PEMAIN perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia menepati ramalan apabila mengesahkan tempat ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia di Huelva, Sepanyol hari ini.

Bagaimanapun, juara All England 2021 itu terpaksa mengharungi 50 minit perlawanan yang berlanjutan hingga set penentuan sebelum mengenepikan cabaran Jason Anthony Ho-Shue dari Kanada yang menunjukkan kebangkitan pada set kedua.

Pilihan keenam kejohanan berusia 23 tahun itu memulakan set pertama dengan menang mudah 21-10, sebelum Jason bangkit memenangi set kedua 21-17.

Zii Jia yang mendapat suntikan semangat daripada jurulatihnya Hendrawan, bermula garang menguasai permainan sebelum menokhtahkan kemenangan di set ketiga  21-11 bagi berdepan pemain Brazil Ygor Coelho.

Turut ke pusingan kedua, pemain profesional negara Liew Daren yang mengalahkan pemain israel Misha Zilberman 21-14, 21-14 dan bakal berdepan sama ada H S Pranoy dari India atau Angus Ang ka Long dari Hong Kong.

Sementara itu, satu lagi kejayaan dilakar kem negara menerusi acara beregu campuran.

Gandingan Hoo Pang Roon-Cheah Yee See menewaskan wakil Belanda Ties Van Der Lecq-Debora Jille 26-24, 21-12 dalam pertarungan selama 42 minit.

Pang Roon-Yee See berdepan tugas berat apabila dijadual bertemu pilihan keempat dari Indonesia Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti yang mendapat ‘bye’ di pusingan pertama.

— BERNAMA