Faralyna Idris bahagia bersama keluarga, tiada rasa ingin kembali berlakon

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

PERNAH meniti zaman kemuncak apabila dilimpahi pelbagai tawaran lakonan yang membuatkan dia tidak mempunyai banyak masa bersama keluarga, kini Faralyna Idris menyifatkan perkahwinan dan zuriat memberinya ruang menebus kembali waktu bersama insan tersayang.

Akui Faralyna, keluarganya pernah membangkitkan keraguan apabila dia menyatakan hasrat untuk mendirikan rumah tangga pada usia muda iaitu 23 tahun kerana ketika itu, suaminya masih melanjutkan pelajaran dan belum mempunyai kerjaya tetap.

“Saya hanya mengenali suami setahun dan pada masa itu, dia masih belajar dan tidak bekerja. Keluarga ragu-ragu dengan keputusan saya untuk berkahwin kerana suami tidak mempunyai kerjaya tetap. Mampukah dia menjaga saya apabila kami hidup bersama nanti?

“Walaupun begitu, keluarga memudahkan perjalanan kami, malah tidak menetapkan syarat yang tertentu seperti nilai mahar.

“Memandangkan saya datang daripada keluarga di mana ibu dan bapa tidak tinggal sebumbung, saya tidak meletakkan apa-apa harapan dalam perkahwinan. Tetapi, saya bersyukur dibesarkan dengan kasih sayang secukupnya,” katanya.

Tujuh tahun menjalani bahtera perkahwinan, Faralyna akui setiap hari adalah proses untuk dia belajar perkara baharu.

“Ketika hendak berkahwin, saya tidak terfikir untuk berhenti berlakon. Saya cuma ambil cuti dan selepas itu, mahu meneruskan kerjaya seperti biasa.

“Tetapi, selepas bernikah, saya tidak terasa untuk terus ke set penggambaran. Sebulan selepas itu, saya pula mengandung dan saya ambil keputusan berehat dan fokus pada keluarga.

“Apabila ada anak, saya lebih gembira berbanding ketika keluar bekerja. Baru terasa saya sebenarnya rindu dikelilingi adik-beradik dan bapa kerana dulu saya tidak banyak habiskan masa dengan mereka disebabkan terlalu fokus pada kerjaya,” tuturnya.

Menyifatkan lakonan sebagai jiwanya, Faralyna mengakui masih rindu suasana di lokasi penggambaran, namun hatinya tidak lagi terlalu mencari untuk mendapatkan semula tawaran berlakon.

Ujarnya lagi, meskipun kehidupannya tidak lagi terikat dengan kesibukan di lokasi penggambaran dan tidak lagi bekerjaya tetap, namun Faralyna memberitahu ia tidak bermakna Allah menutup pintu emosinya.

“Saya pernah melawan emosi sendiri dan ia berlarutan selama bertahun-tahun. Untuk membina perkahwinan yang harmoni, ia mengambil masa yang lama.

“Ketika mengandungkan anak kedua, saya dilimpahkan rezeki apabila dapat kembali aktif hingga sarat. Suami tidak pernah sekali menghalang dan baginya, jika rezeki masih ada dalam bidang ini, anggap ia sebagai hobi.

“Saya seronok kerana Allah bukakan semula jalan dalam bidang seni, tetapi saya tiada pembantu dan sanggup ambil orang untuk menjaga anak di set penggambaran.

“Tetapi, jauh di sudut hati, biarpun dapat memegang semula duit, saya tidak gembira dan rasa kehilangan sesuatu. Saya ambil keputusan berehat dan menjalani semula rutin seperti biasa. Di situ, saya lebih gembira biarpun tidak lagi mempunyai pendapatan seperti dulu,” katanya dalam program Nurflixtv, baru-baru ini.

Justeru, apabila ditanya apakah dia tidak berasa sayang meninggalkan kerjaya lakonan, Faralyna berkata, Allah memberikannya sesuatu yang lebih besar iaitu dapat kembali kepada keluarga.

“Apabila diingat semula, saya kasihan dengan anak kedua. Dia masih kecil ketika itu, tetapi saya membawanya ke lokasi penggambaran sehingga awal pagi.

“Bercakap mengenai takdir, saya pernah keguguran ketika kandungan berusia lima bulan. Ketika itu, saya sangat sedih kerana sepanjang tempoh kehamilan, tiada apa-apa yang tidak baik berlaku.

“Tiba-tiba satu malam, saya terasa seperti hendak bersalin dan dalam perjalanan ke hospital, air ketuban pecah. Saya seperti tidak dapat menerima kenyataan itu dan kerap bertanya diri di mana silapnya. Sepanjang berpantang, saya lalui proses itu dalam keadaan tertekan dan seperti berada dalam kesedihan yang tiada penghujung, tambahan pula apabila dimaklumkan doktor itu anak lelaki.

“Saya terkesan ketika mengikuti sesi live ustazah bersama seorang selebriti. Ketika itu, saya mendengar nasihat ustazah yang meminta kita supaya berdamai dengan takdir.

“Saya rasa bersalah kerana terlalu melayan kesedihan itu hingga saya marahkan diri sendiri. Saya seharusnya reda dengan seikhlas hati kerana jika tidak, saya tidak nampak hikmah yang Allah turunkan di sebalik ujian itu,” akhirinya.

Faralyna mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Fikri Abdullah pada Disember 2014. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Fira Anggun, 6, dan Ayu, 3.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Fajar Noor buka lembaran baharu, Sementara, Selamanya jadi manifestasi kematangan emosi

SETELAH sekian lama dinanti, penyanyi yang sinonim dengan naskhah muzik yang menyentuh jiwa, Fajar Noor akhirnya kembali mengubat rindu...

More Articles Like This