Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. GAMBAR: Abd Razak Aid

SEGALA keperluan sama ada untuk melakukan rombakan Kabinet atau tidak merupakan kuasa mutlak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Itu penegasan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein seperti dipetik BH Online.

Menurut Hishammuddin, setakat ini masih belum ada laporan atau ura-ura bakal berlakunya rombakan Kabinet.

“Jika betul seperti didakwa, itu adalah kuasa dan perancangan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Op Murni Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Batalion Ke-18, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kuala Nerus, Terengganu.

Baca artikel berkaitan: Rombakan Kabinet hanya spekulasi, fokus isu banjir – PM

Hishammuddin bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai spekulasi kononnya tiga menteri termasuk dua daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka digugurkan.

Pada masa sama, terdapat juga spekulasi bahawa Perdana Menteri akan melantik Timbalan Perdana Menteri daripada Bersatu.

Antara nama yang dikaitkan dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri itu adalah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Namun begitu, Ismail Sabri sebelum ini menyangkal dakwaan mengenai isu tersebut sebaliknya tumpuan kerajaan kini adalah kepada isu yang mencengkam rakyat terutamanya bencana banjir dan pandemik COVID-19.

Menyifatkan isu rombakan itu hanya spekulasi semata-mata, Ismail Sabri turut menegaskan perkara itu tidak sepatutnya timbul memandangkan negara masih dilanda bencana banjir dan COVID-19 yang belum selesai.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram