SETELAH mengendalikan pertandingan realiti Pencarian Nona Superwoman terbitan Nu Ideaktiv Sdn. Bhd. dan Astro Prima selama dua episod bermula 22 September lalu, selebriti Uyaina Arshad dengan berat hati mengambil keputusan untuk mengundurkan diri sebagai hos utama buat sementara waktu kerana terikat dengan komitmen kerja yang tidak dapat dielakkan.

Tanggungjawab tersebut kini digalas selebriti Nadia Annuar yang sudahpun memulakan tugas pengacaraan dalam episod ketiga pada Rabu lalu.

Bagi memberi kelainan istimewa, kedua-dua mereka akan kembali bergabung untuk mengemudikan pusingan kemuncak program Pencarian Nona Superwoman yang dijadualka berlangsung pada 10 November depan.

Mengulas lanjut mengenai keputusan yang diambil, Uyaina Arshad berkata, dia dengan berat hati terpaksa melepaskan peranan sebagai hos utama memandangkan perlu memberi laluan kepada tuntutan kerja lain yang tidak dapat dielakkan.

“Pertama sekali tahniah kepada kesemua 12 finalis. Saya memohon maaf kerana tidak dapat bersama anda untuk minggu ketiga dan seterusnya atas faktor tuntutan kerja yang tidak dapat dielakkan.

“Akan tetapi, saya harap anda semua boleh lakukan yang terbaik dan rebut peluang yang diberikan ini sebaiknya. Peluang ini adalah salah satu peluang yang cukup hebat dan sangat besar yang mampu merubah corak perniagaan anda. All the best!.

“Kepada Kak Nadia Annuar, terima kasih kerana sudi menyambung tugasan mengacara program Pencarian Nona Superwoman untuk musim ini. Tiada calon pengacara yang layak selain kamu! Semoga sukses dan kita jumpa sewaktu pusingan akhir nanti,” kata Uyaina.

Sementara itu, Nadia berbesar hati dengan kepercayaan yang diberi untuk menggalas tanggungjawab selaku pengacara program berkenaan.

“Sejujurnya saya tidak pernah menjangka dan berasa amat teruja apabila menerima tawaran untuk menggalas tugas sebagai pengacara bagi program ini.

“Meskipun bidang pengacaraan bukanlah sesuatu yang baharu buat saya, namun cabaran pada kali ini bukan mudah serta turut memerlukan persediaan rapi. Selain perlu membawa kelainan segar dengan cara yang tersendiri, saya juga perlu menyambung legasi yang ditinggalkan oleh Uyaina dalam masa yang sama.

“Dengan sokongan semua, saya sahut cabaran ini dan bertekad untuk melakukan yang terbaik agar tidak menghampakan amanah yang diberi. Terima kasih kepada pihak Astro dan Ideaktiv kerana mempercayai bakat dan kemampuan saya untuk mengacarakan program ini. Semoga segalanya berjalan lancar. Let’s do this!,” ujarnya.

Program Pencarian Nona Superwoman yang diperkasakan oleh USANITA selaku penaja utama ialah sebuah pertandingan berkonsepkan realiti untuk mencungkil potensi golongan usahawan wanita khususnya kumpulan B40 dan M40 yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Ia memberi inspirasi dan dorongan positif kepada segenap lapisan masyarakat yang ingin meneroka peluang sumber pendapatan baharu dengan menceburi bidang keusahawanan.

Prestasi para peserta diadili berdasarkan sistem pemarkahan 100% oleh pihak juri profesional yang terdiri daripada selebriti Awal Ashaari dan Ketua Pengarah Eksekutif USANITA, Datin Adzliana Prof Dato Sri Dr Hasan selaku juri tetap serta juri jemputan yang diundang khas secara bergilir-gilir pada setiap minggu.

Pencarian Nona Superwoman disiarkan secara eksklusif pada setiap Rabu, pukul 9 malam di saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan On Demand.

Juara Pencarian Nona Superwoman akan membawa pulang wang tunai RM50,000 beserta trofi. Manakala peserta yang mendapat kedudukan di tangga kedua dan ketiga pula bakal membawa pulang wang tunai RM10,000 beserta trofi.