SEORANG remaja yang tular kerana dipercayai merakam seorang wanita ketika berada dalam tandas sebuah restoran di Bekenu, Miri telah berjaya ditahan polis semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah memaklumkan, suspek berusia 19 tahun itu telah diberkas kurang dua jam selepas kejadian itu dilaporkan.
Menurut beliau, lelaki itu telah ditahan oleh anggota Balai Polis Bekenu kira-kira pukul 11.30 pagi.
Beliau berkata, insiden tersebut tular di media sosial selepas gambar dan video berdurasi 28 saat memaparkan suspek ditahan oleh orang awam.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi apabila suspek dipercayai menggunakan telefon bimbit untuk merakam wanita itu yang berada di dalam tandas restoran berkenaan.
“Perbuatan suspek itu disedari mangsa yang kemudiannya tampil membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Mohd Farhan Lee berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan segera dan seterusnya berjaya menahan suspek pada hari yang sama.
Pada masa sama, katanya, polis turut merampas telefon bimbit yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.
“Hasil semakan mendapati suspek yang bekerja sebagai kelindan lori itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

