perbuatan yang masuk neraka

Ya! Kepochi, ada apa dengan kepochi? Ada yang mendefinisikan kepochi sebagai banyak cakap, jaga tepi kain orang, bercakap hal orang, mengumpat dan tidak pandai menyimpan rahsia. Jika dicari maksudnya di mana-mana kamus memang kita tidak akan jumpa. Maaf cakap, senang cerita gelaran ini dicipta khas buat mereka yang layak menerimanya.

Namun, apa yang boleh difahami, ia cenderung kepada sifat dan perangai manusia yang ‘kepoh’ sehingga menimbulkan rasa tidak selesa orang sekelilingnya. Kadang-kadang orang kepoh ni bukan mengata hal orang tapi terlebih peramah hingga merimaskan.

Si kepochi ini bukanlah asing dalam kalangan masyarakat kita. Acap kali kita berdepan dengan mereka. Analisis kembali, mungkin juga kita adalah sebahagian darinya.

Imam Muda, Muhammad Asyraf  Mohd Ridzuan berpendapat, kepochi lain sikit dengan kaki umpat tapi kalau sudah terlalu banyak bercakap tidak dinafikan boleh juga terkeluar umpatan. Lazimnya mereka adalah orang yang banyak cakap, bercakap tidak pernah berhenti walaupun tanpa ada keperluan sehingga menimbulkan perli-memerli.

Dalam nasihat Amirul Mukminin Umar bin Al-Khattab barang siapa yang banyak cakapnya, maka banyaklah juga salahnya.

Pun begitu, Asyraf menjelaskan, bercakap banyak tidaklah salah selagi kita bercakap perkara kebaikan. Bicara paling baik adalah percakapan yang mengajak kepada agama Allah. Kerana percakapan seseorang mencerminkan keperibadian dan kebijaksanaan seseorang.

Kata-kata yang bijak itu apabila ia ringkas, padat, mudah diingati dan penting dengan penggunaan bahasa yang baik. Kebijaksanaan tersebut menuntun kita untuk mengawal lidah dari bercakap perkara kebatilan. Kerana dibimbangi mendorong kepada dosa lisan.

Dalam satu hadis riwayat Imam Ahmad, Muadz Ibn Jabir telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w.,

“Ya Rasulullah, terangkan kepadaku tentang amal yang mewajibkanku masuk syurga, dan menjauhkanku dari api neraka?” Lalu Baginda bersabda,

“Pangkal segala perkara adalah mendirikan solat lima waktu, dan puncak kepada segala kebaikan adalah jihad.” Kemudian Rasulullah bertanya kepada Muadz,

“Tahukah kamu apa kunci yang membuka semuanya?” Dan Baginda bersabda, “Jagalah ini (lidah dan mulut).” Muadz bertanya lagi,

“Ya Rasul, adakah tuntutan kepada semua perkataanku?” Rasulullah bersabda, “Celakalah kau, ketahuilah kebanyakan manusia terjerumus ke dalam neraka, akibat daripada perkataan yang keluar dari lidahnya.”

Jagalah lidah dan mulut kerana ramai masuk neraka disebabkan kedua organ ini

Kepoh Ke Ramah?

Orang peramah selalu menjadi perhatian, yang ringan mulutnya cepat popular. Walaupun yang dituturkan hanya cerita yang tidak berapa hendak bijak sangat tapi orang peramah cepat terkenal.

Orang peramah… okaylah! Tapi jangan terlalu peramah hingga merimaskan. Ramah tidak semestinya kepoh, dan kepoh tidak juga ramah. Si peramah itu pastinya seorang yang tidak lokek dengan senyuman, sapaan yang sangat sopan dan tertib, susunan ayat yang baik serta tahu mengendalikan situasi ramahnya.

Baginda Rasulullah s.a.w. merupakan contoh terbaik. Keramahan Baginda dan mengekalkan ‘public relation’ yang baik dengan sesiapa sahaja. Diamnya Baginda penuh karisma, apabila bercakap, Baginda kelihatan hebat.

Dalam satu hadis riwayat Al-Tarmizi, sebahagian daripada keelokan Islam seseorang ialah meninggalkan apa yang tiada kena mengena (tidak berfaedah) dengannya. Lidah merupakan antara yang mengundang untuk melakukan dan berbicara kepada perkara yang sia-sia.

Menurut Ashraf, si kepoh ini bukanlah seorang yang ramah, tetapi buat-buat ramah. Apa gunanya menjadi peramah, jika keramahan mereka menimbulkan rasa kejelekan orang lain. Sedangkan sikap itu sebenarnya membentuk satu ikatan persahabatan antara satu sama lain.

Namun, disebabkan buat-buat ramah ini, ikatan yang baru sahaja nak dibina dah terlerai dek kerana mulut! Benarlah, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan kita merana.

Orang dulu-dulu kata mesyuarat tingkap kemudian dimodenkan sikit jadi radio bergerak, sekarang era media sosial perkataan kepochi sudah ditukar jadi ‘viral’. Semua benda hendak diviralkan hingga sudah tidak ada rahsia walaupun hal itu kadang-kadang terlalu peribadi.

Generasi digital adalah generasi ‘viral’ suka kepochi. Disebabkan perbuatan itu, keaiban dirinya sendiri terbuka sehingga memberi peluang untuk orang lain bercerita mengenainya.

Bercerita keburukan dan keaiban manusia lain merupakan perkara yang dicela oleh Allah. Dalam satu hadis riwayat Tirmidzi “Sesiapa yang menutup aib saudara muslimnya, maka Allah akan menutup keaibannya di akhirat kelak.”

Ujar Asyraf, masih belum terlambat untuk memperbetulkan keadaan. Peringkat permulaan untuk mengurangkan bercakap adalah dengan memberi ruang bersendirian agar keinginan untuk bercakap itu dapat dikurangkan.

Secara perlahan-lahan ia membantu kita untuk diam dan lama-kelamaan ia akan menjadi diam itu indah. Sentiasa basahkan bibir dengan zikrullah agar hati terlindung dari bercakap perkara yang sia-sia. Jika kita rasa bergaul dan lepak bersama kawan-kawan boleh mengundang kepada tabiat lama, maka elakkan.

Asyraf berkata, memang agak sukar untuk berubah namun keinginan dan niat untuk berubah itu lebih penting Kerana Allah itu Maha Pengampun. Firman Allah dalam surah As-Syuuraa: 25

Dan Dia lah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya dan memaafkan kesalahan-kesalahan.” Wallahu a’lam

___________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare