Bagi kebanyakan lelaki, haruman ibarat suatu aksesori yang mencerminkan personaliti dan cita rasa mereka berbanding wanita. Lelaki moden hari ini didapati lebih prihatin akan amalan kemas rapi (grooming) harian dan menyembur pewangi sebagai langkah terakhir dalam rutin berkenaan.

Mereka berasa lebih yakin untuk menghadapi dunia luar, di samping bauan segar mencetuskan aura sofistikated pada penampilan mereka. Tambahan pula, lelaki yang berbau harum dianggap lebih menarik pada orang sekelilingnya berbanding mereka yang tidak memakai sebarang pewangi. Kini, pewangi boleh dipakai ke pejabat sekiranya si jejaka bijak memilih haruman sesuai bagi meningkatkan kehadiran mereka di tempat kerja, sambil menerbitkan aura tersendiri.

Di pasaran terdapat pelbagai jenis dan bentuk pewangi, setiap satu sesuai untuk kerjaya yang berbeza. Namun, panduan penting dalam memilih pewangi ialah membeli haruman yang anda gemari kerana badan anda secara tidak langsung akan ‘memberitahu’ wangian yang menepati cita rasa anda. Dan bukan yang kawan anda pilih. Pewangi lelaki boleh disesuaikan dengan kerjaya untuk impak personaliti.

PANDUAN PEWANGI LELAKI

Sebenarnya dunia wangian tiada peraturan tertentu kerana ia berasaskan keunikan gaya setiap individu. Dan ia juga berdasarkan pengalaman bauan si jejaka sejak dilahirkan.

Begitu pun, pemilihan pewangi lebih bijak berdasarkan tahap kekuatan rumusan yang sesuai dengan cuaca panas negara.

Konsep ‘Less is More’ (Sedikit Lebih Baik) lebih sesuai untuk lelaki di sini. Maka memadai sembur tiga hingga empat semburan pewangi EDT atau satu hingga dua semburan pewangi jenis EDP, agar tidak ‘memeningkan’ orang sekeliling.

Selain itu, anda disarankan menyembur pewangi di bahagian-bahagian ‘panas’ seperti bahagian denyutan nadi pergelangan tangan dan dada. Ini disebabkan wangian mudah tersebar mengikut ciptaannya.

Satu lagi aspek ialah bagaimana pewangi dibeli adalah penting. Kebanyakan lelaki hanya mencium lapisan atas haruman yang disembur pada kepingan kertas di kaunter pewangi. Lapisan atas pewangi sering hilang dalam masa 20 minit dan lapisan haruman yang bersisa tidak semestinya sesuai dengan individu tersebut.

Maka, cuba cium pewangi atas kepingan kertas dan kemudian cium sekali lagi selepas satu jam untuk membantu anda mengenal pasti kesesuaian haruman berkenaan dengan diri anda. Sekiranya anda menggemarinya, cuba sembur sedikit atas pergelangan tangan. Setiap orang mempunyai bau tersendiri, setiap pewangi pula akan bau berbeza pada orang lain.

Langkah ini adalah penting bagi memastikan anda menggemari pewangi yang anda pakai.

TEKNIK BERLAPIS WANGIAN LELAKI

Bermula dengan gel mandian yang mencetuskan haruman melekat pada kulit.

Guna losen selepas bercukur daripada haruman sama untuk menyegarkan kulit muka.

Susuli dengan sapuan deodoran di bahagian ketiak.

Anda juga boleh menggantikan dengan deodoran jenis semburan. Semburkan wangian edt pada bawah lengan atau dada sebelum menyarung pakaian.