ditindih hantu ketika tidur

Amerika-hantu the devil riding your back iaitu hantu yang sedang menaiki bahu seseorang. Chinagui ya shen alias gangguan hantu yang menekan tubuh seseorang. Mexicose me subio el muerto dan dipercaya sebagai kejadian adanya arwah orang meninggal yang menempel pada seseorang.

Kemboja, Laos dan Thailand-pee umm, hantu yang membawa seseorang ke alam mereka melalui mimpi. Turkikarabasan, dipercaya sebagai makhluk yang menyerang orang di kala tidur, menekan dada orang tersebut dan mengambil nafasnya.

Jepun-kanashibari ikatan mahkluk halus. Vietnam- ma de yang beerti kuasa syaitan. New Guinea- Suk Ninmyo. Ini adalah pohon keramat yang hidup daripada roh manusia. Pohon keramat ini akan memakan roh manusia di malam hari agar tidak menggangu manusia di siang hari. Pelbagai kepercayaan negara lain terhadap hantu yang mengganggu ketika tidur

Bahaya Lilitan Syaitan

Hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud,

“Syaitan melilit seorang antara kalian dengan tiga lilitan ketika tidur. Dengan setiap lilitan syaitan membisikan: ‘Nikmatilah malam yang panjang ini,’ Apabila dia bangun lalu mengingati Allah, maka terlepaslah lilitan itu. Apabila dia berwuduk, lepaslah lilitan yang kedua. Kemudian apabila solat, lepaslah lilitan ketiga, sehingga dia menjadi bersemangat. Tetapi kalau tidak, dia akan terbawa menjadi lembap dan malas.”

Daripada hadis itu, Pensyarah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr. Syed Hadzrullatfi bin Syed Omar berkata, di situlah bukti adanya gangguan syaitan ketika tidur. Syaitan tidak akan membiarkan hamba Allah sentiasa bersenang dengan agama, tetapi akan tetap menyusahkan dan menyesatkannya ke lembah yang lebih hina dan maksiat agar menjadi penghuni neraka. Firman Allah surah Fatir: 6,

“Syaitan adalah musuh bagi kamu, jadikan dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi penduduk neraka.”

Bersandarkan hadis tersebut, Dr. Syed Hadzrullatfi juga meletakkan keyakinan bahawa adanya gangguan mahkluk lain yakni syaitan ketika sedang tidur. Biarpun situasi ini telah dibuktikan dengan kehebatan kajian saintifik, tetapi selaku orang beriman, kita juga harus percaya akan kewujudan makhluk lain yang tidak mampu dilihat oleh mata kasar.

Apatah lagi kewujudan jin, syaitan dan mahkluk halus ini juga ada disebut dalam kalam Allah,

“Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak melihat mereka.”

Oleh hal sedemikian, kemungkinan juga berlaku gangguan ketika tidur adalah munasabah. Menurut Dr. Syed Hadzrullatfi kajian saintifik itu tiada yang salahnya, malah semuanya betul belaka. Kajian saintifik itu bagus untuk kita sentiasa positif dan merungkai misteri mengikut pandangan psikologi.

Tetapi apa yang penting, pengalaman individu yang berdepan dengan mimpi itu juga perlu dititik beratkan. Orang yang mengalami situasi ditindih sahaja mengetahui sejauh mana ketakutan, kegelisahan dan perasaan yang dialami ketika itu.

Golongan jin dan syaitan adalah musuh yang utama bagi manusia

Jadi kita tidak boleh mengatakan kesemua individu yang ditindih ialah kesan psikologi diri mereka, tetapi kewujudan syaitan tidak boleh dipandang remeh. Malah Rasulullah s.a.w. ada menyebut yang syaitan mengganggu setiap masa termasuk ketika tidur, kerana itulah janji syaitan, untuk menyesatkan anak Adam.

Katanya, meskipun berpegang kepada al-Quran dan sunnah, tetapi kita juga tidak menolak kajian saintifik, kerana setiap orang mukmin itu percaya, sains juga datangnya daripada Allah. Oleh hal demikian, bagi menjawab pertanyaan tentang perbezaan sama ada betul kesan psikologi ataupun  memang betul ditindih ‘hantu’, Dr. Syed Hadzrullatfi memberitahu, jika betul ia gangguan syaitan atau makhluk lain, kesannya akan dapat dirasai bukan sahaja sewaktu tidur, tetapi juga ketika kehidupan seharian.

Badan orang yang ‘diganggu’ makhluk halus biasanya terasa panas apabila disentuh. Namun empunya badan tersebut merasa sebaliknya. Keadaannya seperti orang demam, meskipun sihat walafiat.

Selain itu, orang yang diganggu juga biasanya akan menyendiri dan merasa takut yang luar biasa, sehinggakan kadangkala mereka tidak tahu apa yang ditakuti itu. Antara lainnya, syaitan juga akan sentiasa berusaha untuk menjadikan manusia lupa dan lalai terhadap sesuatu kebaikan dan membuat seseorang yang telah dirasukinya merasa tertekan. Hatinya selalu merasakan keraguan di dalam ibadatnya, kepercayaannya terhadap Allah, hilang keyakinan diri, dan kecewa dengan kehidupannya.

Seperti yang diketahui umum, syaitan bertebaran dan aktif pada waktu malam untuk menyesatkan manusia. Mereka yang dirasuki syaitan biasanya mudah terganggu dalam tidurnya, walaupun hanya kerana bunyi detik jarum jam. Mereka sering terjaga daripada tidurnya di tengah malam hanya sekadar ingin minum atau membuang air kecil.

Justeru, tegas Dr. Syed Hadzrullatfi,  jika ciri-ciri tadi ada pada diri individu tersebut, kemungkinan besar situasi ditindih sewaktu tidur itu adalah hasil daripada gangguan syaitan dan iblis. Dan harus diingat situasi ditindih ini berlaku ketika berada di peringkat tidur kelima, iaitu REM, di mana ketika itu juga mimpi berlaku, seperti yang dikaji oleh saintis. 

Bahkan dalam Islam dinyatakan, mimpi yang dikatakan mainan tidur ini juga mempunyai tiga sumber seperti hadis Rasulullah s.a.w. “Mimpi itu ada tiga macam: bisikan hati, ditakuti syaitan, dan khabar gembira daripada Allah.” HR. Bukhari dan Muslim

Jangan Berjumpa Bomoh

Bagaimanapun, Dr. Syed Hadzrullatfi menasihati, setiap daripada mangsa yang ditindih, kembali muhasabah diri agar dapat jumpa puncanya. Jika puncanya lumpuh tidur, kena tengok balik pola tidurnya agar lebih teratur. Tetapi jika disebabkan gangguan makhluk halus, perlu teguhkan iman serta mantapkan akidah di jalan Allah. Amalkan baca al-Quran dan solat sunat sebelum tidur agar amalan mulia itu sebati dalam diri.

Kita diajar untuk bina dinding diri yakni roh daripada benda yang jahat seperti syaitan. Pendinding itu terhasil daripada bacaan ayat-ayat al-Quran agar terhalang daripada gangguan syaitan. Sekiranya merasakan diri ada kelemahan, perbaiki sebaik mungkin. Lakukan sendiri dengan sentiasa membaca ayat al-Quran, buat solat sunat taubat, serta perbanyakkan amalan sunat selepas memantapkan ibadah wajib.

Elakkan dari bertemu bomoh atau pawang dalam merawat penyakit

Dengan cara itu, kita akan merasa lebih dekat dengan Allah dan merasai akan sifat-Nya yang Maha Besar, sehingga merasakan ancaman makhluk lain semuanya kecil belaka. Lagi satu diingatkan, elakkan berjumpa dengan bomoh atau pengamal perubatan jika keadaan masih boleh dikawal.

Berubat sendiri lebih afdal, seperti sebelum tidur, lumurkan diri dengan cuka makan bersama garam halus, baca doa, tiga surah al-Quran yang disebut tiga kul, dan ayat kursi kemudian mandi dengan air sejuk. Dengan izin Allah, syaitan akan menjauh.

Dikhuatiri apabila  berjumpa bomoh atau pengamal perubatan, akan menyebabkan keadaan makin buruk. Apatah lagi pada zaman kini, tidak semua bomoh dan pengamal perubatan mengikut landasan agama yang sebetulnya. 

Sebaliknya, ramai yang melakukan kerja berkenaan demi kepentingan diri dan duit semata-mata. Lantas selaku orang Islam, perlu adanya ilmu dalam setiap sudut kehidupan, termasuk menyelidiki ilmu perubatan Islam agar perawat yang ditemui dipastikan mengikut cara Islam.  

Biasanya, memang menjadi adat, bila diuji dengan sakit, akan terus berubat dan fikiran akan terarah kepada ‘asal baik’ sahaja. Bagaimana cara untuk baik, tidak difikirkan sangat, tetapi yang lebih penting baik seperti sedia kala. Itu salah sebenarnya. Kita memohon pertolongan orang lain, yang belum diyakini akidahnya dan kita juga tidak mempunyai akidah yang mantap iaitu mendinding diri terlebih dahulu.”

Meskipun begitu, Dr. Syed Hadzrullatfi tidak mengatakan kesemua pengamal perubatan begitu. Terdapat golongan insan yang mempunyai ilmu dalam bidang perubatan Islam, yang berniat menolong orang dalam kesusahan dengan menggunakan ilmu yang dianugerahkan kepadanya. Cuma  jangan sampai masyarakat memupuk unsur syirik dalam kehidupan dan keyakinan kepada Allah terjejas. Wallahu a’lam

_________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare