JIKA sebut nama William Shakespeare, sudah pasti ramai yang mengenali nama yang begitu popular dalam kesusasteraan Barat ini. Sehingga sekarang, kita masih disajikan dengan hasil tulisan sasterawan Inggeris ini.
Antara karya-karya terkenalnya seperti Hamlet, Romeo and Juliet, The Merchant of Venice, The Taming of the Shrew dan banyak lagi. Sebahagian besar karya-karya itu telah dihidupkan ke layar perak.
Namun, di sebalik karyanya yang hebat itu, ada segelintir pengkaji yang mempertikaikan kewujudan Shakespeare dan tidak percaya bahawa hasil karya-karya tersebut adalah tulisannya.
“Saya tidak percaya bahawa Shakespeare adalah penulis karya-karya hebat itu,” kata Sigmund Freud, seorang pelopor aliran psikologi. Bukan itu saja, beberapa nama besar yang lain seperti Charlie Chaplin, Mark Twain, Charles Dickens dan Malcom X turut tidak percaya.

Keraguan tentang identiti Shakespeare ini sudah mula diperkatakan sejak awal abad ke-18 lagi. Pada tahun 1785, seorang pendeta mengatakan bahawa Sir Francis Bacon (meninggal tahun 1626) yang juga seorang penulis dan ahli falsafah, adalah penulis sebenar karya-karya Shakespeare.

Kemudian, banyak nama lain turut dicanang bahawa itulah penulis sebenarnya. Di antara kebanyakan teori tersebut, nama Edward de Vere adalah yang paling kuat dikatakan sebagai ‘Shakespeare’ yang sebenar.
Edward merupakan seorang bangsawan dari Oxford bergelar Earl of Oxford, meninggal dunia pada tahun 1604.
Sudah tentu segala teori itu disangkal oleh penyokong setia Shakespeare. Bahkan, sering berlaku perdebatan antara penyokong Edward yang digelar ‘kumpulan Oxford’, melawan ‘kumpulan Stratford’ (tempat lahir Shakespeare), iaitu penyokong Shakespeare.
Tidak hanya melalui buku-buku dan seminar, debat itu juga berlangsung di laman maya.
Majalah Time pernah menulis tentang perbezaan pendapat ini pada Mac 1999. Kemudian menyusulnya pula filem Shakespeare in Love yang kontroversi itu.
Mengapa identiti Shakespeare sebagai penulis karya-karya hebat itu diragukan?
Jika menurut penyokong kumpulan Oxford, tidak ada satu pun yang kena atau sesuai antara peribadi Shakespeare dengan karya-karya agungnya itu.
Karakter, latar belakang, pendidikan, keluarga, teman-teman dan lainnya tidak menunjukkan bahawa Shakespeare adalah penulis hebat itu. Shakespeare dikatakan tidak memiliki pengalaman luas yang diperlukan untuk bahan menulis. Dia hanyalah aktor picisan dan anak pembuat sarung tangan berasal dari Stratford, sebuah desa yang populasinya hanya 1,400 orang ketika itu.

Menurut kumpulan Oxford lagi, jika Shakespeare seorang penulis besar, pasti akan ada banyak dokumen lain yang menyokong fakta itu. Sayangnya, tiada dokumen atau surat penting yang dapat dijadikan bukti kebijaksanaan Shakespeare. Jika ada pun hanyalah dokumen yang menceritakan Shakespeare bermain teater di London dan menulis puisi, tetapi bukan dengan karya-karya besar.
Menurut kumpulan Oxford, peribadi Shakespeare amat jauh berbeza dengan peribadi Edward de Vere. Edward yang merupakan bangsawan Oxford memiliki pengetahuan luas perihal kehidupan bangsawan dan golongan atasan pada zaman itu. Malah Edward juga pernah menetap di India, dua elemen penting yang banyak menjadi latar belakang karya-karya besar itu.
Lebih kuat lagi, Edward adalah seorang penyair, produser, aktor serta lulusan Universiti Oxford. Malah, terdapat beberapa persamaan antara lakonan dalam karya-karya hebat itu sama dengan kisah hidup Edward de Vere dan beberapa orang terdekatnya. Ini termasuk beberapa kalimat yang yang digariskan dalam kitab Injil milik Edward ternyata muncul dalam beberapa karya itu.

Berdasarkan itu, mereka membuat andaian penulis sebenar karya-karya hebat itu ialah Edward de Vere. Namun, Edward menggunakan nama samaran iaitu ‘Shakespeare’, yang kebetulan sama dengan nama aktor sandiwara jalanan dari Stratford itu.
Jika benar, mengapa Edward perlu menggunakan nama samaran? Menurut kumpulan Oxford, pada zaman itu tidak wajar seorang bangsawan mencantumkan namanya pada karya yang akan dipentaskan pada umum. Apatah lagi Edward bukanlah bangsawan sembarangan dan pernah rapat dengan Ratu Elizabeth I yang berkuasa. Sebab itu dia menggunakan nama samaran tersebut dalam karya-karyanya.
Mengapa Edward memilih nama samarannya ‘Shakespeare’, bukan nama lain?
Dikatakan sebabnya kerana lambang Oxford adalah seekor singa yang sedang ‘bergoyang’ (to shake), sebuah tombak (a speare). Daripada gabungan ayat itulah munculnya nama samaran Shakespeare itu.
Sigmund Freud pernah berkata, “Orang Stratford sama sekali tidak memiliki bukti untuk menyokongnya, sedangkan orang Oxford itu memiliki segalanya.”

Namun, sudah tentu hujah-hujah tersebut ditentang oleh penyokong Skahespeare. Bagi kumpulan Stratford, ‘Shakespeare yang asli’ menurut mereka adalah seorang yang genius. Bukti-bukti pun banyak untuk menyokong bahawa dia bukan sekadar aktor picisan dan penulis kecilan.
Shakespeare juga mendapat didikan sekolah yang memungkinkan dia mengenali sastera. Sebahagian kisah hidup Shakespeare pun ada sangkut pautnya dengan beberapa lakonan. Lagi pula, jika Edward de Vere penulisnya, mengapa beberapa karya hebat Shakespeare ditulis setelah Edward meninggal dunia pada tahun 1604, seperti King Lear (1605) dan Macbeth (1606).
Alan Nelson dari kumpulan Stratford turut memberi hujahnya berdasarkan beberapa sisi gelap kehidupan Edward de Vere. Menurut Nelson, Edward pernah didakwa mempunyai hubungan intim dengan beberapa lelaki muda. Ayah dan anak lelaki Edward juga memiliki perangai seksual menyimpang.
Edward juga dikatakan pernah membunuh seseorang yang tidak bersenjata, tetapi bebas kerana pengaruh seorang bangsawan. Senang kata, Edward adalah bangsawan yang tidak boleh dipercayai.
“Tak mungkin orang berkarakter seperti itu menulis lakonan dan merahsiakannya. Banyak bangsawan pada zaman itu juga menulis dan menerbit tanpa menggunakan nama samaran,” ujar Alan Nelson.
Perbalahan antara siapa identiti sebenar penulis karya Shakespeare ini masih terus diperkatakan sehingga sekarang. Entah mana yang benar, mana yang tipu. Apa yang pasti, karya-karya Shakespeare ini terus merentasi zaman dan diminati sehingga ke hari ini.

_________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen

