BRAZIL mungkin mengelak kekalahan dalam aksi pembukaan Kumpulan C Piala Dunia 2026 apabila seri 1-1 dengan Maghribi pagi tadi, namun persembahan dipamerkan pasukan bimbingan Carlo Ancelotti itu jauh daripada standard yang diharapkan penyokong Selecao.
Lebih membimbangkan, pasukan lima kali juara dunia itu dilihat kehilangan identiti permainan menyerang yang selama ini menjadi kebanggaan mereka apabila gagal mendominasi perlawanan dan banyak bergantung kepada keupayaan individu untuk mencipta perbezaan.
Sepanjang perlawanan di Stadium MetLife, New Jersey, Brazil kelihatan perlahan, kurang kreativiti dan gagal mengawal bahagian tengah ketika Maghribi tampil lebih tersusun serta agresif.
Keadaan itu membolehkan wakil Afrika berkenaan mendahului menerusi Ismael Saibari pada minit ke-21.
Brazil hanya berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan berkualiti Vinicius Junior pada minit ke-32, hasil salah satu daripada sedikit gerakan menyerang yang benar-benar menguji benteng Maghribi.
Apa yang menjadi perhatian ialah kegagalan Brazil menghasilkan rentak permainan pantas dan menghiburkan yang sinonim dengan gelaran “Jogo Bonito”.
Sebaliknya, mereka lebih banyak bermain secara berhati-hati, dengan hantaran lintang dan tempo perlahan yang menyebabkan serangan mudah dibaca lawan.
Pemain-pemain utama seperti Raphinha dan Casemiro turut gagal memberi impak besar, manakala bahagian tengah Brazil beberapa kali dibolosi pemain Maghribi yang lebih berani menekan dan menguasai ruang.
Ancelotti sebelum ini diharapkan mampu membawa kestabilan taktikal kepada Brazil, namun perlawanan pertama di pentas Piala Dunia menunjukkan pasukannya masih bergelut mencari keseimbangan antara disiplin taktikal dan kebebasan menyerang.
Malah, beberapa penganalisis menyifatkan Brazil bernasib baik kerana memiliki Vinicius Junior yang mampu menghasilkan detik magis untuk menyelamatkan satu mata, ketika keseluruhan pasukan gagal menunjukkan prestasi meyakinkan.
Bagi Maghribi pula, keputusan seri itu membuktikan pencapaian mereka sebagai pasukan separuh akhir Piala Dunia 2022 bukanlah satu kebetulan.
Mereka bukan sahaja menandingi Brazil, malah dilihat lebih tersusun dan berbahaya untuk sebahagian besar perlawanan.
Jika Brazil mahu mengakhiri kemarau kejuaraan dunia yang berlanjutan sejak 2002, Ancelotti perlu segera mencari formula untuk mengembalikan kreativiti dan keberanian menyerang pasukannya.
Berdasarkan aksi pembukaan ini, Brazil berjaya mengelak kekalahan, tetapi gagal meyakinkan bahawa mereka benar-benar calon utama untuk menjulang trofi.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

