KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) akan memasang sebanyak 314 unit lampu jalan LED berkuasa solar di lokasi berisiko di laluan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) antara Tanjung Malim ke Kuala Lumpur.
Menteri berkaitan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemasangan melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) itu melibatkan tiga lokasi iaitu KM 407.4 – KM 408.4: 66 unit, KM 404.5 – KM 406.0: 99 unit dan KM 450.9 – KM 453.2: 149 unit.
“Isu pencahayaan di Lebuhraya PLUS, khususnya laluan dari Tol Tanjung Malim menuju ke Kuala Lumpur, telah dibangkitkan di sesi Kamar Khas pada hari ini.
“Inisiatif ini dilaksanakan melalui peruntukan RM30 juta Belanjawan 2026 yang diumumkan oleh Perdana Menteri bagi meningkatkan keselamatan pengguna lebuh raya, khususnya di kawasan berisiko kemalangan waktu malam,” katanya di Facebook, hari ini.
Katanya lagi, kerja-kerja pemasangan telah diberikan kepada kontraktor dan dijadualkan siap pada penghujung tahun 2026.
“Buat makluman, pemasangan lampu jalan di lebuh raya adalah berdasarkan Guideline for Malaysia Toll Expressway System – Design Standards (Mechanical & Electrical Services) (LLM/GP/T10-08),” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

