PENYANYI wanita cantik molek yang berasal dari Kulim, Kedah, dan merupakan Juara Yippi Star Quest 2020, Siti Nurmasyitah Mohd. Yusoff atau lebih mesra dengan sapaan Masya Masyitah tampil dengan single terbaharu berjudul Remuk yang merupakan versi Bahasa Melayu buat single terdahulunya dalam Bahasa Mandarin iaitu Jiu Meng Xin Su.

“Alhamdulillah, baru tiga bulan Jiu Meng Xin Su dilancarkan, penerimaan terhadap single solo Mandarin pertama Sya ternyata membuahkan hasil. Rata-rata, ramai yang mahukan Sya menyanyikannya dalam Bahasa Melayu pula.

“Pihak pengurusan iaitu Rocketfuel Entertainment mengambil keputusan untuk merakamkannya semula dalam Bahasa Melayu maka terlahirlah Remuk,” katanya.

Seperti yang semua sedia maklum, Remuk atau Jiu Meng Xin Su merupakan ciptaan istimewa oleh penulis lirik dan komposer muzik hebat tempatan, Kai Kai dan dihasilkan bersama oleh produser terkenal, Ong Peng Chu dalam genre slow rock.

“Liriknya pada kali ini diolah dengan jalan cerita yang berbeza namun dengan pengakhiran yang menyayat hati oleh penulis lirik terkemuka negara, saudara Siso dengan produser berpengalaman, Sharon Paul.

“Dalam Remuk, ia menceritakan tentang perasaan seorang isteri yang dinikahi suaminya tanpa perasaan cinta. Sang suami menghawini isterinya kerana perasaan ego yang menebal dengan tidak mengendahkan perasaan sang isteri.

“Akan tetapi, sang isteri tetap cuba mendekati sang suami hari demi hari, akhirnya terpaksa akur dan memendam perasaan, ibarat terjerat dalam sangkar emas tanpa sekelumit rasa bahagia.

“Hati Sya terus terpaut apabila mendengar demo lagu asal ditambah dengan jalan ceritanya yang menyentuh hati. Abang Feros yang membuat keputusan agar pihak RocketFuel Entertainment menerbitkan lagu ini dan dia jugalah yang bertanggungjawab mencadangkan agar lagu ini dinyanyikan semula dalam Bahasa Melayu.

“Harapan Sya adalah agar single Remuk mendapat sambutan ramai sebagaimana single yang terdahulu, dan Sya juga masih berharap jika ada peluang dan rezeki, hasil karya Sya dapat menembusi pasaran negara China pada satu hari nanti,” ujarnya.

Lagu ‘Remuk’ boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer, manakala video muzik (MV) single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di YouTube RocketFuel Network.