KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) membenarkan suami atau ahli keluarga untuk menemani ibu hamil semasa bersalin mulai 4 Oktober ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kebenaran itu berdasarkan kriteria ditetapkan termasuk suami atau ahli keluarga terdekat itu telah menerima dos vaksin lengkap COVID-19.
Kata beliau, dos lengkap itu meliputi 14 hari selepas dos kedua bagi vaksin jenis dua dos iaitu Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca atau 28 hari selepas menerima vaksin jenis satu dos seperti CanSino dan Johnson & Johnson.
Selain itu, Dr. Noor Hisham berkata, ahli keluarga terdekat juga perlu menjalani ujian pengesanan COVID-19 di mana-mana fasiliti kesihatan atau makmal swasta dalam tempoh 72 jam dengan keputusan ujian hendaklah dibawa bersama sebelum menemani ibu hamil di wad bersalin.
Menurut beliau, suami atau ahli keluarga terdekat juga perlu mengehadkan pergerakan mereka selepas menjalani ujian RT-PCR atau RTK-Antigen.
“Ahli keluarga terdekat juga boleh membeli kit ujian kendiri yang telah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dan membawanya ke hospital bagi menjalani ujian di tempat saringan disediakan hospital dengan dipantau dan disahkan oleh anggota kesihatan yang bertugas.
“Selain itu, suami dan ahli keluarga terdekat yang menemani ibu hamil ini juga diingatkan untuk sentiasa mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang menemani ibu hamil ini.
Baca artikel berkaitan: Suami boleh temani isteri dalam wad bersalin tapi
“Ini kerana mereka merupakan golongan berisiko tinggi yang perlu sentiasa dilindungi dengan KKM berharap masyarakat terutama ibu hamil serta suami dan keluarga dapat mengambil manfaat daripada kemudahan yang telah diberikan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham berkata, surat arahan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) bertarikh 28 September mengenai pelaksanaan inisiatif ini telah diedarkan kepada semua Pengarah Kesihatan Negeri untuk pelaksanaan mulai 4 Oktober.
Katanya, ia bagi memberi ruang kepada pihak hospital untuk menjalankan persediaan yang diperlukan.
“Semua hospital KKM merupakan Hospital Rakan Bayi dengan inisiatif ini menggalakkan sama ada suami atau pun ahli keluarga terdekat untuk menemani isteri semasa proses kelahiran.
“Ini adalah kerana proses kelahiran memerlukan sokongan yang kuat dari aspek emosi dan fizikal.
“Inisiatif ini juga bergantung kepada polisi di setiap hospital dengan mengambil kira aspek keselamatan, privasi pesakit serta situasi semasa dalam bilik bersalin,” jelas beliau.
Isnin lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam ciapan di Twitter memaklumkan telah meminta Dr. Noor Hisham untuk mengeluarkan kebenaran kepada suami menemani isteri masing-masing yang akan melahirkan anak dalam wad bersalin hospital kerajaan.
Khairy bagaimanapun berkata, suami yang mahu menemani isteri masing-masing perlulah lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19 selain perlu menjalani ujian saringan dan disahkan negatif.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

