HARIMAU Malaya bakal berhadapan cabaran hebat dalam kejohanan Piala AFF 2020 apabila diundi bersama juara bertahan Vietnam dan musuh tradisi, Indonesia dalam Kumpulan B.

Turut diundi dalam kumpulan itu ialah Kemboja dan Laos.

Cabaran daripada dua pasukan itu juga tidak boleh dipandang mudah oleh mana-mana lawan dalam Kumpulan B.

Saingan edisi ke-13 kejohanan berprestij bola sepak Asia Tenggara ini dijadualkan bermula dari 5 Disember tahun ini sehingga 1 Januari tahun depan.

Thailand akan menjadi pilihan utama Kumpulan A yang terdiri daripada Myanmar, Filipina dan Singapura dan pemenang pusingan kelayakan antara Brunei dan Timor-Leste, dalam format perlawanan tunggal kali ini.

Acara pengundian berlangsung secara maya dan strim langsung dalam saluran YouTube rasmi kejohanan Piala AFF Suzuki. Hanya dua pasukan teratas di peringkat kumpulan akan mara ke separuh akhir.

Dalam edisi sebelumnya dalam 2018, Malaysia di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe muncul naib juara selepas tewas dengan agregat 2-3 pada final kepada Vietnam.

Presiden Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), Mejar Jeneral Khiev Sameth semasa ucapan pembukaan berkata kejohanan itu akan berlangsung dalam venue berpusat kali ini.

Ia berikutan ancaman pandemik COVID-19 berbanding dengan format timbal balik di gelanggang sendiri dan lawan dari peringkat kumpulan hingga ke final, sebelum ini.

Kejohanan ini yang sepatutnya berlangsung tahun lepas, ditangguhkan setahun kerana pandemik COVID-19.

Baca artikel berkaitan: Harimau Malaya akan kembali lebih kuat untuk ke Piala Asia

Tewaskan Thailand, Harimau Malaya automatik ke pusingan ketiga Piala Asia

Malaysia memenangi piala itu hanya sekali pada 2010 sejak kejohanan dwitahunan itu bermula pada 1996 dan menjadi naib juara dalam 1996, 2014 dan 2018.

Sepanjang sejarah kejohanan ini, hanya empat negara yang pernah menjuarai kejohanan itu.

Thailand merupakan pasukan paling berjaya dengan lima kejuaraan (1996, 2000, 2002, 2014 dan 2016) diikuti Singapura dengan empat kejuaraan (1998, 2004, 2007 dan 2012) dan Vietnam (2008 dan 2018).

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram