PENYANYI Lan Solo atau nama sebenar Mohd Razlan Mohamed Yusof, 36, luah syukur apabila dia tergolong antara penerima anugerah 100 Top Young CEO 2021.
Menerusi perkongsiannya di laman Instagram, Lan tidak menyangka kedai runcit Borneo Mart yang telah bertapak hampir dua tahun telah mencatat pencapaian yang sangat membanggakan buat dirinya dan juga keluarga.
“Tak pernah termimpi Solo Borneo Mart akan sampai ke tahap ini. Yela kedai runcit je kan! Tapi bila dah rezeki, Allah kata nak bagi, dia akan bagi,” ujar Lan.
Lan mengakui, dia masih baru dalam dunia perniagaan dan sangat teruja bersama dengan usahawan hebat yang lain.
“Allahuakbar, sangat teruja bila dapat bersama dengan usahawan-usahawan hebat yang jauh lebih berjaya kalau nak dibandingkan dengan kami yang masih ‘baby’ dan banyak yang perlu kami belajar lagi dalam selok belok perniagaan,” katanya.
Namun, terdapat segelintir netizen tidak puas hati dengan memperlekehkan dan memperkecilkan kejayaan dan anugerah yang diterima olehnya.
“Anugerah itu bukan saya minta, orang nak bagi. Jadi saya anggap ia satu penghargaan buat usaha kami. Walaupun kedai runcit tapi usaha kami melebihi apa yang sepatutnya dan secara tak langsung terus di iktirad.
“Tak pasti pula kalau ada anugerah yang boleh dibeli kerana bagi anugerah ini, saya dapat panggilan daripada penganjur..diberitahu tercalon dan menerima anugerah kategori Top Leading CEO 2021.
“Apa relevennya nak beli anugerah sedangkan masing-masing usahawan mampu berusha menaikkan ‘branding’ sendiri dan menaikkan jenama sendiri,” katanya memetik laporan Mstar.
Sementara itu, Lan menitipkan ucapan tahniah buat isterinya tercinta, Nur Sheila Hassim, 35, dan juga kepada pekerja-pekerja yang selama ini menjadi tulang belakang dalam perniagaannya.
“Tahniah sayang, Allah balas segala penat lelah awak.
“Tahniah juga buat keluarga kecil kami..pasukan SBM di Puchong, Ampang dan juga di Sabah serta Sarawak.
“InShaAllah kita akan terus memberikan khidmat yang terbaik buat semua penggemar makanan Borneo. Sama-sama kita kongsikan manfaat ini dengan lebih ramai orang. InShaAllah Amin,” tambahnya lagi.

