JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi diskaun pembayaran saman kompaun sebanyak 80 peratus kepada semua notis saman untuk tempoh empat hari sempena program 100 hari Aspirasi #KeluargaMalaysia.

JPJ dalam kenyataan memaklumkan, tawaran pengurangan saman kompaun itu diberikan di semua pejabat JPJ di seluruh negara mulai Khamis hingga Ahad ini.

Menurut JPJ, diskaun tersebut bagaimanapun tidak terpakai bagi kes-kes yang masih dalam sebutan mahkamah termasuk berstatus waran tangkap atau perbicaraan.

Selain itu, JPJ juga akan menyediakan kemudahan unit bergerak dan kiosk untuk tujuan memudahkan orang ramai melaksanakan urusan transaksi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sepanjang program tersebut berlangsung.

“Pengurangan kadar kompaun adalah diberikan kepada semua saman bagi kesalahan yang boleh dikompaun seperti disenaraikan dalam Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan (Pengkompaunan Kesalahan) 2003.

“Tawaran itu tidak terpakai kepada kes-kes yang telah didaftarkan di mahkamah termasuk berstatus waran tangkap yang belum Dilepaskan Tanpa Dibebaskan (DNAA),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: SOP ketat program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia

Mengulas lanjut, JPJ turut memaklumkan, pengurangan kadar kompaun itu meliputi semua notis saman yang telah dikeluarkan berdasarkan kepada kadar kompaun semasa yang terdapat dalam sistem mySIKAP JPJ terhadap kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333); Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334) serta Kaedah-Kaedah dan Perintah-Perintah di bawahnya termasuk kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.

Agensi itu berkata, tawaran berkenaan turut diberikan kepada semua notis saman yang masih aktif dan tempoh kompaunnnya masih berkuat kuasa dengan syarat urusan pembayaran dilakukan antara 9 hingga 12 Disember ini di semua pejabat negeri, cawangan, kiosk dan secara dalam talian.

Walau bagaimanapun, pesalah-pesalah lalu lintas yang telah disenarai hitam dikehendaki hadir sendiri di kaunter JPJ bagi tujuan proses dokumentasi semula sebelum sebarang urusan pembayaran dapat dilakukan.

“Ke arah itu, orang ramai disarankan membuat semakan status saman terlebih dahulu terutama rekod melibatkan saman AES atau di mana-mana kaunter pejabat JPJ agar dapat mengambil peluang pengurangan saman yang akan diberikan ini,” jelas JPJ.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram