Kasihan Naipi & Taroba. Cinta mereka berakhir di ‘kerongkong syaitan’

Dari Penulis

Kisah ini berlaku ratusan tahun dahulu. Ketika itu tinggal sekumpulan warga peribumi berhampiran sebatang sungai yang amat jernih airnya.

Setiap tahun mereka mengorbankan seorang gadis sebagai hadiah istimewa kepada tuhan ular yang tinggal di dalam sungai tersebut. Nama tuhan ular tersebut, Boi.

Kali ini, si gadis jelita bernama Naipi dipilih untuk menjadi korban. Bagaimanapun, Naipi enggan dijadikan korban kerana dia mencintai seorang pahlawan tampan bernama Taroba. Mereka sudah berjanji sehidup semati. Lantas kedua-­duanya membuat perancangan untuk melarikan diri.

Pada malam sebelum upacara korban dijalankan, bertemulah Naipi dan Taroba di tepi sungai tersebut. Namun usaha mereka untuk melarikan diri dengan menggunakan perahu, telah dilihat oleh Boi.

Boi mengejar pasangan kekasih itu dan menukar tubuhnya menjadi sebesar sungai berkenaan. Tubuhnya melingkar­-lingkar lalu menghancurkan batu, meruntuhkan tebing serta menumbangkan pokok di sekitarnya.

Bumi bergegar, air berpusar ganas. Tetapi Taroba bukan sembarangan wira. Kepantasannya mengayuh perahu, menyebabkan Boi gagal menangkapnya.

Boi bertambah marah, lalu ia menghempas­-hempaskan dirinya ke dasar sungai dengan jeritan suara yang menakukan.

Air terpercik tinggi ke udara. Ombak bergelora bagaikan dilanda taufan. Bumi tidak semena­-mena terbelah, lalu membentuk gaung dan cerun yang cukup besar serta dalam.

Kini Taroba dan Naipi tidak dapat melarikan diri lagi. Perahu mereka akhirnya karam dihempas ombak sungai yang menggila.

Taroba terdampar di tebing, manakala Naipi hanyut dibawa arus menuju ke gaung yang terbelah tadi. Dia melaung memanggil Naipi bersama air mata yang tidak berhenti mengalir. Begitu juga dengan Naipi.

Adakah Boi hanya melihat saja? Tidak. Boi yang sedang marah menyumpah Taroba menjadi sebatang pokok palma. Tangannya dibenam ke dalam tanah menjadi akar supaya dia tidak dapat melepaskan diri. Naipi pula disumpah menjadi seketul batu besar di tengah-­tengah air terjun tersebut.

Maka berakhirlah cinta suci sepasang kekasih. Setiap hari akan muncul sebuah pelangi di sungai tersebut, bermula dari sebatang pokok palma hingga ke batu besar tadi. Pelangi itulah yang mengikat cinta mereka sejak beratus-­ratus tahun dahulu, sampai sekarang.

Setiap hari akan muncul pelangi di sungai ini, tanda cinta Naibi dan Taroba yang terkorban di sini.

Bagaimana dengan Boi? Dikatakan ia masih lagi berlegar-­legar di sekitar air terjun berkenaan, terus memerhatikan agar Naipi dan Taroba tidak bersatu sampai bila-­bila pun.

Ah, begitulah mitos asal usul Air Terjun Iguazu. Kononnya, pokok palma jelmaan Taroba terletak di Brazil manakala batu jelmaan Naipi pula terletak di Argentina. Boi pula masih menyorok di dalam lubuk air terjun paling besar dan dalam, diberi nama ‘Kerongkong Syaitan’ (Devil’s Throat).

Devil’s Throat, bahagian air terjun paling dalam. Dikatakan Boi masih menyorok di dalamnya.

Untuk makluman anda, Air Terjun Iguazu adalah salah sebuah air terjun terbesar di dunia. Ia terbentuk daripada aliran Sungai Parana yang terletak di sempadan Brazil dan Argentina. Oleh kerana itu, air terjun tersebut dikongsi oleh kedua-­dua negara berkenaan.

Bayangkan, terdapat lebih 275 air terjun pelbagai saiz dan ketinggian, dalam sebuah jajaran sepanjang 2.7 kilometer. ‘Kerongkong Syaitan’ adalah air terjun  yang terbesar setinggi 82  meter, 700  meter panjang dan 150 meter lebar.

Air terjun Iguazu, air terjun terbesar di dunia.

Untuk pengetahuan anda lagi, perkataan Iguazu berasal daripada bahasa peribumi Indian yang bermaksud ‘Air besar’. Air terjun Iguazu juga empat kali lebih besar berbanding Air Terjun Niagra yang terletak di sempadan Amerika Syarikat­-Kanada.

Selain saiznya yang besar, pelangi yang indah terbentang di setiap inci air terjun itu. Sebab itu ramai pasangan kekasih sering menjadikan air terjun ini sebagai tempat untuk mengeratkan lagi kasih sayang. Tetapi awas, air terjun dan pelangi itu juga boleh menjadi pembunuh cinta yang paling kejam.

Keindahan air terjun dengan pelangi ini juga boleh bertukar menjadi ‘pembunuh.

Itulah yang berlaku kepada sepasang pengantin baru, Kapten Laura Eberts dan suaminya, Leftenan Pertama Robert T. Eberts. Kedua­-dua mereka adalah anggota tentera Amerika Syarikat (AS) yang baru pulang daripada bertugas selama setahun di Afghanistan.

Pada 21 Mac 2011, mereka ke sana untuk berbulan madu. Bersama enam orang lagi pelancong, Laura dan Robert menyewa sebuah pelampung rakit menyusuri sungai dan air terjun berkenaan.

Bagaimanapun, rakit yang mereka naiki itu karam akibat dihempas oleh deruan air yang begitu ganas. Kemalangan tersebut meragut nyawa Laura dan seorang lagi pelancong AS, Philip Musgrove, 70.

Maka berakhirlah cinta suci sepasang pengantin baru. Menjadikan tragedi itu lebih tragik, ia berlaku berhampiran dengan batu Naipi.

Berlainan pula dengan seorang  wanita bernama Monica Heck, 37, seorang guru warganegara Argentina. Monica telah membunuh dirinya dengan terjun ke dalam lubuk Kerongkong Syaitan pada pukul 9.50 pagi, 7 Mac 2013.

Saat akhir Monica sebelum membunuh diri yang sempat dirakam.

Seorang pengunjung sempat merakam detik­-detik terakhir Monica membunuh diri. Mayat Monica ditemui beberapa jam kemudian, terapung­-apung di permukaan lubuk yang kononnya menjadi tempat Boi bersembunyi memerhatikan Naipi dan Taroba!

Mengapa Monica membunuh diri? Dikatakan, akibat tekanan perasaan.

Dikatakan sememangnya setiap tahun pasti akan ada orang membunuh diri di air terjun berkenaan. Selalunya wanita, akibat putus cinta.

Kisah percintaan Naipi dan Taroba serta Boi hanya sekadar cerita legenda masyarakat tempatan. Kes-kes yang meragut nyawa di air terjun Iguazu hanya kebetulan saja apabila dikaitkan dengan mitos tempat tersebut.

Fakta sebenarnya, air terjun Iguazu dan Kerongkong Syaitan adalah salah satu keindahan alam yang dicipta oleh tuhan untuk kita hayati dan renungkan, bagi menambah rasa cinta serta tunduk kita kepada­Nya.

Air Terjun Iguazu.

________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kecoh dakwaan Kuil Ular jadi tempat memohon hajat orang Islam, Malar dedah cerita sebenar

Isu berkaitan sebuah rumah ibadat yang dikenali sebagai Kuil Ular kembali menjadi perbualan di media sosial. Sebelum ini, Mastika mendapat...

More Articles Like This