Malaysia tidak buka sempadan negara sewenang-wenangnya – Ismail Sabri

Dari Penulis

KERAJAAN tidak akan membuka pintu sempadan negara sewenang-wenangnya, sebaliknya kebenaran kemasukan pengembara bukan warganegara bergantung kepada maklumat situasi COVID-19 dari negara asal mereka, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, buat masa ini kerajaan meletakkan syarat mereka yang lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke negara ini, namun sempadan belum dibuka kepada pelancong.

“Kalau kita lihat dari segi sejarahnya walaupun kita buka pintu negara kita kepada warganegara asing untuk masuk tetapi perkembangan di negara asal pengembara itu juga diambil kira.

“Setiap tindakan kerajaan kita dapat pandangan dan cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang buat penilaian risiko, kita tidak buka (sempadan) sewenang-wenangnya,” katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Ismail Sabri menjawab soalan tambahan Senator Datuk Razali Idris sama ada kerajaan mempunyai pelan krisis pengurusan COVID-19 nasional sekiranya pintu sempadan dibuka, akan berlaku lonjakan kes dan penularan varian baharu seperti yang berlaku di negara lain.

Katanya, kemasukan warganegara dan warga asing seperti pelajar, diplomat, golongan professional serta pelabur asing telahpun mula dibenarkan bermula pada Jun 2020 semasa Fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan ketika itu.

“Walau bagaimanapun, kebenaran masuk ini adalah tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dan syarat-syarat yang telah ditetapkan termasuklah keperluan menjalani kuarantin wajib di pusat-pusat kuarantin yang telah disediakan,” katanya.

Beliau berkata, di bawah Pelan Pemulihan Negara, Kerajaan sentiasa menambah baik SOP berkaitan perkara ini, dan bermula pada 12 Ogos 2021, pengembara warganegara dan bukan warganegara yang telah menerima imunisasi lengkap boleh membuat permohonan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman.

“Namun, kebenaran ini hanya boleh diberikan tertakluk kepada penilaian risiko oleh pihak KKM dan pemohon masih perlu menjalani ujian saringan COVID19 sebelum diberikan kebenaran tersebut,” tambahnya.

Katanya, dalam hubungan ini, persediaan melalui garis panduan terperinci serta penilaian risiko oleh KKM akan dijalankan terhadap setiap pengembara berdasarkan kepada permohonan untuk kuarantin di rumah atau tempat kediaman.

“Kerajaan sentiasa memberikan keutamaan terhadap pematuhan SOP, meningkatkan penerapan amalan kawalan kesihatan awam dan penekanan kepentingan suntikan imunisasi kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Ismail Sabri berkata, secara keseluruhannya, pihak kerajaan telah melakukan pelbagai persediaan serta kelonggaran yang diberikan dibuat secara berhati-hati dengan mengambil kira perkembangan di seluruh dunia dan juga keutamaan untuk pemulihan ekonomi.

Sambil mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua rakyat Keluarga Malaysia kerana telah bersama-sama pihak kerajaan dalam usaha pemberian vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), beliau berkata: “Saya jangka, sedikit masa lagi, sasaran kita untuk mencapai 90% penduduk divaksinasi akan dapat dicapai.” – UtusanTV


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

‘Saya terharu, lega akhirnya dapat jemputan ikhlas daripada Anthony Loke’ – Onn Hafiz

MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi melahirkan rasa terharu dan lega kerana 'akhirnya' mendapat jemputan yang 'ikhlas' daripada...

More Articles Like This