MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) menyifatkan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam dilihat telah melanggari duluan (precedent) yang berlaku di Melaka.

Dalam satu kenyataan majlis itu berkata, Mohd Ali sepatutnya meneliti dan mengikuti Perlembagaan Negeri Melaka serta bertemu dengan 15 ADUN iaitu pihak yang telah memperoleh majoriti sebelum membuat sebarang keputusan.

“Malangnya tindakan beliau ini bukan sahaja telah melanggari duluan (precedent) bagi Melaka itu sendiri di mana pada 2020 nasihat Ketua Menteri ketika itu (Adly Zahari) untuk membubarkan DUN tidak diterima setelah hilang majoriti, malah ia juga tidak selari dengan duluan Mahkamah Persekutuan dalam kes (Datuk Seri) Nizar Jamaluddin lawan (Datuk Seri) Zambry Abdul Kadir di mana sokongan majoriti boleh ditentukan di luar DUN,” kata kenyataan itu hari ini.

Ia kenyataan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Gua Eng dan Presiden UPKO Madius Tangau.

Tegas Majlis Presiden PH, Mohd Ali telah membubarkan DUN berdasarkan nasihat yang salah dari seorang Ketua Menteri yang telah hilang sokongan majoriti ADUN.

‘’Apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap beliau pada Isnin lalu, berdasarkan Perlembagaan Negeri Melaka, Ketua Menteri tersebut telah hilang jawatan dan kelayakan untuk menasihati Yang Dipertua Negeri,” katanya.

Majlis Presiden PH pada masa sama turut berasa kesal kerana tindakan pembubaran DUN Melaka itu telah membuka laluan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan yang boleh mengancam nyawa rakyat pada ketika pandemik COVID-19 belum lagi terkawal sepenuhnya.