SAKSI utama dalam perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang membabitkan Lim Guan Eng memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa beliau terkejut apabila bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu meminta 10 peratus keuntungan daripada projek yang bakal dijalankan.
Pengarah Eksekutif Kanan Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli mendakwa tertuduh meminta demikian daripadanya ketika mereka berdua berada di dalam kereta di Kuala Lumpur pada malam Mac 2011.
Saksi pendakwaan ke-22 itu berkata, dia telah memberi persetujuan kepada Lim berhubung MOU (Memorandum Persefahaman), bagi membolehkan tertuduh memberikan Projek Terowong Dasar Laut kepada syarikatnya secara rundingan terus.
Saksi itu mendakwa semasa berada di dalam kereta, Lim didakwa meminta daripadanya sebanyak 10 peratus keuntungan masa depan bagi projek RM6.3 bilion Pulau Pinang itu.
Consortium Zenith Construction adalah kontraktor utama bagi projek terowong dasar laut.
“Selepas itu, YB Lim Guan Eng ada meminta saya untuk memberikannya 10 peratus daripada keuntungan projek itu kelak kepadanya.
BERITA BERKAITAN Rakaman percakapan mendiang Swee Keng diterima dalam kes Guan Eng
“Ketika itu saya agak terkejut kerana perkara itu keluar dari mulut YB Lim Guan Eng dan saya berfikir sejenak tentang permintaan itu.
“(Ini) kerana saya tidak sangka ia akan keluar dari YB Lim Guan Eng yang saya ingat selama ini adalah orang yang menentang rasuah,” dakwa Zarul memetik laporan Malaysiakini.
Lim berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di Kuala Lumpur pada Mac 2011.
Setiausaha Agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & TelegramFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

