berdosa percaya Tukang tilik

Salah satu faktor yang menyebabkan seseorang dilanda tekanan (stress) ialah apabila sesuatu barang miliknya yang berharga dan disayangi hilang. Kehilangan itu makin dirasai terutama sesudah semua masa, tenaga, fikiran dan wang ringgit dibelanjakan dalam usaha mencarinya.

Semakin berharga milikannya yang hilang itu, maka semakin serius tekanan dialami. Contohnya, kehilangan anak tunggal kesayangan boleh menimbulkan kesan negatif kepada seseorang. Dalam sejarah, Nabi Yakub a.s. menjadi buta matanya kerana kehilangan putera kesayangannya, nabi Yusuf a.s.

Apabila menghadapi masalah kehilangan sesuatu milik kesayangannya, masyarakat kita cenderung untuk mengambil jalan pintas, tanpa memikirkan soal halal atau haram.

Tumpuan utama mereka ialah tukang tilik, pak nujum, pawang, bomoh yang dianggap mengetahui perkara yang ghaib dan boleh membantu mereka menemui barang mereka yang hilang itu.

Ada juga yang tergamak meminta pertolongan tukang tilik  bukan Islam seperti bomoh orang asli, tok cha Siam dan sebagainya. Apa yang penting, barang mereka yang hilang mesti ditemui dengan segera.

Mereka melupakan wasiat Rasulullah s.a.w. yang bermaksud,

“Sesiapa yang menemui ‘arraf (tukang tilik) atau munajjim (tukang ramal dengan menggunakan peredaran bintang) atau kahin (pawang dan bomoh), sesungguhnya dia telah kufur terhadap kebenaran yang dibawa oleh Muhammad s.a.w.”

Setengah ulama menegaskan maksud kufur dalam hadis ini, bukan kufur yang menjadikan seseorang terkeluar daripada Islam, tetapi berdosa besar atau fasiq. Dalam riwayat yang lain, Rasulullah s.a.w. menegaskan, solatnya (termasuk ibadatnya yang lain) tidak diterima Allah selama 40 hari 40 malam.

Tukang Tilik Pembohong

Dalam satu riwayat, seorang sahabat (yang berasa kagum terhadap kebenaran seorang munajjim yang ditemuinya) bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang keharusannya menemui dan mempercayai kata-kata munajjim itu.

Baginda s.a.w. menegaskan, ia tidak harus. Sahabat tersebut menyatakan, semua kata-kata munajjim itu benar belaka. Rasulullah s.a.w. segera bersabda,

Munajjim itu pembohong, walaupun cakapnya benar.”

Persoalan timbul mengapa Rasulullah s.a.w. mengatakan tukang tilik dan ahli nujum pembohong? Sebabnya, kebenaran yang disampaikan hanya satu (sebagai umpan) sedangkan pembohongannya seribu. Oleh sebab itu, munajjim yang suka berbohong dan menipu ini dimasukkan ke dalam neraka.

Syirik dan berdosa besar mempercayai tukang tilik atau pawang

Firman Allah dalam surah al-An’am: 128

“…Nerakalah tempat kamu semua ( wahai manusia dan syaitan yang bersekongkol dalam berbuat kejahatan ketika di dunia). Mereka kekal selama-lamanya dalam neraka…”.

Pembohongan dan penipuan tersebut sangat ketara kerana Allah menegaskan, tidak ada makhluk yang tahu tentang sesuatu yang ghaib.

Firman Allah dalam surah al-Naml: 65

“Katakanlah (ya Muhammad) apa juga makhluk yang di langit dan di bumi tidak mengetahui yang ghaib, kecuali Allah”.

Malah, ada sesetengah sahabat yang beranggapan, Rasulullah s.a.w. tahu perkara yang ghaib, lalu Baginda menafikannya. Firman Allah dalam surah al-A’raf: 188

“…Jika aku mengetahui perkara yang ghaib, nescaya aku boleh buat banyak kebaikan dan tidak ada keburukan menimpa aku..”

Tukang Tilik Hilang Kemampuan

Di zaman pemerintahan Firaun, ramalan yang dilakukan oleh ‘arraf, munajjim dan kahin semuanya benar-benar terjadi. Misalnya, ramalan mereka mengenai kelahiran nabi Musa a.s dan kehancuran kekuasaan pengaruh Firaun di tangan Baginda. Mengapa ramalan mereka begitu canggih dan mengagumkan?

Faktor utamanya kerana Allah masih memberi peluang kepada syaitan untuk naik sampai langit yang ketujuh lalu mereka mendengar perbualan para malaikat mengenai apa yang akan berlaku di bumi.

Syaitan ini lalu memberitahu hal tersebut kepada tukang tilik dan ahli nujum. Selepas kelahiran nabi Isa a.s., sebahagian pintu langit ditutup dan syaitan hanya mampu sampai ke langit yang ketiga.

Syaitan tidak mampu mendengar perbualan langit kerana dikejar tahi bintang

Apabila Rasulullah s.a.w dilahirkan, semua langit ditutup. Syaitan hanya mampu menghampiri langit pertama. Itu pun mereka akan dipanah oleh tahi-tahi bintang. Firman Allah surah as-Sofat: 5-10,

“Sesungguhnya Kami hiasi langit yang dunia terendah dengan hiasan bintang-bintang sebagai menjaga daripada syaitan marid. Mereka tidak dapat mendengar perbualan malaikat di langit yang tertinggi melainkan mereka dilempar daripada segenap penjuru. Kecuali syaitan yang cuba mencuri-curi pendengaran, maka mereka akan dikejar oleh tahi bintang.”

Disebabkan oleh faktor penutupan semua pintu langit ini, maka tukang tilik dan ahli nujum telah kehilangan taring. Kemampuan ramalan mereka menjadi terbatas dan terlalu lemah kerana syaitan hanya mendapat sumber maklumat daripada perbualan malaikat di bumi. Wallahu a’lam

________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare