JUANITA masih sunti lagi. Wajahnya cantik, tubuh segar dengan kulit putih kemerahan. Sebab itulah dia yang menjadi pilihan.
Pada hari yang dijanjikan, Juanita diarak ke istana raja. Juanita yang baru berusia belasan tahun berjalan di belakang ibu bapa, serta ketua agamanya. Mantera keagamaan dibaca sepanjang perjalanan itu.
Ketika Juanita diiring menghadap raja, pesta keraian dan keagamaan terus dijalankan untuknya. Raja memerhatikan Juanita dari hujung rambut ke hujung kaki, kemudian menganggukkan kepala.
“Ini yang terbaik. Tuhan pasti gembira menerima kedatangannya,” kata raja kepada bapa Juanita.
Selesai mendapat perkenan raja, Juanita dipakaikan kain tenun yang paling halus, barang kemas termahal serta diberi makanan yang enak. Setelah itu sekali lagi gadis cantik ini diarak pergi, menuju ke puncak gunung yang telah ditetapkan.
Setiap hari mereka berjalan, siang dan malam, sejuk dan panas, kerana gunung yang ditujui terlalu jauh. Mereka perlu menyusuri banjaran yang bertingkat-tingkat untuk sampai ke situ.
Selepas beberapa minggu berjalan, akhirnya Juanita sampai di lereng gunung tersebut. Puncaknya diliputi salji tebal. Mereka terus mendaki, semakin lama semakin tinggi. Kabus yang ditempuh kian tebal sehingga mereka menggigil kesejukan.
Akhirnya mereka sampai ke puncak, disambut oleh hamparan salji yang memutih. Selepas berehat, upacara keagamaan dijalankan. Nama tuhan gunung dan tuhan matahari diseru.
Ya, masanya sudah tiba…
Juanita kemudian diberi minum sejenis air serta beberapa helai daun. Makin banyak air diminum dan daun itu dikunyah, Juanita berasa dunia ini semakin kelam. Puncak gunung seperti berputar, langit yang biru seakan mahu runtuh dan menghempap tubuhnya.
Melihat Juanita kian khayal dan mabuk, tubuhnya segera dibongkokkan. Keduadua tangannya dipelukkan dan sehelai kain selimut tebal dibalut ke tubuhnya.
Juanita sudah khayal. Suara ibu bapanya kian sayup di telinga, wajah mereka berbalam balam. Bumi ini terasa hilang dan dia bagaikan di awang-awangan. Ketika itulah Juanita terasa kepalanya ditundukkan dan…
DAMMM!! Satu pukulan yang kuat hinggap di sisi kepalanya. Semuanya serta-merta menjadi gelap gelita…

Selepas 500 Tahun, Juanita Ditemui
SEPTEMBER 1995, ketika Johan Reinhard dan Miguel Zarate sedang mendaki gunung Ampato di Arequipa, Peru, mereka terjumpa suatu bungkusan kain yang agak besar di dalam runtuhan cerun gunung tersebut.
Pada mulanya mereka fikir ia hanyalah kain peninggalan pendaki terdahulu. Tetapi setelah diteliti, mereka terkejut kerana yang dijumpai itu adalah mumia seorang gadis sunti yang sudah beku.

Bersama mumia itu, Reinhard, ahli arkeologi dari Amerika Syarikat dan Zarate, pendaki warga Peru, turut menjumpai pelbagai barangan berharga peninggalan masyarakat Inca. Antaranya patung-patung suci keagamaan, pinggan mangkuk, pin dan kepingan emas, perak serta cangkerang yang diukir bentukbentuk manusia dan haiwan.
Reinhard dan Zarate mengusung mayat itu ke bawah, seterusnya dibawa ke Arequipa. Penelitian yang dilakukan menggunakan peralatan moden menghasilkan keputusan yang sangat menakjubkan. Mumia itu dipercayai berusia 500 tahun dan keadaannya sangat elok kerana glasier yang tebal telah melindunginya daripada reput.
Berat mumia itu sekitar 41 kilogram, dan meninggal dunia pada usia 11 hingga 14 tahun. Amat menakjubkan kerana kulit, organ dalaman, tisu, darah, rambut, kandungan perut serta pakaiannya masih utuh lagi. Kain kapannya berwarna terang dan dia memakai penutup kepala diperbuat daripada bulu burung kakak tua berwarna merah.
Selain itu, tubuh gadis berkenaan dibalut dengan selimut yang diperbuat daripada bulu alpaca bermutu tinggi, kemudian diikat dengan pengancing perak.

Berdasarkan bajunya yang ditenun halus, dipercayai mumia itu adalah anak gadis seorang bangsawan Inca di Cusco. Dahulu Cusco adalah kota empayar kaum Inca (14381533).
Gadis sunti itu didapati mati akibat pukulan kuat di kepala. Retak sepanjang dua inci di tengkoraknya hampir menyamai kesan pukulan kayu pemukul bola besbol.
Pukulan itu turut meretakkan soket mata kanan gadis berkenaan, menganjakkan otaknya ke sisi bertentangan dan berlaku pendarahan teruk di dalam kepala.
Berdasarkan keadaannya yang masih elok, lengkap dan mudah dibuat penelitian, mumia gadis sunti itu diberi nama Juanita.

Lebih Banyak Korban Kanak-Kanak Dijumpai
SEBULAN kemudian, Reinhard kembali ke Gunung Ampato (6,310 meter di atas paras laut) bersama pasukan arkeologi yang lebih ramai. Kali ini mereka menemui mumia dua orang kanak-kanak, lelaki dan perempuan.
Bersama mayat itu ditemui 40 buah tembikar, barangan dapur daripada kayu yang diukir cantik, peralatan menenun dan sepasang sandal kulit. Tidak jauh daripada mayat dua kanak-kanak tadi, ditemui pula enam lagi mumia kanak-kanak berserta barang-barang berharga.

Rekod sejarah diteliti. Rupa-rupanya, masyarakat Inca mengamalkan upacara mengorbankan kanak-kanak. Dipercayai beratus orang kanak-kanak berusia tiga hingga 15 tahun telah dikorbankan. Ada kalanya, upacara itu dilakukan ke atas tujuh orang kanak-kanak sekaligus.
Sehingga kini, lebih 100 tempat suci Inca ditemui di puncak-puncak gunung banjaran Andes, yang sesetengahnya mencapai ketinggian 7,000 meter di atas paras laut.

Mengapa masyarakat Inca menjalankan upacara korban?
Kerana pelbagai tujuan, paling utama adalah untuk menggembirakan tuhan matahari, Inti, agar menyuburkan tanaman, memohon perlindungan dan tidak menurunkan bala kepada mereka.
Selain itu, upacara tersebut dijalankan apabila berlaku gempa bumi, gerhana, banjir, kemarau atau kemangkatan raja. Kanak-kanak dikorbankan dipercayai dapat menyampaikan hajat masyarakatnya kepada tuhan.
Upacara itu dilakukan di puncak gunung kerana selain menyembah tuhan gunung, Apus, ia dipercayai tempat yang paling hampir dengan tuhan Inti dan juga syurga.

Mengapa masyarakat Inca mengorbankan kanak-kanak, dan bukannya orang dewasa?
Ini kerana kanak-kanak dianggap sebagai insan yang masih suci. Hanya insan yang suci saja boleh dihantar untuk bertemu dengan Tuhan.
Bagaimanapun, bukan sembarangan kanak-kanak boleh dijadikan korban. Mereka mestilah anak pembesar, mempunyai tubuh yang sihat, cantik serta berperwatakan menarik. Mengorbankan anak dianggap suatu pengorbanan yang sangat suci dan dihormati.
Untuk pengetahuan anda, dua tahun sebelum upacara korban dijalankan, Juanita dan kanak-kanak yang akan dikorbankan diberi makan jagung dan daging ilama secukupnya supaya gemuk dan sihat.
Mereka kemudian dibawa menghadap raja di Cusco. Hanya kanak-kanak yang direstui raja saja yang boleh dikorbankan.

Setelah dipakaikan pakaian yang paling cantik berserta barang-barang kemas berharga, kanak-kanak ini diarak ke puncak gunung tempat upacara dilakukan. Ada antara mereka terpaksa berjalan kaki sejauh 800 kilometer dari Cusco ke puncak gunung tempat dia dikorbankan.
Di sepanjang perjalanan, kanak kanak ini akan diberi minum chica, iaitu minuman daripada jagung yang diperam. Chica membuatkan kanak-kanak itu khayal dan mabuk, hingga lupa kepada apa yang akan berlaku kepada diri mereka.
Keletihan akibat perjalanan yang jauh, kesejukan, mabuk dan kekurangan oksigen di altitud yang tinggi menyebabkan kanak-kanak ini sudah tidak bermaya apabila sampai di tempat upacara korban. Begitu juga dengan Juanita.
Di sana, sebuah pelantar dan kubur dibina daripada ketulan batu. Sebahagian kanak-kanak ini diberikan selimut dan dibiarkan mati kesejukan. Bagaimanapun, sebahagian besarnya dicekik, dipatahkan tengkuk, dipukul kepalanya atau ditanam hidup-hidup.
Proses menamatkan nyawa korban ini dilakukan dengan pantas ketika kanak-kanak tersebut sedang mabuk atau tidur lena agar mereka tidak berasa sakit.

Bagi Juanita pula, kepalanya dipukul dengan kayu pentung yang hujungnya diikat dengan kain. Mayat Juanita kemudiannya dimasukkan ke dalam kubur, dan ditinggalkan pergi.
Di situlah Juanita bersemadi, hinggalah kuburnya yang diliputi glasier runtuh akibat letusan gunung berapi Sabancaya yang terletak berhampiran, lalu ditemui oleh Reinhard dan Zarate.
_____________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare