PENJARA Pollsmoor atau juga dikenali Pollsmoor Maximum Security Prison terletak di Cape Town, Afrika Selatan. Penjara ini  terkenal kerana menempatkan penjenayah ganas, termasuk para pemberontak dan penentang kerajaan. Nelson Mandela antara orang popular yang pernah dipenjarakan di penjara ini.

Had keluasan penjara ini mampu memuatkan kapasiti lebih empat ribu penjenayah. Namun, terlalu ramai banduan disumbat ke sini sehingga penghuninya melebihi 7,000 orang, jauh melebihi had asal yang ditetapkan.

Apa yang menakutkan, terdapat satu jenayah mengerikan yang seakan menjadi tradisi dalam penjara ini, iaitu memakan jantung manusia. Bagi banduan dalam penjara ini, amalan ngeri itu dianggap penting bagi menentukan kekuatan dan kuasa sesebuah kumpulan gengster yang mereka anggotai.

Dikatakan mana-mana kumpulan gengster dalam penjara ini yang ingin mengekalkan pengaruh dan kuasa, mereka akan membunuh dan memakan jantung mangsa daripada anggota kumpulan samseng yang lain.

Penjara Pollsmoor di Cape Town.

Seorang  bekas banduan di penjara itu, Chris Mullins, menceritakan hanya golongan banduan tertentu sahaja yang berani memakan jantung mangsanya. Kebiasaannya individu ini terdiri daripada ketua kumpulan gengster yang amat ganas dan kejam. Kononnya, mereka percaya dengan membunuh dan memakan jantung akan membuatkan mereka lebih dihormati dan ditakuti oleh banduan lain.  

Tradisi ngeri itu turut dikongsi oleh Anan, seorang lelaki yang menganggotai sebuah kumpulan gengster. Menurutnya, amalan memakan jantung manusia merupakan peristiwa yang benar-benar berlaku di penjara tersebut.

Dikatakan juga amalan itu memang sudah berlaku di kalangan kumpulan gengster di luar penjara. Apabila mereka ditangkap, amalan itu turut dibawa ke dalam kehidupan di penjara itu.

Salah satu keadaan dalam penjara Pollsmoore.

Menurut Anan, menjalani hukuman penjara di penjara Pollsmoor adalah satu pengalaman buruk yang tidak boleh dilupakan seumur hidupnya. Penjara tersebut amat mengerikan kerana banduan-banduan yang dipenjarakan di situ semuanya ganas dan tidak berperikemanusiaan. Kesemua mereka sanggup melakukan apa saja termasuklah membunuh dan memakan jantung mangsa yang masih dipenuhi darah.

Bagi mengelakkan menjadi mangsa pembunuhan, setiap banduan baru yang dipenjarakan di sini mestilah menawarkan diri secara sukarela menganggotai kumpulan gengster. Ia merupakan satu-satunya peluang yang ada bagi seseorang banduan untuk terus hidup di penjara ini jika tidak mahu risiko dibunuh.

Namun, menjalani hidup sebagai anggota kumpulan gengster juga mempunyai banyak risikonya. Ini kerana, di dalam penjara ini bukan hanya satu kumpulan gengster sahaja yang wujud. Terdapat beberapa lagi kumpulan lain yang selalunya digelar mengikut turutan nombor, contohnya nombor 26, 27, dan 28.     

Jelasnya lagi, seseorang banduan yang menganggotai kumpulan gengster mestilah akur dengan peraturan yang ditetapkan. Antaranya, mereka hendaklah bertatu mengikut nombor kumpulan yang dianggotai mereka.

Setiap anggota mestilah bersumpah dan taat setia pada segala arahan daripada ketua kumpulan. Ada juga dakwaan mengatakan seseorang anggota yang melanggar peraturan akan dikenakan hukuman bunuh dan jantungnya akan dimakan mentah-mentah.

Kadangkala, turut berlaku pergaduhan sesama kumpulan gengster di penjara ini. Kebiasaannya, pergaduhan tercetus akibat perebutan kuasa yang mencetuskan rusuhan sehingga mengakibatkan kematian. Selalunya, kumpulan yang menang dalam pergaduhan itu akan memakan jantung mangsa mereka.  

Amalan ngeri tersebut pernah dilaporkan oleh beberapa agensi media antarabangsa dahulu. Pada tahun 2001, sebuah stesen televisyen berita England, British Broadcasting Corporation (BBC) pernah melaporkan amalan kanibalisme di penjara berkenaan.

Selain itu, seorang jurugambar Afrika Selatan, Micheal Subotzky, pernah merakamkan gambar mengenai kehidupan para banduan di penjara Pollsmoor. Begitu juga dengan seorang wartawan dan juga pelakon dari England, Ross Kemp, pernah mendokumentasikan secara realiti perihal kehidupan banduan di penjara itu.  

Penjara Pollsmoor merupakan salah sebuah penjara yang mempunyai kawalan keselamatan paling ketat di Afrika Selatan. Mula dibina pada tahun 1964, penjara ini menempatkan banduan yang disabitkan pelbagai kesalahan jenayah serius.

_________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen