PENYERANG Johor Darul Ta’zim (JDT),Mohamadou Sumareh dan Guilherme De Paula terus mendapat kepercayaan apabila menjadi antara 28 pemain dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya menjelang Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 di Singapura, bulan depan.

Kedua-dua pemain naturalisasi itu antara tujuh pemain JDT yang membarisi skuad kendalian pengendali Tan Cheng Hoe kali ini.

De Paula menyertai lima penyerang skuad kali ini, selain rakan sepasukan di JDT, Muhammad Syafiq Ahmad, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (Selangor FC), Darren Lok (Petaling Jaya City FC) dan Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk).

Kem latihan pusat bermula 22 Nov di lokasi belum ditetapkan itu menetapkan hanya pemain yang pasukannya tersingkir daripada peringkat kumpulan dan suku akhir Piala Malaysia 2021 akan melapor diri terlebih dahulu.

Ia disusuli pemain dari pasukan terkeluar pada saingan separuh akhir Piala Malaysia untuk melapor diri pada 28 Nov manakala pemain yang akan beraksi di pentas final pertandingan berprestij pada 30 Nov melapor diri 1 Dis.

“Kalau kita lihat secara keseluruhannya kami rasa kita mempunyai senarai terbaik dari segi pemain senior kita ada Aidil (Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak), Apek (Khairul Fahmi Che Mat) dan juga Baddrol Bakhtiar.

“Ketiga-tiga pemain ini paling senior dalam pasukan dan sudah tentu dengan adanya pemain-pemain muda dan kita rasa kita mampu beri satu tentangan terbaik dalam kempen Piala AFF kali ini,” kata Cheng Hoe.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman pemain ke kem latihan pusat skuad kebangsaan menjelang Piala AFF 2020 di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, hari ini.

BERITA BERKAITAN Piala AFF, Malaysia diundi bersama Vietnam, Indonesia

Cheng Hoe berkata pemain berpangkalan di luar negara yang terdapat dalam senarai akan melapor diri mengikut tarikh pelepasan diberikan kelab masing-masing.

Menurut jurulatih berusia 53 tahun itu, hanya 24 pemain akan berada dalam skuad akhir yang dijadual berlepas ke Singapura pada 3 Dis sebelum Malaysia memulakan saingan peringkat kumpulan bermula 5 Dis.

Kejuaraan Piala AFF 2020 dijadual berlangsung dari 5 Dis hingga 1 Jan tahun depan dengan Malaysia selaku naib juara edisi 2018 diundi dalam Kumpulan B bersama-sama penyandang juara Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos.

Malaysia yang menyasarkan mara ke pentas final buat kali kedua berturut-turut akan memulakan kempen kejuaraan berdepan Kemboja pada 6 Dis diikuti Laos (9 Dis), Vietnam (12 Dis) dan Indonesia pada 19 Dis dalam usaha muncul dua pasukan terbaik untuk layak ke separuh akhir.

Berikut adalah senarai 28 pemain dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula 22 Nov bagi persiapan menghadapi Piala AFF 2020 di Singapura dari 5 Dis 2021 hingga 1 Jan 2022.

  • BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram