BUAT julung kalinya, lagenda rap serta komposer dan penerbit muzik tersohor tanah air, Malique atau terkenal dengan jolokan Mr. General berminat menghasilkan sebuah karya hip-hop istimewa buat dua artis muda naungan Rocketfuel Entertainment iaitu Lil J dan Ara Johari berjudul Keliru. Single yang dicipta oleh Malique, Siqma dan Muhaimin itu diterbitkan bersama oleh Rocketfuel Records.

“Sebuah penghormatan yang amat besar buat saya serta Ara kerana sebagai anak seni pelapis negara, kami diberikan peluang menyanyikan sebuah karya hebat ciptaan Mr. General sendiri.

“Dia sememangnya terkenal dengan sifat elusive-nya seperti yang semua sedia maklum seakan mengerti apa yang saya rasa dan berjaya menterjemahkannya ke dalam sebuah lagu yang menceritakan tentang kekeliruan saya.

“Namun ini semua tak mungkin berlaku tanpa Ketua Rocketfuel Entertainment sendiri iaitu Feros yang menyatukan kami semua,” kata Lil J.

Sesuatu yang amat peribadi sukar untuk diluahkan dengan kata-kata, namun bagi Lil J sendiri, dia tidak segan memberitahu masalah kemurungan yang dihadapinya sejak dahulu lagi.

Rakan seindustri, Ara, menyedari masalah yang menimpa rakannya itu, tampil memberikan sokongan melalui sebuah siaran langsung di Instagram baru-baru ini dan secara kebetulan, Siqma turut menontonnya.

Jelas Lil J, “Siqma dan Mr. General yang mula-mula menyatakan hasrat ingin berkolaborasi dan mereka mempunyai material yang sesuai buat situasi yang saya hadapi.” ujarnya.

Seperti karya-karya Malique sebelum ini yang banyak diselitkan dengan makna mendalam, Keliru juga mempunyai maksud tersendiri yang boleh diselami oleh jiwa-jiwa yang mencari jawapan.

“Lagu ini menceritakan tentang kehilangan seseorang yang amat penting dalam hidup kita dan mengapa mereka hilang dari pandangan. Mungkin ramai yang tak tahu, saya telah kehilangan bapa dan terdapat sebuah ruang kekosongan dalam diri saya yang tak mungkin dapat diisi oleh sesiapa.

“Idea disebalik single ini datangnya daripada saya sendiri. Ia agak peribadi untuk saya nyatakan hal yang sebenarnya tetapi bagi mereka yang pernah melalui pengalaman sama pasti mengerti apa yang cuba saya sampaikan.

“Telah lama saya pendam hasrat menceritakan tentang pengalaman hidup sewaktu membesar dan masalah yang saya lalui melalui sebuah lagu. Apa yang ingin saya katakan, buat sesiapa yang pernah melalui isu yang sama seperti saya, anda tak keseorangan,” katanya.

Sentuhan magis Malique dalam ciptaan lagu banyak buatkan penyanyi ingin bekerjasama dengannya

Single yang bergenre hip-hop dengan selingan ritma ala rock perlahan oleh Ara menambah perisa eksklusif terhadap Keliru yang dijangka hit apabila dilancarkan kelak. Manakala proses rakamannya disempurnakan di Studio Qarma.

“Kalau nak diikutkan, ini merupakan di antara pengalaman yang terbaik pernah saya lalui sepanjang bergelar anak seni, berpeluang mempelajari serta mengamati Mr. General beraksi selaku pengkarya adalah ibarat sebuah mimpi yang menjadi kenyataan.

“Saya rasa amat bertuah kerana sewaktu menginjak dewasa, kebanyakan lagu yang ditulis dan dinyanyikan, kesemuanya berpaksikan kepada karya-karya hasil Malique dan Joe Flizzow. Saya kini bangga mengatakan bahawa saya telah bekerjasama dengan kedua-dua ikon hip-hop negara,” ulasnya.

Sokongan padu bertunjangkan keluarga penting dalam hidup seseorang, namun buat Lil J, ibunya merupakan sumber kekuatan penting dalam hidupnya.

“Setiap daripada kita memerlukan sokongan dalam kehidupan dan tak mampu kita berdiri seorang diri. Saya percaya pada kuasa Pencipta dan sokongan keluarga dalam menghadapi apa jua situasi.

“Semoga Keliru menjadi inspirasi buat mereka yang tercari-cari jawapan kerana apa yang kita cari ada dalam diri kita sendiri,” katanya.

ARA Johari dan Lil J bangga dapat berkerja dengan Malique

Bagi setiap single yang dihasilkan, pastinya ada video muzik (MV) bagi menyempurnakan penceritaan sesebuah karya, katanya Lil J, jalan cerita Kisah, mengisahkan tentang perjalanan hidup seorang anak yang membesar tanpa kehadiran insan penting dalam hidupnya bernama bapa.

Dunia mencemuhnya dengan perkataan lemah kerana ketiadaan figura tersebut dan dirinya terasa seolah-olah sesat kerana kekosongan yang dirasainya ketika membesar.

Sementara itu, Ara berbesar hati dan enggan melepaskan peluang yang ditawarkan kepada dirinya untuk berkolaborasi dengan Malique.

“Saya sangat teruja apabila diberitahu tentang projek ini. Rugi rasanya kalau saya tak rebut peluang untuk bekerjasama dengan komposer disegani seperti Mr. General.

“Terharu dan bangga kerana artis muda seperti saya diberi penghargaan sebesar ini. Terima kasih kepada pihak Rocketfuel kerana memilih saya menjadi sebahagian daripada Keliru,” katanya.