan telah menerima laporan berhubung kes gangguan fizikal itu pada 16 Aril lalu.
Menurut beliau, insiden tersebut telah berlaku di hadapan koperasi sekolah berkenaan.
Rosdi berkata, ia berpunca daripada perselisihan faham berkaitan tempat duduk di kantin antara mangsa dengan suspek yang juga pelajar Tingkatan 1.
“Suspek dipercayai telah bertindak mencekik leher mangsa dari arah belakang serta melakukan provokasi lisan.
“Mangsa telah dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras untuk mendapatkan rawatan pada hari yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Rosdi berkata, pihak sekolah telah mengambil tindakan terhadap suspek selepas satu mesyuarat jawatankuasa melibatkan polis, pihak sekolah dan penjaga diadakan pada 20 April lalu.
“Suspek telah dikenakan hukuman amaran serta digantung sekolah oleh pihak pengurusan sekolah.
“Polis menasihatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menyerahkan sepenuhnya kes kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

