Kerana dail nombor pelik pada tiang itu, gadis bernama Menora muncul…

Dari Penulis

INI pengalaman misteri yang aku lalui semasa berusia 17 tahun. Dah lama kejadian ni, lebih 10 tahun lalu, tapi aku tetap ingat sampai sekarang.

Ketika itu, aku tinggal di Alor Setar, Kedah. Aku ada kawan baik, sama baya. Seorang dipanggil Ijo dan seorang lagi Mad. Member aku yang nama Mad ni memang tak boleh blah, jenis kepala masuk air dan lurus bendul orangnya.

Suatu malam hujung minggu, Mad ajak kami melepak di Taman Rimba. Orang sekitar Alor Star mesti tau taman tu. Dulu waktu petang, ramai orang beriadah di situ.

Ketika Mad ajak ke situ, jam dah hampir pukul 12.00 malam. Saja Mad ajak melepak untuk skodeng pasangan yang asyik bercanda ria di taman itu. Biasalah, budak-budak remaja nakal macam kami, faham-faham je lah…

Kebetulan malam tu bosan, tak ada apa yang dibuat. Jadi, aku dengan Ijo setuju dengan idea Mad. Lagi pun, Mad ada kereta dan dia yang memandu.

Sampai di taman, Mad memandu sambil berlegar-legar di kawasan taman itu. Puas kami mengintai, tapi hampa. Tak ada satu pun pasangan yang boleh di skodeng tengah malam itu.

Kemudian, Mad berhentikan kereta. Kami keluar dan berdiri di tepi sebatang tiang tak jauh dari kereta sambil hisap rokok (jangan tiru perangai ni tau, tak baik..he he he).

Sambil dok hembus asap berkepul-kepul tu, Ijo terpandang tulisan pada tiang tu.

“Malam ni confirm ada awek datang. Korang tengok kat tiang ni, apa dia tulis? Awek kegersangan sila hubungi 011-456******,” kata Ijo sambil membaca tulisan pada tiang tu.

Masa Ijo baca, aku pun pandang sekali nombor yang tertulis pada tiang tu. Aku hairan kejap, kenapa nombor yang ditulis dengan cat merah tu panjang sangat? Ada 12 digit nombor. Kalau nombor biasa, tidak sepanjang itu.

Ijo suruh Mad dail nombor pada tiang tu. Disebabkan bosan tak tau nak buat apa, Mad pun setuju. Kami masuk semula dalam kereta dan berpakat macam mana nak berikan ayat untuk Mad guna pakai bila dia telefon nombor tu.

Mad dan Ijo duduk di depan, aku pula duduk di bahagian belakang. Mula-mula Mad call, dua kali nombor itu gagal dihubungi. Masa itu hati aku dah terdetik, memang lah tak dapat sebab nombor tu terlebih dari yang biasa. Tapi, aku diam je, malas nak kasi spoil member tu.

Selepas beberapa kali mendail, tiba-tiba ada nada dering. Tak lama kemudian, dengar suara seorang gadis menyahut panggilan Mad. Suara gadis itu, perghhh! Lembut dan manja sangat.

Mad apa lagi, terus mula bertanya, nama siapa?  Gadis itu jawab – Menora.

Duduk mana? Gadis itu jawab – Taman Golf.

Tengah buat apa? Gadis itu jawab – Tak de apa, tengah bosan.

Perbualan makin rancak. Gadis itu menjawab lembut sambil tergelak manja. Terus Mad tanya, kalau nak jumpa boleh? Apa kata kami datang ambil? Tapi, gadis itu menolak. Katanya, tak perlu. Dia ada di luar.

Mad beritahu, kami ada di Taman Rimba, bosan tak tahu nak buat apa. Boleh jumpa tak di situ? Sambil tergelak manja, gadis bernama Menora itu jawab, boleh!

“Tunggu saya datang. Kejap lagi sampai,” macam tu lah kata gadis tu. Sebenarnya, aku hairan juga. Takkan gadis itu sanggup datang seorang diri ke taman itu, waktu pagi buta begitu. Dia naik apa? Selalunya perempuan mesti lagi suka kalau lelaki yang datang ambil, bukan? Pelik, tapi aku diamkan saja.

Lebih kurang 15 minit menunggu di dalam kereta, kami tak nampak kelibat sesiapa. Mad telefon semula nombor tadi. Laju gadis itu menjawab panggilan Mad. Dia beritahu sudah sampai di taman itu. Puas aku dan Ijo menjenguk dari dalam kereta. Kami jenguk dari depan, tepi dan belakang kereta, tapi tak nampak bayang sesiapa pun.

Mad pun tanya pada gadis itu, mana awak? Bila gadis itu jawab pertanyaan Mad, aku dan Ijo mula ketakutan. Kata gadis itu, “Saya dah lama sampai, ada atas bumbung kereta awak ni!”

Fuhh! Masa tu aku dah meremang. Aku tengok jam, dah dekat pukul 2.00 pagi. Aku dan Ijo dah rasa lain macam. Tapi Mad ni lurus bendul orangnya. Bila gadis tu kata dia ada atas bumbung kereta, dengan selambanya Mad ni jengukkan kepalanya keluar melalui tingkap kereta dan melihat ke atas bumbung kereta.

Sambil dia jenguk kepala tu, sambil tu Mad spontan berkata, “Eh, ya ke? Dah sampai? Mana?”

Lebih kurang lima saat Mad jengukkan kepala melihat ke atas bumbung keretanya. Lepas tu, Mad masuk semula dalam kereta. Masa tu, wajah Mad dah tak senyum lagi. Pucat lesi!

Masa tu, aku dan Ijo pun tak terkata apa. Kami bertiga masing-masing diam membisu macam patung dalam kereta tu. Tiba-tiba…

BAMM! BAMM! BAMM!

Kereta Mad bagai diketuk sesuatu yang kuat berulang kali. Kami terkejut. Ijo pula menjerit ketakutan, hilang terus sifat jantan.

Kami dah panik. Ditambah dengan ketakutan melampau hingga Mad menggigil nak menghidupkan keretanya wira ropongnya itu. Panik punya fasal, habis palang plastik oren di tepi jalan Mad langgar dan redah malam itu. Punya laju Mad pandu dalam ketakutan hingga dia tak tahu ke mana arah tuju.

Selepas agak jauh dari taman itu, aku pegang bahu Mad dari belakang. Aku kata, “Mad, dah..slow sikit. Kita cari tempat minum dulu.”

Kami berhenti di sebuah restoran. Kami duduk, pesan air. Sambil tu aku dan Ijo tertunggu-tunggu bila Mad nak buka cerita apa yang dia nampak sebenarnya di atas bumbung kereta tadi. Kami tak berani nak tanya selagi Mad tak buka mulut.

Tapi, lain pula jadinya. Mad yang mula-mula diam mula berubah perangai. Dia mula cakap seorang diri tak tentu hala, lepas tu pergi tandas sambil berlari-lari. Bukan hanya kami, pelanggan lain yang tengok perangai Mad pun rasa pelik.

Arghhh, sudah! Ini mesti Mad dah ‘terkena’ sebab hanya dia seorang yang nampak apa atas bumbung kereta tadi. Tak sempat habis air, terus kami bawa Mad keluar dari situ.

Ijo cadangkan kami pergi ke rumah abang iparnya yang merupakan seorang guru silat dan ada kebolehan berkaitan benda-benda mistik ni. Dari restoran tu, Ijo yang pandu kereta. Aku duduk di depan sebelah Ijo. Mad di kerusi belakang.

Perjalanan lebih kurang 15 minit ke rumah abang ipar Ijo terasa jauh sangat. Mad di belakang sudah mula merapu bercakap bahasa Siam seorang diri. Aku dan Ijo dah mula seram sejuk, meremang semua bulu roma.

Sampai di rumah abang ipar Ijo, sebaik Mad dibawa masuk ke dalam rumah, dia tiba-tiba buka pencak silat dengan bahasa Siam sekali. Abang Din yakni abang ipar Ijo bila tengok keadaan tu mula bertindak serupa, buka pencak silatnya pula.

Ternyata ilmu Allah lebih berkuasa dari segala-galanya. Dengan teriakan ALLAHUAKBAR, Mad terjelepok jatuh dalam keadaan longlai dan lemah. Bila Mad sedar semula, barulah kami lega. Tandanya abang Din berjaya halau benda yang mengganggu Mad.

Kata Abang Din, apa yang kami alami malam itu adalah perbuatan manusia yang mahu menguji ilmunya berkesan atau tidak. Terkedu kami dengar, hanya sengaja menguji? Entahlah, aku bukan faham sangat benda-benda macam tu.

Selepas pulih, barulah Mad ceritakan apa yang dilihatnya malam itu. Kata Mad, semasa dia keluarkan kepala untuk melihat apa yang ada di atas bumbung keretanya, dia nampak seorang gadis. Tapi, kedudukan gadis itu dalam keadaan terbalik seperti 9 ke 6, ibarat orang yang diikat kakinya ke atas. Rambutnya yang hitam pula memenuhi bumbung kereta. Mata gadis itu putih, tiada mata hitam. Wajahnya pucat lesi.

Kata Mad lagi, dia perasan mulut gadis dalam keadaan terbalik itu terkumat-kamit membaca sesuatu lalu menghembus ke arah muka Mad. Mungkin itulah punca Mad jadi ‘gila’ selepas itu. Mujur kami cepat dan ada abang Din membantu. Kalau tidak, tak tahu apa yang akan jadi kepada Mad.

Mungkin apa yang berlaku tu sebab perangai kami juga. Kononnya nak mengacau awek di taman tu, akhirnya kami sendiri yang terkena.

Selepas kejadian itu, beberapa kali aku pergi ke sana dan lihat nombor 12 digit itu masih ada pada tiang di situ. Tapi, memang aku tak berani nak dail.

Aku tak tahu sekarang masih ada lagi ke tidak tiang dan taman tu. Sebab setahun selepas tu, aku dah keluar dari sana untuk menyambung pengajian. Keluarga aku pun selepas itu berpindah ke Selangor bila ayah aku pindah kerja ke sini.

Ada lagi ke tiang tu? Ada lagi ke tulisan nombor 12 digit itu? Ada lagi ke gadis bernama Menora di situ? Entah. Aku tak nak tahu lagi.

***Catatan : Faiz Shamsuri, Shah Alam, Selangor.

_____________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kecoh dakwaan Kuil Ular jadi tempat memohon hajat orang Islam, Malar dedah cerita sebenar

Isu berkaitan sebuah rumah ibadat yang dikenali sebagai Kuil Ular kembali menjadi perbualan di media sosial. Sebelum ini, Mastika mendapat...

More Articles Like This