KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang berusaha mencari penyelesaian terbaik bagi meringankan impak terhadap syarikat pengendali umrah susulan penangguhan ibadah itu mulai semalam.
MOTAC dalam kenyataan turut sedar bahawa cabaran besar yang dihadapi pengendali umrah merangkumi empat perkara iaitu visa, pengangkutan jemaah di lapangan, tempahan penginapan dan makanan jemaah yang tidak dapat ditebus semula.
Kementerian itu turut meluahkan keyakinan semua agensi pelancongan pengendali pakej umrah telah melaksanakan tanggungjawab dengan komited bagi memastikan industri pelancongan negara pulih semula.
“Penggiat industri telah bersama-sama MOTAC dalam mengharungi cabaran sejak negara berdepan pandemik hinggalah kerajaan membuat keputusan membenarkan pakej mengerjakan ibadah umrah beroperasi semula pada 18 Oktober 2021.
“Walau bagaimanapun, pengumuman penangguhan ibadah umrah selama sebulan mulai semalam sedikit sebanyak menjejaskan perancangan penggiat industri terlibat.
“Namun, mereka masih menyatakan komitmen untuk terus berjuang meski pun terpaksa mengalami kerugian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Jemaah umrah tipu sijil vaksin perlu bertaubat – kerana mereka, sijil vaksin Malaysia mungkin tidak akan dipercayai – Mufti
Mengenai kenyataan KKM bahawa sebilangan jemaah umrah didapati tiada rekod vaksinasi, MOTAC dan agensi pengendali umrah yakin perkara tersebut dapat diselesaikan menerusi siasatan dijalankan KKM.
Sebagai pihak paling terkesan, MOTAC berkata, sebarang penangguhan pasti memberi tamparan hebat bagi agensi pengendali umrah yang baru dapat beroperasi semula selepas hampir dua tahun bergelut.
MOTAC turut memaklumkan sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan persatuan-persatuan agensi pelancongan bagi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) umrah sedia ada.
“Antara cadangan yang dibincangkan termasuk pengesahan vaksinasi jemaah sebelum menerima bayaran pakej perkhidmatan umrah.
“Selain itu, menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin atau hotel yang telah dikenal pasti sebagai stesen kuarantin oleh Nadma apabila pulang.
“MOTAC percaya agensi pengendali umrah telah melaksanakan tanggungjawab dan melaksanakan SOP sebaik mungkin kerana pastinya mereka sendiri tidak mahu timbul sebarang masalah dalam urusan ini,” jelas kementerian itu.
Jumaat lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan Jemaah Menteri bersetuju menangguhkan semua perjalanan umrah selama sebulan mulai semalam.
Keputusan itu dibuat bagi membolehkan penilaian risiko penularan wabak COVID-19 varian Omicron dilakukan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

