HARI ini, pembedahan plastik bukan lagi perkara baru, bahkan perkara biasa dalam kehidupan zaman moden terutamanya dalam bidang kecantikan. Seseorang itu mampu berubah drastik hanya dengan melakukan pembedahan plastik.

Namun, tahukah anda siapa manusia pertama yang menjalani pembedahan plastik?

Catatan menunjukkan Walter Ernest O’Neil Yeo merupakan manusia pertama yang menjalani pembedahan plastik moden di dunia.

Walter Yeo yang merupakan seorang anggota tentera laut telah mendapat kecederaan di muka dalam satu pertempuran di Jutland pada 13 Mei 1916.

Mengikut kisahnya, semasa kejadian itu berlaku, dia bersama anak-anak kapal HMS Warspite telah bertempur di Jutland. Secara tiba-tiba meriam kapal musuh telah menghentam kapal HMS dan mengakibatkan kecederaan yang teruk pada muka Walter Yeo.

Walter Ernest, manusia pertama yang menjalani pembedahan plastik.

Mengikut cacatan, pertempuran di Jutland merupakan peperangan terbesar dalam sejarah Perang Dunia Pertama. Perang ini telah dinamakan sebagai ‘Perang Skagerrak’. Ia telah menyebabkan ramai anggota tentera laut mati. Cuma beberapa orang saja yang terselamat. Salah seorangnya adalah Walter Yeo.

Bagaimanapun, Walter mengalami kecederaan teruk hingga kehilangan kedua-dua belah kelopak matanya. Keseluruhannya mukanya menjadi cacat. Kesan kecederaan itu menyebabkan Walter tidak boleh melihat, makan, minum serta bercakap dengan sempurna.  

Rawatan pertama yang diterima oleh Walter tidak dapat dipastikan dengan jelas. Namun, pembedahan plastik pertama yang diterima Walter Yeo pada tahun 1917 memberi harapan baru padanya. Pembedahan plastik ini dikendalikan oleh seorang doktor pakar kulit, Sir Harold Gillies dari New Zealand.

Pembedahan yang dilakukan dengan menggunakan teknik transplant kulit ini berjaya membina semula wajah Walter. Teknik pemindahan dan percantuman kulit ini dilakukan dengan mengambil kulit asal di bahagian dada. Kemudian, ia dijahit di bahagian muka dan di sekeliling mata bagi menggantikan kulit yang telah cedera.

Transaksi perubahan wajah Walter dari sebelum pembedahan sehinggalah selepas melakukan pembedahan plastik.

Hasil kejayaan daripada pembedahan tersebut, buat pertama kalinya dalam sejarah perubatan dunia, Sir Harold Gillies telah diberi gelaran sebagai ‘Father of plastic surgery’. Gelaran tersebut berdasarkan pembangunan baru yang dilakukannya dalam bidang perubatan khususnya pembedahan plastik.

Malah, Walter Yeo merupakan pesakit pertama yang mendapat manfaat daripada teknik baru itu – transplant kulit.  Ketika pembedahan itu dilakukan, Harold Gillies hanya menggunakan peralatan perubatan sahaja dan tidak ada peralatan yang khusus bagi pembedahan tersebut.

Selepas pembedahan pertama ini, Walter masih perlu menjalani rawatan susulan bagi memastikan kulit wajah serta matanya berada dalam keadaan yang elok.

Pada Ogos 1921, dia telah menjalani pembedahan susulan pada kelopak mata. Seterusnya pada tahun 1938, Walter mendapat rawatan mata di Hospital Royal Naval di Plymouth. Akhirnya, pada tahun 1960, Walter Yeo telah meninggal dunia di tempat kelahirannya sendiri selepas menghabiskan separuh sisa hidupnya di sana.

_________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare