YAYASAN Bank Rakyat meraikan 34 graduan tajaan dalam Majlis Kecemerlangan Anggota di Kuala Lumpur, hari ini.

Yayasan tersebut menganugerahkan wang tunai dengan jumlah keseluruhannya bernilai lebih RM34,000 serta sijil penghargaan kepada graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana yang telah berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan CGPA 3.50 ke atas bermula Julai 2020.

Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin berkata, ganjaran wang tunai bernilai RM1,000 seorang itu diberikan kepada graduan yang berjaya mendapatkan keputusan cemerlang.

Katanya, ia juga sebagai penghargaan kepada mereka yang telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan di dalam pengajian serta aktif di dalam pembabitan kokurikulum.

“Anugerah Kecemerlangan Anggota yang telah diperkenalkan sejak tahun 2015 merupakan salah satu usaha YBR bagi menghargai dan memberi inspirasi kepada anak-anak anggota Bank Rakyat serta pelajar tajaan untuk mencapai keputusan akademik yang terbaik serta menyokong agenda pendidikan negara dalam melahirkan modal insan yang berketerampilan tinggi,” katanya pada majlis tersebut di Kuala Lumpur.

Tambah beliau, dalam mendepani cabaran Industri 4.0, pelajar bukan sahaja perlu bijak malah konsisten dari segi emosi, kreativiti, inovatif, bijak merebut peluang serta berani mengambil risiko dalam membuat keputusan.

“Dengan adanya anugerah ini ia dapat memberi dorongan serta memotivasikan graduan untuk lebih berjaya serta berbakti kepada bangsa dan negara,” katanya.

Sejak ditubuhkan pada 16 Mei 2007, Yayasan Bank Rakyat (YBR) komited membantu rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan, ahli-ahli Bank Rakyat dan anak-anak mereka dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan.

Komitmen ini terbukti oleh skala program penajaan YBR – sehingga 1 Januari 2020, YBR telah menaja lebih daripada 4,840 pelajar dengan jumlah keseluruhan tajaan melebihi RM130 juta bagi meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi.

MEGAT Zulkarnain Tan Sri Omardin beramah mesra dengan pelajar Aimi Zafirah Kamaruddin (duduk kiri) dan bapanya, Kamaruddin Mohd.

Megat Zulkarnain turut berkata, Yayasan Bank Rakyat menyediakan pelbagai peruntukan bagi pembangunan modal insan termasuk mengubah Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) kepada Biasiswa kepada pelajar tajaan yang mendapatkan keputusan cemerlang.

Majlis ini turut dihadiri oleh Naib Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Mohammad Radhi Abdul Razak serta Pemangku Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Abd Samad Khalid.

Sementara itu, penerima Anugerah, Muhammad ‘Afif Jazli Samion, 24, yang mengambil jurusan Sains Gunaan (Teknologi) berkata, minat yang berterusan, semangat tidak putus asa serta sokongan ibu-bapa adalah elemen penting kepada kejayaannya.

Selain itu, Fauzah Mohamed, 25, yang mengambil jurusan Pendidikan Vokasional turut berkata, pendidikan adalah penting dalam mencorakkan masa depan seseorang.

“Galakkan dari pensyarah dan rakan-rakan seperjuangan amat membantu dalam mengekalkan momentum semasa pengajian. Ini memberi kepuasan berganda dan anugerah yang saya terima ini merupakan rezeki hasil usaha dan doa yang tidak pernah putus,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar bersetuju melantik Megat Zulkarnain sebagai Pengerusi baharu Yayasan Bank Rakyat berkuatkuasa 1 Oktober lepas untuk tempoh satu tahun.

Jabatan Perhubungan Komuniti dan Komunikasi Korporat Yayasan Bank Rakyat dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pelantikan Megat Zulkarnain telah dipersetujui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) bersempena dengan kemunculan sulung beliau di Majlis Anugerah Kecemerlangan Anggota 2021. – UtusanTV

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram