Sambungan :

Menurut Dr. Lori Mosca, pengarah kardiologi di HospitaPresbyterian New York, rasa letih yang berpanjangan tidak boleh dibiarkan dan harus segera dirujuk ke hospital kerana ia mungkin petanda awal anda menghidap penyakit yang lebih serius seperti tiroid, penyakit jantung dan anemia.

Hepatitis C

Menurut Dr. Michael W. Fried, Pengarah Hepatologi di Universiti North Carolina, rasa letih yang berterusan juga boleh dikaitkan dengan kerosakan hati akibat penyakit Hepatitis C. Hepatitis C jarang sekali didengari dan ia merupakan penyakit bawaan darah.

Penghidapnya juga tidak mengalami simptom semasa awal dihidapi penyakit ini sebaliknya simptomnya hanya akan muncul selepas 20 hingga 30 tahun mereka dijangkiti.

Perkongsian alat suntikan, tatu dan bertindik boleh menjadi punca kepada penyakit ini. Bahaya jangkitan juga datang melalui perkongsian berus gigi, pisau cukur dan alat pemotong kuku dengan mereka yang diketahui mengidap hepatitis C.

Walau pun risikonya rendah, namun kesan darah mungkin terdapat pada alatan yang dikongsi. Jangkitan melalui hubungan seks adalah rendah dan masih samar- samar lagi kewujudannya. Namun ada kajian tentang bahan-bahan virus hepatitis ini dijumpai di dalam cecair vagina atau air mani.

Ujian: Pertama sekali doktor akan melakukan pemeriksaan darah untuk antibodi hepatitis C. Jika keputusan adalah positif, ujian lanjut termasuk pemeriksaan enzim hati dan biopsi untuk menilai tahap kesihatan hati.

Simptom: Jaundis, selera makan berkurang, demam dan sakit badan

Rawatan: Sehingga hari ini masih belum ada lagi vaksin untuk mencegah hepatitis C namun buat para penghidapnya suntikan mingguan kapsul peginterferon dan juga ribavirin membantu menyembuhkan penyakit ini sehingga 50 peratus.

Urinary Tract Infection (UTI)

Rasa lesu dan tidak bermaya boleh dikaitkan dengan penyakit ini. Dalam kebanyakan kes, UTI yang disebabkan oleh bakteria di dalam saluran urin hasil dari proses pembuangan air kecil yang kurang bersih. Malahan hubungan seksual mampu meningkatkan lagi risiko kerana ia mendorong bakteria dari vagina untuk masuk ke uretra.

Simptom: kerap buang air kecil, kelesuan dan mungkin sedikit demam.

Ujian: Urin anda akan diperiksa dan jika anda menghidap UTI, antibiotik akan diberikan dan penyakit ini akan sembuh dalam masa kurang seminggu. Namun jika gejalanya berulang minta untuk dilakukan ujian sekali lagi kerana pada sebahagian wanita, UTI akan menjadi lebih kronik.

Pengambilan kafein yang berlebihan

Ada sesetengah individu memilih kopi atau soda bagi meningkatkan tenaga. Namun pada wanita kafein memberikan efek yang berlawanan. Dalam sebuah artikel yang diterbitkan oleh jurnal US Pharmacist, penulisnya Dr. W. Stephen Pray melaporkan kafein mampu memberi stimulasi untuk bekerja namun jika diambil berlebihan akan memberi efek sebaliknya dan menimbulkan rasa lesu.

Tanggapan anda memerlukan lebih kafein bagi meningkatkan tenaga ternyata salah! “Setiap percubaan untuk mengatasi masalah letih dengan kafein hanya akan membuatkan keadaan bertambah buruk,” tegas Dr. Pray.

Alahan makanan

Tidak dinafikan manusia memerlukan makanan untuk kekal bertenaga namun kebanyakan doktor juga percaya alahan makanan mampu memicu kepada keadaan letih berpanjangan. Menurut Rudy Rivera, penulis dari Your Hidden Food Allergies Are Making You Fat, tindak balas makanan yang ringan sekalipun boleh menyebabkan anda merasa mengantuk.

Tambah pula jika sesuatu makanan yang anda alah itu diambil berterusan, ia akan menyebabkan anda mengalami keletihan berpanjangan! Bagi mengelakkan ia dari terus berlaku, Rivera mencadangkan anda untuk melakukan diet eliminasi untuk menyingkirkan makanan yang menyebabkan anda merasa mengantuk setelah 10-30 minit pengambilannya!