SINGLE Tak Sangka telah mencipta sejarah tersendiri dalam industri muzik tempatan hasil gabungan hebat tiga penyanyi rap muda iaitu Yonnyboii, Zynakal dan Asyraf Nasir yang dilancarkan sebulan lalu. Hasil karya terbitan Def Jam Malaysia Kekal unggul di tempat pertama carta berprestif bagi Carta Persatuan Industri Rakaman Malaysia atau Carta RIM selama enam minggu berturut.

Carta RIM merupakan sebuah platform pengumpul data terkemuka tanah air yang menjadi penentu kepada kelarisan sesebuah lagu di dalam kalangan pendengar. Kredibilitinya cukup terbukti dan ia menjadi rujukan seluruh penggiat muzik bagi mengetahui prestasi terkini karya mereka.

Pencapaian karya Tak Sangka terbukti membanggakan Def Jam Malaysia dan Def Jam Asia Tenggara (SEA) apabila lagu tersebut mampu memberikan impak tersendiri. Hasil idea ciptaan lagu tiga penyanyi muda ini berjaya memukau pendengar setelah lebih sebulan dilancarkan.

Walaupun ramai pendatang baharu dalam industri muzik, pencapaian yang diperoleh melalui hasil karya tiga permata berharga terus bersinar dan menjadi hadiah paling manis buat syarikat label rakaman. Menurut Pengarah A&R & Pemasaran dan Ketua Def Jam Recordings Malaysia, Hermond Cheng, pencapaian itu cukup besar maknanya buat mereka.

“Kami memang tahu betapa berbakat dan besar potensi tiga penyanyi muda itu dalam membawakan nafas baru dalam industri muzik. Tak Sangka juga antara karya yang kami sangat yakin mampu cipta evolusi. Jelas ia terbukti dengan pencapaian terbaru itu dan semestinya dalam pada tidak disangka, kami sangat bangga mengenainya,” katanya.

Selaku Pengarah Urusan Def Jam SEA, Joe Flizzow menyifatkan kejayaan yang dicapai menjadi bukti kukuh bahawa muzik hip hop tempatan mempunyai martabat yang tinggi di kalangan peminat muzik. Sebagai pejuang genre tersebut buat beberapa dekad, Joe turut memuji keberanian pejuang hip hop generasi kini dalam memastikan karya mereka mempunyai nilai estetika yang berkualiti.

“Bagi saya kejayaan lagu ini membuktikan bahawa generasi baru pemuzik hip hop di Malaysia mempunyai kematangan dan keberanian dalam penghasilan karya mereka. Ia juga menunjukkan bahawa peminat dan pendengar di negara ini amat menghargai lagu-lagu rap tempatan. Syabas kepada Yonnyboii, Zynakal dan Asyraf,” katanya.

Berkongsi pencapaian manis itu, Yonnyboii mengakui kerja keras mereka bagi merealisasikan lagu tersebut sebelum ini ternyata sangat berbaloi. Bahkan, mereka sendiri terpaksa berdepan pelbagai dugaan demi memastikan Tak Sangka dapat dilancarkan. Dia juga sangat bersyukur gabungan mereka bertiga terbukti merupakan keputusan paling tepat.

“Sejujurnya kami bertiga memang tak sangka tapi pada masa sama memiliki keyakinan yang cukup tinggi terhadap lagu TAK Sangka selama ini. Persiapan yang kami buat pun bukan calang-calang. Walaupun banyak perancangan kena tunda disebabkan Covid-19, alhamdulillah kami dapat lancarkannya pada masa yang sangat tepat.

“Lagu ini cukup istimewa untuk saya dan pasukan sendiri disebabkan ia kolaborasi pertama kami bertiga. Apabila dapat bekerjasama dengan rakan baik dan adik-beradik satu label rakaman, keterujaan itu lebih luar biasa. Dengan kekuatan masing-masing menjadikan lagu itu jadi lebih gah dari segi bunyi dan susunannya,” katanya.

Bagi Zynakal pula, dia menyifatkan projek itu memberi 1,001 makna buatnya secara peribadi. Bukan sekadar meraikan pencapaian sambutan luar biasa itu, namun dia turut akui proses pembikinan Tak Sangka mengajar dia banyak perkara. Apalagi, dia sendiri baharu pertama kali bekerjasama dengan Asyraf Nasir atau Asyraf.

“Alhamdulillah kami bertiga tak sangka yang lagu ini akan memberi impak kepada kami dan bersetuju bahawa Tak Sangka banyak membantu kami. Pencapaian ini disebabkan keserasian kukuh antara kami. Sewaktu proses pembikinannya, itulah kali pertama saya berjumpa Asyraf dan terus boleh bekerjasama dengan begitu padu,” katanya.

Menurut Asyraf pula, dia berharap Tak Sangka bakal menjadi ‘trademark’ atau ‘signature’ untuk tahun ini sebagai sebuah lagu semangat. Baik pendengar hip hop tegar ataupun pendengar dari pelbagai lapisan usia oleh kerana lagu ini untuk semua. Tambahnya, jika ada rezeki, dia mempunyai impian untuk melihat karya yang dihasilkan berjaya ke acara anugerah dan pentas yang lebih besar.

“Bagi saya, ia (kekuatan) terletak pada ramuan-ramuan dalam lagu ini sebab Yonnyboii dan Zynakal sendiri ada stail berbeza, begitu juga saya. Walaupun terdapat perbezaan, kami bertiga ada suara hati yang sama. Itu adalah antara kekuatan utama selain irama muziknya adalah bukan irama hip hop yang klise.

“Pendengar menilai Tak Sangka sebagai sebuah lagu yang memiliki muzik yang bagus dan bukan sebab genrenya tersendiri. Mereka bukan melihat apa instrumen yang digabungkan dalam melodinya mahupun hasil ciptaan siapa. Apabila mereka mendengarnya, terus rasa ingin bergoyang dan menikmatinya dengan penuh keseronokan,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram