PADA pagi 15 Januari 1947, seorang suri rumah, Betty Bersinger menjumpai sekujur mayat wanita muda ketika sedang bersiar-siar bersama-sama anaknya yang berumur tiga tahun di kawasan lapang berdekatan sebuah taman di Liemert Park, Los Angeles, Amerika Syarikat.
Mayat tersebut ditemui terbaring di dalam semak. Tubuhnya dikerat dua, terpisah dari bahagian pinggang tanpa seurat benang. Manakala kedua-dua belah tangannya diletakkan di bawah kepala seolah-olah seperti sedang beraksi dalam sesi fotografi.

Kepala mayat mendongak setinggi 45 darjah. Wajahnya dikelar-kelar dari hujung bibir hingga pipi sepanjang lima sentimeter. Terdapat kesan kelaran juga pada paha dan dada mangsa, selain lebam pada bahagian buku lali.
Kedua-dua belah kakinya terkangkang. Pada pergelangan tangan mangsa terdapat kesan tali dipercayai mangsa diikat dan dibelasah sebelum dibunuh. Di bahagian paha mayat kelihatan torehan jelas susunan abjad ‘BD’.
Dua detektif, Harry Hansen dan Finis Brown dikerah untuk merungkai kes ini. Bahagian forensik bertungkus-lumus mencari bahan bukti seperti darah dan cap jari tetapi hampa. Pihak polis membuat andaian, mangsa telah dibunuh sebelum dicampak ke situ.
Lebih merumitkan, struktur badan mangsa yang terbelah dua itu telah pun dicuci sebelum dihumban ke taman berkenaan.
Selain itu, polis turut membuat andaian pembunuh adalah seorang yang pakar membuat kerja-kerja pemotongan. Mangsa dibawa ke hospital dan dibedah siasat.
Mangsa dicam dan dikenali sebagai Elizabeth Short, berusia 23 tahun, dilahirkan pada 29 Julai 1924 di Boston dan membesar di Massachussette.

Pada tahun 1940-an, hubungan media dan polis begitu akrab. Pihak polis menggunakan bantuan alatan pembesar cap jari daripada akhbar. Secara tidak langsung, akhbar menerima maklumat tunjang daripada pihak polis tentang kes ini dan peluang tersebut dijadikan sebagai scoop berita untuk mensensasikan pembunuhan ini.
Akhbar Examiner menggunakan kelebihan ini untuk menjejaki ibu kepada Elizabeth dan mendapatkan maklumat lanjut semasa hayatnya. Untuk mengorek rahsia, pihak akhbar terlebih dahulu memberitahu ibunya yang Elizabeth baru saja memenangi peraduan ratu cantik.
Selepas ibunya selesai bercerita tentang anaknya, barulah pihak akhbar memberi perkhabaran tragis yang menimpa anak gadisnya itu.
‘Kecantikan Seks & Kekejaman’ – begitulah tajuk berita yang terpampang pada dada-dada akhbar di seluruh negara keesokan harinya.

Siasatan demi siasatan dijalankan untuk mencari pembunuh gadis cantik ini. Apakah motif pembunuhan?
Pihak polis masih buntu. Setelah menyiasat, barulah satu demi satu kisah Black Dahlia didedahkan.
Black Dahlia merupakan nama jolokan Elizabeth Short, seorang gadis kampung yang berhijrah ke Hollywood untuk menjadi anak wayang. Dia tinggal dengan bapanya di restoran California dan bekerja sebagai pelayan. Namun selepas beberapa bulan tinggal dengan bapanya, Short keluar dari rumah selepas berlaku pertengkaran antara mereka.

Lampu neon kota Hollywood dan tubuh yang cantik menjadikan gadis ini lupa diri dan mula berpeleseran, berfoya-foya di kelab-kelab malam untuk berhibur dan menghabiskan wang jantan-jantan yang dikenalinya.
Susuk tubuhnya seakan seorang wanita yang matang dengan kulit putih mulus menjadikan gadis ini kegilaan lelaki-lelaki hidung belang di kelab-kelab malam.
Elizabeth diberi jolokan Black Dahlia kerana gadis ini dikatakan sering mengenakan busana berwarna hitam. Rambut asal yang berwarna perang juga diwarnakan hitam.
Ada juga versi yang mengatakan nama timangan Black Dahlia itu didapati daripada permainan perkataan di dalam filem ‘The Blue Dahlia’. Lalu nama timangan ini digunakan oleh para wartawan semasa menulis tentang kes pembunuhan gadis ini.
Dikatakan pada penghujung tahun 1944, Short menghentikan tabiat playgirlnya selepas bertemu cinta dengan Matthew Gordon, seorang tentera udara berpangkat mejar. Tetapi pada bulan Ogos 1945, Matthew yang bertugas dilaporkan terbunuh dalam nahas kapal terbang.

Selepas kematian cintanya, Short kembali menjadi semakin liar dan hilang arah tuju. Dia merancakkan semula kehidupan di kelab-kelab malam dan menghabiskan wang jantan-jantan miang di Miami.
Sasarannya, askar, ahli perniagaan, lelaki tua atau muda, yang penting mereka semua berduit. Enam bulan sebelum hari-hari terakhirnya, Short hilang punca dalam hidupnya. Dia keluar masuk hotel, apartmen dan bilik-bilik sewa di California, selagi dapat menginap secara percuma. Pernah gadis ini tinggal di sebuah rumah bersama 12 wanita lain.
Antara kisah yang dikatakan, Short sering bertukar pasangan setiap malam. Selain tidak mempunyai teman rapat, dia rela diusung orang- orang asing ke hulu ke hilir. Situasi ini merumitkan pihak polis membuat siasatan terhadap kematiannya.

Lebih seribu orang disoal siasat dan berpuluh-puluh suspek ditahan, tetapi tiada satu pun yang dapat merungkaikan kes ini. Individu terakhir yang dikatakan bersama dengan Black Dahlia turut disoal siasat serta menjadi suspek utama polis.
Malangnya, tiada satu pun bukti dapat mengaitkan Robert Manley sebagai pembunuh kerana beliau hanyalah salah seorang jantan-jantan poyo yang mahu berasmara dengan Black Dahlia.
Lebih 40 anggota dikerahkan untuk membantu siasatan kes ini. Polis menyerbu beberapa buah rumah yang disyaki untuk mencari bahan bukti. Parit-parit besar, kedai dobi layan diri, tong-tong sampah digeledah namun usaha ini gagal.
Apabila kes ini seakan tidak berpenghujung, pada 23 Januari 1947, akhbar Examiner dikejutkan dengan satu panggilan yang mendakwa dirinya ialah pembunuh Short.
Keesokan harinya, akhbar itu menerima satu bungkusan yang memuatkan gambar-gambar Short, sijil kelahirannya, kad keselamatan sosial, surat pengesahan kematian kekasihnya, Matt Gordon serta petunjuk baru, 75 nama lelaki lengkap bersama alamat. Pengirimnya, tidak diketahui.
Polis segera memanggil dan menyiasat kesemua 75 orang lelaki tersebut, namun usaha ini turut gagal serta menemui jalan buntu. Deretan nama lelaki-lelaki ini hanyalah beberapa kali saja menemui Short. Tiada motif dapat dibuktikan untuk membawa mereka ke muka pengadilan.
Akhirnya, kes Black Dahlia ini tiada berpenghujung. Tidak ada lagi pihak yang tampil untuk membantu siasatan melainkan beratus-ratus surat cemuhan dan usikan yang dihantar kepada jabatan polis Los Angeles.

Kes Black Dahlia telah menjadi inspirasi kepada berpuluh-puluh novel, pembuat filem dan memberi inspirasi kumpulan muzik, tetapi malangnya pembunuh Black Dahlia masih bebas sehinggalah sekarang atau mungkin juga sudah lama menemui ajalnya tanpa diadili undang-undang.
________
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam

