JIKA anda pernah menonton filem 3096 Days yang ditayangkan pada tahun 2013, yang berkisar tentang seorang kanak-kanak perempuan yang diculik, kemudian dikurung bertahun-tahun oleh penculiknya, filem itu diadaptasi daripada kisah benar seorang wanita bernama Natascha Kampush.
Kisahnya bermula pada 2 Mac 1998. Natascha yang ketika itu berusia 10 tahun didapati hilang setelah diculik sewaktu dalam perjalanan ke sekolah di Vienna, Austria.

Sewaktu dia diculik, tiada wang tebusan yang dituntut ke atas keluarganya. Tambahan pula keluarganya bukan orang kaya. Jadi, tiada sebab kukuh mengapa kanak-kanak itu diculik.
Kisah kehilangan Natascha itu menyebabkan keluarganya buntu. Pelbagai usaha dilakukan untuk mencarinya, tetapi tidak mendatangkan hasil. Tiada siapa tahu ke mana kanak-kanak perempuan itu ghaib. Seorang saksi memberitahu polis melihat Natascha ditarik ke dalam sebuah van putih.
Atas maklumat itu, polis telah memeriksa 776 buah van di sekitar kawasan tersebut, termasuklah van si penculiknya, Wolfgang Priklopil. Namun, Priklopil berjaya memperdaya pihak polis, ditambah pula dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Hanya setelah lapan tahun diculik, barulah misteri kehilangan Natascha terjawab.

Pada 23 Ogos 2006, Natascha yang berusia 18 tahun berjaya melarikan diri. Ketika itu dia sedang membersihkan kenderaan Prokpil dengan vakum. Sewaktu Prokpil leka menjawab panggilan telefon, Natascha memanfaatkan peluang itu dengan lari keluar dari rumah penculiknya.
Gadis itu berlari sejauh lebih kurang 200 meter, meredah semak samun, melangkah pagar tinggi sehingga tiba di rumah wanita yang bernama Inge T yang kemudiannya menelefon pihak polis di bandar DeutschWagram di Austria.
Selepas mendapat tahu Natascha berjaya melarikan diri, Prokpil mengambil tindakan drastik dengan membunuh diri. Prokpil terjun di hadapan kereta api yang sedang bergerak laju sebelum sempat menjelaskan mengapa dia memperlakukan Natascha sedemikian rupa.

Ada antara teman rapat Prokpil memberitahu, penculik itu pernah menyatakan hasrat untuk ‘menculik’ seorang kanak-kanak perempuan. Prokpil berhasrat ingin menjaga kanak-kanak perempuan itu dengan harapan setelah membesar akhirnya jatuh cinta kepadanya sama seperti plot novel John Fowles yang berjudul The Collector.
Pada sangkaan rakan-rakannya, Prokpil hanya bergurau dan mereka amat terkejut apabila mengetahui tragedi yang berlaku ke atas Natascha. Prokpil disifatkan rakannya sebagai seorang yang pendiam dan tidak pandai bergaul.
Dikurung, Disiksa Dan Diperkosa
Sepanjang tempoh 8 tahun diculik, Natascha dikurung dalam sebuah bilik bawah tanah yang sempit dan busuk. Penjara bawah tanah itu hanya berkeluasan 54 kaki persegi, tidak mempunyai sebarang tingkap dan juga kalis bunyi.
Pintu dalam dan di luarnya diperbuat daripada besi konkrit. Jika dilihat dari luar, bilik tersebut direka seperti sebuah almari pakaian. Di situlah Natascha dipukul, didera, dibiarkan kelaparan dan diperkosa berulang kali oleh penculiknya.

Sepanjang enam bulan pertama diculik, Natascha tidak dibenarkan langsung untuk meninggalkan kamar kecil itu. Hanya selepas beberapa tahun dia ‘disimpan’ dalam bilik tersebut, barulah Prokpil membenarkan Natascha untuk keluar dan dibawa masuk ke dalam rumahnya. Namun, Natascha tetap dihantar balik ke dalam bilik kurungan setiap malam.
Dari hari ke hari, Natascha mula dibenarkan untuk membantu Prokpil berkebun di laman rumah dan pada hari lahirnya yang ke-18, Prokpil membawa Natascha bercuti ke sebuah pusat peranginan.
Tapi, dia diugut supaya tidak bercakap dengan sesiapa. Prokpil sering kali memberitahu Natascha yang dia menyimpan pistol dan akan membunuhnya jika dia cuba untuk melarikan diri.
Lapan tahun terasing daripada dunia luar, Natascha mencari ilmu dengan membaca pelbagai jenis buku bagi menambah ilmu pengetahuannya. Penculiknya membenarkannya untuk membaca buku, mendengar radio dan menonton video.
Kisah malang yang menimpa Natascha menjadi kisah popular di seluruh dunia. Dia turut menulis pengalamannya itu dalam buku berjudul 3096 Days yang diterbitkan pada 2010, sebelum bukunya itu diadaptasi menjadi sebuah filem dengan judul yang sama.

Pada tahun 2016, Natascha menerbitkan buku keduanya berjudul 10 Years of Freedom yang menceritakan kehidupannya selepas 10 tahun ‘bebas’ daripada tragedi hitam tersebut.
Apa jadi pada rumah Prokpil yang menjadi ‘penjara’ Natascha selama 8 tahun itu?
Setelah kematian Prokpil, Natascha bertindak membeli rumah tersebut meskipun dia tahu banyak kenangan pahitnya di situ.
Bagi Natascha, kediaman itu menjadi begitu bermakna kepada dirinya kerana di situlah dia pernah menjalani kehidupan pahit selama lapan tahun, yang menyimpan memori zaman kanak-kanaknya sehingga meningkat remaja. Bahkan, Natascha kini tinggal di rumah tersebut.
_________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen

