Demi cantik, perasaan takut dan rasa sakit ditolak ke tepi. Sebahagian wanita di China, sanggup mengambil risiko dengan meletakkan api di muka semata-mata ingin kelihatan muda dan sihat.

Rawatan kecantikan menggunakan api sebenarnya bukanlah satu perkara luar biasa di China seperti mana yang kita fikirkan. Penduduk di sana telah mengetahui akan hal ini sejak lama dahulu. Mereka menamakannya sebagai ‘Huo Liau’, bermaksud rawatan api. Ia merupakan satu bentuk terapi alternatif yang diamalkan secara meluas dan sangat popular di kalangan penduduk China.

Huo Liau biasanya dilakukan di pusat rawatan kecantikan atau salon. Boleh dikatakan, hampir kebanyakan tempat seperti itu menawarkan terapi api kepada orang ramai.

Prosedur kecantikan pelik ini biasanya akan dimulakan dengan merendam tuala muka ke dalam cecair alkohol dan sedikit ubat sebelum dilekapkan ke muka pelanggan. Tuala tersebut kemudian dinyalakan dengan api dan dibiarkan terbakar selama seminit atau lebih. Kebaikan rawatan ini dikatakan mampu merangsang sel-sel baru dan menegangkan kedutan sehingga kulit tampak lebih muda.

Rawatan api tidak hanya terhad diletakkan di muka untuk tujuan kecantikan, tetapi kaedah sama juga digunakan pada mana-mana bahagian badan. Antaranya, belakang badan, kaki, perut dan kepala. Cara ini dipercayai mampu menjadi penawar ajaib dalam merawat sakit sendi, insomnia, senak, obesiti dan selesema.

Walaupun kaedah itu dikatakan selamat dan tidak berbahaya, timbul banyak keraguan tentang soal keberkesanannya. Antaranya, apakah memang benar rawatan api mampu memberi kesan positif seperti yang didakwa?

Bagi menjawab persoalan itu, Perunding Dermatologi dari Universiti UCSI, Profesor Madya Dr. Irene Lee Chew Kek berkata, adalah tidak dinafikan bahawa tenaga haba sememangnya memberi kesan kepada kulit dan tubuh badan seseorang. Kesan yang bagaimana, bergantung pada teknik yang digunakan.

Beliau berkata, jika merujuk pada prosedur rawatan membakar muka, pengamalnya menggunakan api dan ubat. Alasan kenapa api diletakkan ke muka dikatakan bertujuan mengalirkan haba ke tubuh pelanggan untuk kecantikan dan kesihatan.

Bercakap soal haba, Dr. Irene berkata, bentuk tenaga yang dipindahkan melalui pengaliran itu memang baik untuk kulit dan badan. Sebabnya, haba pada suhu tinggi boleh membina atau menghasilkan lebih kolagen. Kolagen merupakan protein utama bagi tisu sokongan dalam badan manusia. Apabila ada haba, rupa bentuk atau morfologi kolagen akan berubah menjadi kecut dan diameternya lebih kecil. Perubahan ini seterusnya dapat memperbaiki tekstur kulit menjadi tegang, tidak kendur dan garisan kedutan kurang.

Menurut Dr. Irene, prinsip rawatan tersebut boleh dikatakan lebih kurang sama dengan kebanyakan terapi perubatan moden yang ada sekarang ini. Cuma bezanya, kaedah yang digunakan dalam perubatan moden tidak ekstrem dan berbahaya seperti mana terapi membakar muka. Alat yang digunakan juga lebih selamat iaitu menggunakan teknologi radio frekuensi.

Dengan alat itu, jelas beliau, haba yang diberikan adalah di bawah kawalan dan pengawasan. Ia juga boleh dikawal daripada segi suhu, tempoh masa dan untuk rawatan yang lebih dalam di bawah lapisan kulit. Justeru, daripada segi keberkesanannya alat itu adalah lebih baik kerana rawatan melibatkan bahagian luar dan dalam kulit.

Alat radio frekuensi ini telah mendapat pengesahan saintifik, terutama berapa lama terapi tersebut boleh memberi kesan positif atau sebaliknya pada kulit. Dengan adanya pengesahan saintifik ini, terapi perubatan moden dijamin lebih berkesan dan selamat.

Berbanding dengan rawatan api, prosedurnya tidak berada di bawah standardisasi terutama berapa banyak alkohol digunakan, berapa lama rawatan dilakukan dan berapakah suhu yang digunakan. Selain itu, ubat yang digunakan juga tidak diketahui sama ada ia di bawah kawalan atau pun tidak kerana nama ubat tidak dinyatakan. Semua itu, kata Dr. Irene, menjadi persoalan.

Lebih membimbangkan, jika pengendali tiada pengalaman, banyak risiko berkemungkinan akan terjadi. Dalam situasi yang tidak terkawal misalnya, api pada tuala akan mengalirkan haba yang berlebihan dan boleh membakar bahagian kulit. Boleh jadi juga kulit akan bertukar warna menjadi hitam, melecur dan rambut terbakar akibat terdedah pada panas yang melampau.

Justeru, sama ada boleh atau tidak rawatan api ini mencantikkan kulit muka, ujar Dr. Irene, kemungkinan boleh dan kemungkinan juga perubahan itu tidak berlaku. Ini kerana, rawatan berkenaan tidak sedalam terapi radio frekuensi. Kedua, masa rawatan terlalu singkat, lebih kurang satu hingga dua minit saja. Walaupun dalam tempoh tersebut haba berkemungkinan akan sampai ke bahagian kolagen, tapi boleh jadi kolagen yang terhasil tidak banyak. Sekiranya ini berlaku, perubahan yang berlaku pada kulit mungkin tidak ketara.