PENERBIT Fadzil Teh turut menjadi mangsa kecaman ekoran menetapkan syarat mahu pelakon yang mempunyai sejuta pengikut di laman sosial

Fadzil Teh atau lebih dikenali sebagai Haji Zil terpaksa akur dengan arahan serta kehendak stesen televisyen atas faktor pihak tersebut yang mengeluarkan kos perbelanjaan.

“Pihak kami menghasilkan drama untuk stesen TV dan platform penstriman. Itu memang menjadi syarat yang diletakkan oleh mereka. Contoh mudah, kalau nak berkahwin ada syarat-syaratnya dan sama juga seperti urusan ini.

“Pihak stesen TV meletakkan syarat untuk mengambil pelakon dengan jumlah pengikut melebihi sejuta di media sosial. Kami sebagai penerbit perlu akur kerana mereka (stesen televisyen) yang keluarkan duit,” ujarnya.

Tambahnya, sebagai seorang penerbit, dia melihat kumpulan artis terdiri daripada dua kelompok.

“Kelompok pertama adalah artis popular dan satu lagi kelompok adalah artis yang suka menghentam orang. Kelompok kedua ini kebanyakannya tak mahu ‘mesra’ di media sosial.

“Saya gelarkan mereka yang suka menghentam ini sebagai artis berhaluan kiri yang hanya ingin menjual bakat semata-mata, tapi tak mahu menitikberatkan beberapa aspek lain contohnya penampilan dan interaksi di media sosial,” katanya.

Pemilik Zeel Production itu turut berkata, kerjasama pelakon dalam mempromosikan sesuatu karya amat penting bagi menarik perhatian penonton.

Malah, dia juga tidak teragak-agak untuk menyenarai hitam pelakon yang berkira dan liat untuk mempromosikan drama dan filem lakonan mereka.

“Kalau artis macam tu saya akan senarai hitamkan. Saya bukan sekat rezeki mereka, tiap kali buat drama mereka ni dah letakkan bayaran yang mahal.

“Apa salahnya promosi drama itu di Instagram mereka, bukan keluar modal pun, bahan dah bagi kau ‘jentik’ (muat naik di media sosial) je la guna jari,” ujarnya

Meskipun syarat untuk mempromosikan drama lakonan mereka tiada di dalam kontrak, namun Fadzil percaya cara tersebut dapat menjayakan drama dan menaikkan populariti pelakon tersebut untuk menerima tawaran lain.

“Betul benda tu tak ada dinyatakan dalam kontrak, jadi kalau mereka tidak muat naik pun memang tiada masalah.

“Tapi kalau drama tu meletup. Bukan saya yang dapat tawaran berlakon seterusnya, tapi mereka,” ulasnya.

Haji Zil berkata demikian ketika sesi siaran langsung di Instagram berjudul ‘How To Make A Drama Go Viral’ anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), baru-baru ini.

Sesi perkongsian yang berlangsung hampir dua jam itu dikendalikan oleh wartawan Harian Metro, Sudirman Tahir dan Syafil Syawan melalui akaun rasmi Instagram Wartawan Hiburan bagi menyemarakkan sambutan Festival Filem Malaysia ke 31 (FFM-31) pada 10 Disember ini.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram