KEPADA semua warga Lembah Klang, bersedia untuk berkampung di Petaling Jaya pertengahan Jun ini! Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bakal menganjurkan Festival Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 yang dijadualkan berlangsung meriah selama enam hari berturut-turut, bermula 16 hingga 21 Jun ini.
Sambutan dua dekad ini bukan sekadar majlis rasmi biasa, sebaliknya ia dibawakan khas sebagai sebuah festival mega yang menggabungkan elemen hiburan, budaya popular, teknologi mesra anak muda, dan aktiviti komuniti santai demi menghargai sokongan padu warga kota selama ini.
Kemuncak Gempak: Konsert Artis & Bunga Api

Bagi peminat hiburan tempatan, tarikh 20 Jun wajib ditanda dalam kalendar anda. Bertempat di Laman MBPJ, Jalan Yong Shook Lin, malam kemuncak sambutan akan digegarkan dengan persembahan bertenaga daripada barisan artis jemputan terkenal tanah air, persembahan kebudayaan yang memukau, serta acara kemuncak pertunjukan bunga api gergasi yang akan mewarnai ruang angkasa Petaling Jaya.
Artis yang akan menghiburkan penonton pada malam kemuncak ialah Ernie Zakri, Shidi Data, Salma Asis, Zubir Khan, Victoria, Thalita dan Zaki Yamani.
Lain-lain artis yang beraksi ialah Cherpen (19 Jun) manakala 21 Jun ialah Lan Solo. KOI dan Floor 88.
Sebelum konsert bermula, sebelah siangnya pula akan dimeriahkan dengan perarakan komuniti secara besar-besaran yang melibatkan penyertaan daripada pelbagai agensi, institusi pendidikan, industri perhotelan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Bukan itu sahaja, festival ini turut membawakan kelainan yang pastinya menarik perhatian golongan belia dan peminat tegar dunia digital melalui komponen PJ Digital 2026.
Anak-anak muda boleh merasai sendiri pengalaman dunia maya menerusi pameran Realiti Maya (VR), pertandingan e-sukan (e-sports) yang menjanjikan persaingan sengit, serta pameran inovasi ICT terkini termasuk aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) dan simulasi robotik seperti pertandingan LEGO Robotics.
Bagi kaki makan dan pencinta seni jalanan pula, festival makanan dan persembahan pemuzik jalanan akan menemani anda di sepanjang tapak festival.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon meluahkan rasa keterujaannya terhadap festival berskala besar ini.

“Sambutan selama enam hari ini merupakan hadiah dan tanda penghargaan tertinggi kami kepada seluruh komuniti, sektor swasta, dan rakan strategik yang telah bersama-sama mewarnai transformasi Petaling Jaya sepanjang dua dekad ini.
“Ini bukan sekadar acara mengimbau sejarah, tetapi sebuah festival keraian bersama untuk kita memperkukuhkan lagi ikatan komuniti menuju sebuah bandar raya yang lebih mampan, pintar, ceria, dan bahagia,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa MBPJ akan terus komited memanfaatkan teknologi moden demi memastikan bandar raya ini kekal seksi dan relevan sebagai lokasi tumpuan untuk bekerja, belajar, dan berhibur.
“Kami di peringkat MBPJ akan sentiasa memperkasakan inovasi dan mutu perkhidmatan.

“Fokus kami adalah memastikan Petaling Jaya terus menjadi bandar raya pilihan utama dan ‘lubuk’ terbaik untuk masyarakat menjalani kehidupan, bekerja, menimba ilmu, dan meluangkan masa beriadah bersama keluarga,” tambahnya lagi.
Jom Pakat Datang: Ada ‘Barang Free’ & Parkir Percuma!
Sebagai bonus sempena ‘pesta’ ulang tahun ini, MBPJ turut bermurah hati menawarkan enam perkhidmatan percuma sepanjang tempoh festival berlangsung.
Antara yang paling menarik perhatian ialah pemberian tempat letak kereta percuma di kawasan pentadbiran MBPJ, jadi anda tidak perlu pening memikirkan kupon atau aplikasi parkir!
Selain itu, pengunjung juga berpeluang mendapatkan keahlian percuma untuk Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya serta membawa pulang barangan percuma seperti anak pokok, baja kompos organik, dan abate (ubat jentik-jentik) untuk dibawa pulang ke rumah.
Untuk rekod, Petaling Jaya kini bukan sahaja sebuah pusat ekonomi yang pesat, malah diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai ahli UNESCO Global Network of Learning Cities (GNLC) dan Bandar Mesra Kanak-Kanak oleh UNICEF.
Jadi, tunggu apa lagi? Rancang hujung minggu anda bersama rakan-rakan dan keluarga untuk sama-sama merasai kemeriahan Festival Ulang Tahun MBPJ Ke-20.
Segala maklumat lanjut mengenai jadual persembahan artis dan aktiviti penuh boleh didapati terus di laman sesawang dan media sosial rasmi MBPJ. Jumpa di sana!

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

