Inovasi, teknologi mampu bantu PMKS kembali pulih daripada kesan pandemik – PM

Dari Penulis

PERUSAHAAN mikro, kecil dan sederhana (PMKS) harus menggunakan inovasi, digitalisasi serta penggunaan teknologi untuk kembali pulih dan menggerakkan semula perniagaan yang terjejas akibat daripada wabak COVID-19.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akur sektor PMKS merupakan salah satu kumpulan yang paling terkesan dan mengalami 95.3 peratus penurunan jualan secara mendadak dalam tempoh awal pembendungan COVID-19.

Perdana Menteri berkata, pelbagai aktiviti menerusi e-dagang termasuklah pembayaran secara digital, pembelajaran jarak jauh, persidangan video serta perkhidmatan logistik merupakan perkara lazim dalam aktiviti ekonomi hari ini.

“Ini akan membiasakan PMKS dalam era persaingan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0). Kita dapat melihat kehadiran PMKS dalam talian telah meningkat dua kali ganda daripada 35.3 peratus yang dicatatkan pada tahun 2019 (pra-COVID) kepada 75.8 peratus pada tahun 2021 (pasca COVID),” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Pameran Tahunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)- SMIDEX 2021 bertemakan “PMKS: Bangkit Kembali!” di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, langkah tersebut merupakan antara dua fokus utama kerajaan dalam membantu golongan tersebut termasuk memanfaatkan inovasi serta pembangunan jangka panjang yang menerapkan prinsip-prinsip kelestarian meliputi persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam perniagaan.

Mengenai penerapan ESG, Ismail Sabri berkata, tumpuan harus diberikan kepada pengurangan kos dan peningkatan produktiviti menerusi kecekapan tenaga, prinsip ekonomi kitaran, amalan penggajian tenaga kerja yang baik serta struktur tadbir urus syarikat yang kukuh bagi memenuhi matlamat kelestarian.

Sementara itu, beliau turut berkata bahawa SME Corporation Malaysia (SME Corp. Malaysia) serta United Nations Global Compact Network Malaysia dan Brunei sedang bekerjasama dalam usaha membangunkan PMKS yang mampan melalui satu platform digital yang dinamakan sebagai Action Centre for Sustainable Development of SMEs (ACCESS).

“Platform ini akan menyediakan PMKS khidmat nasihat, pembangunan kapasiti serta jalinan rangkaian bersama syarikat besar yang terlibat di dalam amalan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta ESG,” katanya.

Perdana Menteri juga menekankan kerajaan akan terus mempergiatkan usaha menambah baik akses dan peluang pasaran bagi membantu PMKS meningkatkan jualan di pasaran antarabangsa dengan inisiatif tersebut yang dilaksanakan melalui kerjasama kerajaan ke kerajaan (G2G).

Beliau berkata, ia merupakan inisiatif usaha sama yang dijalankan dalam kalangan negara ASEAN, Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) serta pertubuhan antarabangsa yang lain.

“Usaha juga akan dilaksanakan untuk memanfaatkan faedah perjanjian perdagangan bebas (FTA) dalam memperluas akses pasaran dan mempercepat pengantarabangsaan PMKS, termasuklah pelaksanaan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025 serta memeterai perjanjian FTA baharu,” katanya.

Beliau menambah pelbagai inisiatif akan diteruskan menerusi platform antarabangsa bagi terus menambah baik persekitaran perniagaan serta mengurangkan halangan perdagangan seterusnya memartabatkan industri PMKS di persada antarabangsa.

Menurut Ismail Sabri, sumbangan PMKS kepada keluaran dalan negara kasar (KDNK) berjumlah RM298 bilion pada 2010, namun jumlah ini telah meningkat 72 peratus kepada RM512 billion pada tahun lepas.

”Kini, PMKS juga memberi peluang pekerjaan kepada 7.3 juta pekerja dan menyumbang RM118 bilion kepada eksport negara,” katanya.

Pameran yang bermula pada 1 Dis hingga 23 Dis ini dijangka menarik 10,000 pengunjung maya dan RM50 juta potensi jualan menerusi pelbagai program dan aktiviti dilaksanakan. – UtusanTV


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Tindak-tanduk Kor Ming tak cerminkan kredibiliti menteri – MCA

TINDAK-TANDUK Nga Kor Ming disifatkan tidak mencerminkan kredibilitinya sebagai seorang menteri Kabinet. Sebaliknya, Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong...

More Articles Like This