Wanita adalah insan mulia yang diciptakan oleh Allah s.w.t di atas muka bumi sebagai pendamping kepada kaum lelaki dalam meniti arus kehidupan. Kewujudan wanita secara umumnya dalam arus perdana ini adalah sama pentingnya dengan lelaki.
Allah s.w.t telah menjadikan manusia semuanya berasal daripada titisan air mani yang mempunyai unsur-unsur tanah dan nilaian kehebatan manusia di sisi Allah bukanlah kerana seseorang itu lelaki mahupun perempuan tetapi nilaian hebat di sisi Tuhan adalah sejauh mana ibadat dan ketaqwaan seseorang itu kepada- Nya tanpa melihat kepada jantina seseorang itu. Dalam memperkatakan hal ini, Allah s.w.t telah berfirman:
“Sesungguhnya individu yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah adalah mereka yang paling bertaqwa di kalangan kamu”. (Surah al-Hujurat:13).
Kewujudan wanita di atas muka bumi juga adalah untuk memakmurkan dunia ini dengan kebaikan dan keamanan sepertimana Allah SWT menjadikan lelaki. Kaum Hawa juga diberikan tuntutan yang amat berat sebagai khalifah dalam memastikan kehidupan yang harmoni dapat diteruskan. Inilah tujuan utama Allah s.w.t menjadikan kita sama ada lelaki atau wanita iaitu untuk menjadi khalifah atau pemimpin yang mampu memakmurkan muka bumi ini. Firman Allah s.w.t:
“ Dan ketika mana Tuhan kamu berkata kepada malaikat kami menciptakan di atas muka bumi seorang khalifah (pemakmur).” (al-Baqarah:30)

Pandangan Islam Terhadap Wanita
Peranan wanita cukup besar dalam Islam. Peranannya adalah sama beratnya sepertimana peranan kaum lelaki mencakupi pelbagai bidang sama ada dalam kepimpinan, pentadbiran, kemasyarakatan, pendidikan, mahupun keagamaan.
Agama Islam adalah agama yang bersifat universal yang menjaga hak-hak manusia tanpa mengira jantina seseorang itu. Allah SWT menciptakan lelaki ataupun wanita dengan hikmah yang cukup besar.
Antara tujuan Allah SWT menciptakan lelaki dan perempuan itu supaya mereka dapat bersatu dan berkerjasama dalam kehidupan yang penuh mencabar ini. Dalam memperkatakan perkara ini Allah s.w.t telah berfirman :
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih mengikut keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah maha mengetahui, lagi maha mendalam pengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat:13).

Wanita Pada Zaman Rasulullah SAW
Sirah Nabi s.a.w telah menceritakan perihal kehebatan wanita-wanita pada zaman tersebut. Mereka bersama-sama Nabi s.a.w berjuang menegakkan Islam di mata dunia. Mereka keluar untuk berkerja dan menyebarkan Islam dengan kekuatan yang mereka ada.
Contohnya isteri Nabi s.a.w yang merupakan salah seorang daripada sepuluh sahabat yang terkenal dalam mengeluarkan fatwa dan begitu aktif dalam menyampaikan ilmu Islam. Begitulah juga isteri pertama Baginda s.a.w iaitu Khadijah binti Khuwailid yang merupakan seorang ahli perniagaan yang hebat mendagangkan barangannya sehingga ke Syam.
Dalam bidang perubatan diceritakan bahawa seorang wanita Islam bernama Rufaidah al-Ansariyyah yang disediakan baginya khemah dan beliau merawat tentera Islam yang tercedera semasa berlakunya peperangan al-Ahzab.

WANITA MASKULIN DALAM ISLAM
Persoalannya sekarang bagaimana halnya dengan wanita yang bekerjaya? Bagaimanakah pula halnya bagi wanita-wanita yang bekerja dalam profesion-profesion yang sering diceburi oleh kaum lelaki?
Dalam Islam jika seseorang itu mampu untuk melakukan sesuatu kerja yang dianggap mencabar dan tidak dilarangan oleh agama, maka kerjaya itu hukumnya harus, malahan boleh membawa kepada wajib jika masyarakat memerlukan kepada khidmat tersebut. Firman Allah s.w.t
“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang termampu olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.” (al-Baqarah:286).
Pelbagai kerjaya yang asalnya dilihat masyarakat hanya mampu dilaksanakan oleh kaum Adam, namun kini mampu juga dilaksanakan oleh sebahagian kecil kaum wanita seperti kerjaya sebagai juruterbang, jurutera mekanikal, pemandu LRT, pemandu bas dan kerjaya-kerjaya lain yang dianggap mencabar bagi kaum hawa. Islam tidak melarang kerjaya-kerjaya seperti ini asalnya tidak melanggar tatacara yang telah digariskan oleh syariat.

