Amat menyedihkan apabila tiada garis panduan yang diletakkan, maka kita melihat wanita-wanita sepertimana yang berlaku di barat telah ‘dieksploitasi’ untuk kepentingan pihak-pihak tertentu yang secara tidak langsung telah menjatuhkan maruah seseorang wanita. Antara garis panduan yang telah diletakkan oleh Islam adalah :

Perlu meminta keizinan wali sebelum menceburkan diri dalam sesuatu kerjaya.

Islam menggalakkan seseorang wanita meminta kebenaran daripada wali iaitu ibu bapa masing- masing sebelum memulakan sesuatu kerjaya. Kepada mereka yang telah mendirikan rumahtangga maka perlulah meminta kebenaran daripada suami.

Wanita yang menceburkan diri dalam sesuatu kerjaya dan tidak meminta keizinan wali atau suaminya, maka hukumnya adalah berdosa.

Menjaga kehormatan sebagai seorang muslimah.

Sebagai seorang wanita Islam yang bekerjaya maka adab dan tatasusila seseorang wanita itu perlulah dijaga. Aspek pergaulan sewaktu bekerja perlulah diambil perhatian. Walaupun menghadapi kerja yang mencabar, seseorang wanita Islam yang bekerjaya perlu menjaga keterampilan yang sopan dan menutup aurat.

Tidak mengabaikan tanggungjawab dalam menguruskan rumahtangga.

Pada hukum asalnya suami diwajibkan mencari nafkah untuk keluarga dan tugas wanita pula adalah untuk memastikan pengurusan rumahtangga terpelihara. Walaupun seseorang isteri itu bekerja, namun perlu baginya untuk memastikan bahawa rumahtangganya diurus dengan baik. Ini termasuklah aspek kekemasan, kebersihan, keselamatan dan juga yang lebih penting berkenaan dengan penjagaan dan pendidikan anak-anak.

Pekerjaan yang diceburi perlulah sesuai dengan fitrah seseorang wanita.

Seseorang wanita yang bekerja mestilah memastikan bahawa pekerjaannya itu sesuai dengan fitrahnya sebagai wanita.

Tidak berniat untuk bermegah-megah.

Seseorang wanita yang bekerjaya itu perlulah sedar bahawa tujuan utamanya bukanlah untuk sombong dan bermegah-megah dengan pekerjaan yang dilakukan tetapi dengan tujuan mencari rezeki halal untuk menyara diri dan keluarga (membetulkan niat dan tujuannya ketika).

Kesimpulannya, sesuatu kerja yang dilakukan oleh seseorang wanita itu perlulah mengikut panduan dan tatacara yang ditetapkan oleh syariat Islam. Setiap tindakan dinilai oleh Allah s.w.t sama ada baik ataupun buruk. Saya akhiri penulisan ini dengan firman Allah SWT yang bermaksud :

“Bagi lelaki bahagian yang ia usahakan dan bagi wanita bahagian yang ia usahakan” (An-Nisa : 32 )