Masih tiada kes jangkitan Covid-19 dikesan membabitkan pelancong domestik di Langkawi.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) membuat keputusan untuk memberhentikan keperluan ujian pengesanan COVID-19 bagi pelancong ke Langkawi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ketetapan berkuat kuasa hari ini itu mengambil kira peratus pelancong yang dikesan positif semasa saringan yang sangat rendah.

Bagaimanapun, kata beliau, pelancong digalakkan untuk melakukan ujian COVID-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan ke Langkawi bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada pelancong lain.

Pada masa sama, Khairy memaklumkan, syarat wajib vaksinasi COVID-19 lengkap bagi semua pelancong dewasa masih kekal dan mesti dipatuhi.

“Bagi individu yang disahkan positif dan sedang dalam tempoh pengasingan serta pemantauan atau individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada kes positif yang sedang menjalani perintah kuarantin dan pengawasan tidak dibenarkan melancong.

“Bagi mereka yang mengalami gejala seperti demam, batuk dan selsema dinasihatkan agar menangguhkan dahulu perjalanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Projek rintis Langkawi tunjuk kejayaan, kawasan pelancongan lain menyusul – Nancy

Mengulas lanjut, Khairy memaklumkan seramai 54,341 pelancong telah pun menjalani ujian pengesanan COVID-19 dan hanya 216 atau 0.4 peratus pelancong dikesan positif sehingga Ahad lalu.

Beliau berkata, hanya seorang pelancong yang mengalami gejala semasa di Langkawi dan didapati positif COVID-19 melalui ujian RT-PCR.

Menurut Khairy, siasatan mendapati punca jangkitan bukan di Langkawi dengan tiada kluster COVID-19 yang berpunca daripada gelembung pelancongan.

“Keluarga Malaysia mesti bertanggungjawab dalam usaha mencegah penularan jangkitan COVID-19.

“Kerajaan dan seluruh petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan telah lakukan yang terbaik untuk merawat serta mengawal penularan jangkitan COVID-19 dalam negara.

“Oleh itu, setiap individu yang akan melakukan perjalanan rentas negeri adalah disarankan untuk menjalani ujian COVID-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan bagi melindungi diri dan seluruh Keluarga Malaysia daripada jangkitan COVID-19,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram