PENGERUSI Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg bergerak ke Astana Negeri di Kuching bagi upacara mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak, malam ini.
Selepas membuat ucapan sempena kemenangan mudah 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Abang Johari sempat memberi ucapan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Abang Johari dalam ucapannya menyifatkan kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini sebagai kemenangan kepada rakyat Sarawak.
Beliau berkata, kemenangan ini akan menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri yang sama rata dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
“Khususnya dalam meletakkan Sarawak sebagai sama rata dengan Semenanjung Malaysia, iaitu ‘regional partnership’ dalam Malaysia.
“Rakyat telah memberi mandat kepada kita, Sarawak diutamakan, ‘Sarawak First’,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak bagi membentuk kerajaan negeri.
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata setakat jam 8.45 malam tadi, GPS berjaya memenangi 45 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Tambah Abang Johari, rakyat telah memberi isyarat bahawa kestabilan politik adalah penting bagi GPS meneruskan usaha pembangunan di Bumi Kenyalang itu.
“Mandat ini juga adalah memberi kuasa kepada GPS untuk teruskan pembangunan ekonomi yang mampan dan dasar sosial yang mengutamakan rakyat,” katanya.
Jelas beliau, kemenangan itu juga memberi isyarat kepada supaya pembangunan ekonomi dan sosial dapat diteruskan dengan cemerlang.
Beliau pada masa sama merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pasukan keselamatan, jentera dan kepimpinan GPS dan khususnya buat para pengundi. – UtusanTV
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

