SEKITAR tahun 1930-an, Kingsbury Run – sebuah kawasan di daerah Cleveland, Amerika Syarikat, merupakan sebuah bandar industri yang sedang berkembang. Namun, kesibukan bandar itu mula dikejutkan dengan insiden berdarah.

Pada September 1934, seorang lelaki yang sedang bersiar-siar di tepi Tasik Erie menjumpai bahagian kaki yang dipercayai milik seorang wanita. Menurut pihak forensik, anggota badan itu diselaputi sejenis bahan kimia yang menyebabkan ia mengeras dan menjadi kemerah-merahan. Identiti wanita tersebut tidak dapat dikenal pasti dan dia hanya dilabel sebagai ‘wanita tasik’.

September 1935, dua orang remaja lelaki yang sedang berjalan di 49 street menjumpai mayat seorang lelaki kulit putih yang telah dipancung dan dikerat.  Mayat itu dijumpai dalam keadaan bogel dan hanya sepasang stoking yang masih tersarung di kakinya. Mangsa dikenal pasti sebagai Edward Andrassy, seorang lelaki berusia lewat 20-an.

Pihak polis turut menemui satu lagi mayat berhampiran kawasan di mana mayat Edward ditemui. Sama seperti Edward, mayat tersebut juga dalam keadaan badannya dikerat-kerat. Namun identitinya tidak dapat dikenal pasti.

Januari 1936, seorang wanita menemui mayat perempuan yang telah dikerat, dibalut surat khabar dan diletakkan dalam dua bakul berasingan. Bakul tersebut ditinggalkan di 20 Street berhampiran dengan sebuah kilang. Cap jari mengesahkan mayat perempuan itu ialah Florence Polillo, seorang pelayan.

Kejadian tidak berhenti setakat itu. Pada Jun 1936, dua remaja menemui bahagian kepala seorang lelaki berkulit putih yang dibalut menggunakan seluar sukan berhampiran sebuah jambatan. Badan mangsa yang dianggarkan berusia 20-an hanya ditemui pada keesokan harinya. Mayat ini gagal dikenal pasti dan polis hanya menggelarnya sebagai ‘the tattooed man’.

Senarai mangsa yang terlibat dalam permbunuhan bersiri ini.

Siri pembunuhan kejam ini masih berterusan. Pada Julai 1936, mangsa kelima ditemui di Jalan Clinton. Menurut pihak forensik, mangsa telah meninggal dunia hampir dua bulan sebelum ditemui.

Pada September 1936, seorang lelaki terkejut apabila tersandung bahagian kaki manusia sewaktu berjalan di stesen kereta api di Kingsbury. Ia adalah mangsa keenam.

Dalam masa dua tahun, siri pembunuhan kejam berterusan dengan keadaan mangsa ditemui dalam keadaan anggota badan telah dikerat. Namun polis masih belum menemui petunjuk mengenai si pembunuh. Akhbar tempatan melaporkan hampir setiap hari mengenai kisah tersebut yang menggugat ketenteraman penduduk Kingsbury.

Peter Merylo dan Martin Zelewski dilantik menjadi pegawai penyiasat bagi kes ini. Mereka cuba untuk mencari sebanyak mungkin bukti yang boleh membawa kepada penangkapan suspek. Sepanjang siasatan berlangsung, mereka telah menemu bual hampir 500 orang awam, menjadikan ia salah satu kes terbesar pernah disiasat dalam daerah tersebut.

Pembunuhan bersiri di Kingsbury Run.

Pada Februari 1937, seorang lagi mangsa wanita ditemui. Pun sama, tubuh mangsa dikerat kejam setelah kematiannya. Mangsa ini gagal dikenal pasti identitinya.

Selang beberapa bulan kemudian, seorang kanak-kanak menjumpai tengkorak di bawah jambatan Lorain-Carnegie. Di sebelah tengkorak itu terdapat satu beg plastik hitam yang mengandungi tulang temulang manusia.

Hasil ujian gigi mendapati pemilik tulang tersebut ialah Rose Wallace, berusia 40-an. Pihak polis cuba menyiasat misteri kehilangan Rose dengan harapan ia dapat membantu siasatan. Tapi semuanya menemui jalan buntu.

Pada Julai 1937, seorang pekerja kilang yang berdiri di atas jambatan terlihat beberapa anggota badan manusia yang terapung di atas permukaan air. Pihak polis berjaya menjumpai hampir keseluruhan bahagian badan mangsa kecuali kepalanya. Siasatan forensik mendapati mangsa telah dicabul sebelum dibunuh. Hati mangsa juga dirobek keluar.

Seterusnya pada April 1938, seorang lelaki terlihat objek terapung di permukaan sungai. Sangkanya objek tersebut ialah seekor ikan. Namun dia terkejut apabila mendapati ia sebenarnya sepasang kaki milik seorang wanita.

Hampir sebulan masa diambil oleh pihak berkuasa untuk mencari bahagian badan mangsa yang lainnya. Pihak forensik menemui dadah dalam perut mangsa. Timbul pertanyaan adakah pembunuh bersiri ini sudah mula menggunakan dadah untuk mengkhayalkan mangsanya? Tiada jawapan. Identiti mangsa ini juga gagal dikenal pasti.

Kejadian berikutnya pada 16 Ogos 1938. Tiga orang pengutip besi buruk menjumpai bahagian kaki dan tangan wanita yang dibalut menggunakan selimut buruk. Anggota badan itu diletakkan dalam sebuah kotak yang diikat dengan getah.

Sewaktu pihak polis melakukan pencarian badan mangsa yang terpisah, mereka menemui satu lagi mayat baru. Ia tidak jauh dari tempat kaki dan tangan mangsa wanita itu ditemui. Ini menjadikan jumlah kesemua mangsa adalah 12 belas orang. Identiti kedua-dua mangsa yang ditemui berdekatan itu juga gagal dikenal pasti.

Siapa Pembunuhnya?

Pembunuhan bersiri Kingsbury telah merunsingkan pihak berkuasa. Siapa pembunuhnya? Apa motif dia mengerat anggota badan mangsa?

Pihak berkuasa mula tertekan. Mereka tidak mempunyai sebarang petunjuk yang boleh membawa kepada penangkapan suspek.

Pada Ogos 1938, sekumpulan 35 orang pegawai polis diketuai Eliot Ness telah meredah hutan Run. Sebelas kereta skuad, dua van polis dan tiga trak bomba menanti di sana.

Kawasan hutan itu menempatkan pondok rehat terbesar di kawasan Cleveland. Ia digeledah polis untuk mendapatkan petunjuk. Setelah gagal menemui petunjuk yang boleh membantu siasatan, Eliot mengarahkan kesemua pondok di situ dibakar.

Salah satu lokasi mayat mangsa ditemui.

Penduduk setempat terus hidup dalam ketakutan, memikirkan nasib mereka yang mungkin akan menjadi mangsa seterusnya. Tapi apa yang mengejutkan, pembunuhan itu ternyata terhenti setakat itu. Tiada lagi mangsa baru ditemui dengan tubuh dikerat-kerat.

Pada Julai 1939, pihak polis menahan Frank Dolezal, 52, atas tuduhan membunuh Florence Pollillo, mangsa ketiga yang ditemui pada tahun 1936. Frank yang dikatakan pernah menjalin hubungan dengan Florence turut dituduh ada kaitan dengan kematian Edward Andassy dan Rose Wallace.

Namun, pengakuan yang direkodkan daripada Frank mendapati ia tidak teratur, seolah-olah dia telah dipaksa untuk membuat pengakuan tersebut.

Frank ditemui mati dipercayai membunuh diri dalam sel tahanannya sebelum sempat dibicarakan. Ada yang mengatakan ia tanda protes kerana Frank sebenarnya tidak melakukan pembunuhan tersebut. Tiada siapa percaya bahawa Frank adalah pelaku sebenar kekejaman selama empat tahun itu.

Sehingga ke hari ini, pembunuh sebenar masih gagal dikesan. Motif pembunuhan juga masih kabur. Kes pembunuhan bersiri Kingsbury menjadi salah antara salah kisah pembunuhan misteri yang masih belum dapat dirungkai sehingga ke hari ini.

________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen