Kisah Azwan Omar yang datang seorang diri membantu mangsa banjir tular dalam media sosial.

SEJAK berlakunya bencana banjir yang melanda beberapa negeri, Sabtu lalu, pelbagai kisah terpuji tular dalam media sosial.

Keprihatinan setiap rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, agama atau kaum ternyata mencerminkan perpaduan utuh yang masih lagi terjalin.

Daripada puluhan mungkin ratusan kisah itu, salah satu yang mendapat perhatian adalah kemuliaan hati seorang lelaki berbaju merah yang sanggup mengambil keputusan seorang diri meredah banjir bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap.

Berbekalkan hanya RM50 dalam poketnya dan menggunakan kereta Perodua Viva untuk membawa sebuah bot, Azwan Omar, 29, tidak menunggu lama bergerak dari Melaka ke Shah Alam.

“Faktor cuaca saya tak ambil kira, paling penting nyawa banyak mangsa yang terperangkap dalam banjir.

“Saya hanya fikir nak selamatkan orang, nak bawa mereka keluar,” demikian mulianya hati Azwan dalam temu bualnya bersama Astro Awani, pagi ini.

Walaupun baru pertama kali terlibat sebagai sukarelawan membantu mangsa banjir, namun Azwan tetap bertekad menyelamatkan seberapa ramai mangsa.

“Nak kata takut, memang saya takut tetapi saya kuatkan hati untuk pergi.

“Saya bertawakal sahaja. Kalau dah ajal, dekat mana-mana pun akan temu ajal,” katanya.

Sejak tiba di Selangor, Sabtu lalu, Azwan hanya sempat mengalas perut dengan roti dan air serta tidur dalam bot atau kereta sahaja.

Gambar tular dalam media sosial Azwan kini dalam misi bantuan ke Pahang

Baca artikel berkaitan: Banjir: Dua lagi korban, jumlah mangsa di PPS turun kepada 59,844

Namun semua itu bukan penghalang bagi insan berhati mulia ini untuk terus berusaha keras memberikan bantuan.

Dalam temu bualnya bersama Astro Awani itu, Azwan yang kini dikenali sebagai ‘Abang Viva Viral’ turut berkongsi pengalaman sedih membantu lima sekeluarga termasuk warga emas dan seorang bayi.

“Ikutkan pengalaman sedih memang banyak, salah satunya saya selamatkan satu keluarga lima orang, dua warga emas itu lumpuh, seorang bayi dan ibu bapanya,” katanya lagi.

Walaupun namanya kini ‘dijulang’ sebagai wira dalam media sosial tetapi Azwan tetap merendah diri.

“Jujurnya saya tak minta pun, tak nak jadi idola atau pujian terlampau tinggi sebab saya pun takut dengan pujian atau idola itu melunturkan keikhlasan untuk membantu.

“Saya bantu tak banyak pun. Apa sahaja yang saya boleh buat dengan bot kecil itu,” jelas Azwan.

Berdasarkan hantaran dalam sosial, selepas selesai misi bantuan di Selangor, Azwan kini bergerak pula ke Pahang.

Mulia sungguh hatimu, Azwan Omar.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram