PELBAGAI pihak termasuklah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan individu dan perseorangan terus mencurah bakti dengan menghulurkan bantuan dalam usaha meringankan beban ditanggung mangsa banjir akibat bencana alam yang menimpa sekitar Selangor dan Pahang, baru-baru ini.

Yayasan Metamorphosis bersama pasukannya turut tidak terkecuali membantu menjayakan misi Jiwa Prihatin bagi membantu mereka yang terjejas teruk.

Presidennya, Datuk Aliff Zain berkata, meskipun ddia sedikit terlewat menghantar bantuan disebabkan perlu menjalani kuarantin berikutan menjadi kontak rapat pesakit Covid-19, namun tetapi berusaha untuk meringankan beban mangsa banjir.

“Habis sahaja tempoh kuarantin, saya terus mempersiapkan pasukan untuk turun padang bagi menghulurkan bantuan.


“Dari segi dana, Yayasan Metamorphosis tidak kutip mana-mana sumbangan, ini hasil pendapatan perniagaan yang disalurkan kepada yayasan ini.

“Kami melawat bekas pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin di Banting, Selangor, kemudiannya ke rumah penyanyi Ezad Lazim di Kota Warisan, Sepang. Seterusnya, kami menjengah bekas pemain bola sepak negara, Azman Adnan dan isterinya, As Feminin.

“Malah, penyanyi otai, Yantzen dan pemain bass kumpulan Damasutra, Amran yang tinggal di sekitar Hulu Langat turut kami ziarah.

“Sepatutnya, kami singgah ke rumah pelawak, Ebby Yus di Hulu Langat, tetapi saya dimaklumkan beliau dimasukkan ke hospital,” ujarnya yang turut menghulurkan bantuan kepada orang awam.

Datuk Aliff bersama dengan pasukan Yayasan Metamorphosis turun padang menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir

Aliff yang juga usahawan dari Pulau Pinang berkata, secara kasar, Yayasan Metamorphosis memperuntukkan antara RM500,000 hingga RM1 juta bagi Misi Jiwa Prihatin di seluruh Malaysia.

“Bukan hanya menyediakan sumbangan berbentuk wang ringgit, malah, pelbagai barangan elektrik seperti mesin basuh, peti ais dan katil termasuklah keperluan asas.

“Misi Jiwa Prihatin bermula ketika banjir besar di seluruh Malaysia pada 2014 di mana saya sendiri turun padang dan berasa sedih dengan nasib menimpa mangsa banjir.

“Saya lihat mereka perlu memulakan kehidupan baharu, ada yang sehelai sepinggang, tak kira kaya atau miskin. Dari situ, kami meneruskan Misi Jiwa Prihatin pada setiap tahun.

“Saya berharap lebih ramai rakyat Malaysia menghulurkan sumbangan membantu mangsa banjir bukan hanya kejadian tahun ini, tetapi juga pada masa akan datang,” ulasnya.

Datuk Aliff (dua dari kanan) menghulurkan bantuan kepada bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azman Adnan yang juga suami kepada penyanyi AS Feminim

Aliff turut mengalu-alukan sukarelawan untuk menyertai Yayasan Metamorphosis dengan menghubungi mereka menerusi Facebook Yayasan Metamorphosis.

“Dan, hari ini Yayasan Metamorphosis bekerjasama dengan rider penghantar makanan. Bukan sahaja bangsa Melayu, malah Cina dan India turut berganding bahu membantu mangsa banjir,” ungkapnya.

Sementara itu, bagi Ezad, ini merupakan pengalaman pertama keluarganya berhadapan dengan musibah banjir sejak berpindah ke kediaman sendiri yang terletak di Kota Warisan, Sepang.

““Banyak barang koleksi peribadi musnah dan rosak. Saya memang suka simpan barang-barang yang ada nilai sentimental.

“Saya simpan koleksi CD dan VCD original dari penyanyi yang saya minat sejak dari zaman muda.

“Ini termasuklah koleksi gambar saya dengan bekas kumpulan dan alatan muzik seperti gitar. Ada antaranya saya simpan dan tidak pernah guna. Namun, agak sedih alatan muzik artifak arwah bapa tidak boleh diselamatkan.

“Apa yang penting, nyawa. Alhamdulillah, isteri dan anak-anak berada dengan saya ketika banjir, jadi, tiada apa yang perlu dirisaukan sangat,” katanya.

Ezad Lazim bersama isterinya melihat barangan miliknya yang terkena banjir

Berlainan pula buat Yantzen yang menganggap bencana banjir yang menenggelamkan kediamannya sehingga setinggi lima kaki itu sebagai teguran alam buat dirinya.

“Saya tinggal di Kampung Sungai Serai, Batu 12, Hulu Langat sudah lima tahun. Sejak mulanya duduk sini memang tak pernah lagi rumah dimasuki air sampai tahap setinggi bumbung.

“Memang hujan lebat setiap tahun, tetapi, air sungai takkan naik, tetapi inilah kali pertama walaupun di luar sana lagi teruk.

“Tetapi, kereta tenggelam, jadi, inilah kali pertama saya mengalami nasib seteruk ini. Namun, saya reda dan cuba untuk selesaikan apa yang boleh saya dilakukan.

“Mungkin ada kesilapan saya dan sebaliknya. Seperti perabot yang disayangi sudah kotor, itu bermakna ada kekotoran yang harus dibersihkan. Ia bagaikan menyuci dosa saya.

“Jadi, saya ambil ini satu iktibar. Mungkin saya tak sedar pernah melakukan kesilapan. Namun, Alhamdulillah, saya sihat dan selamat,” ungkapnya.

Yantzen terharu dan bersyukur menerima bantuan berupa keperluan elektrikal

Bagi AS Feminin pula, dia terharu dengan sikap prihatin rakyat Malaysia yang pemurah dan tidak mengira bangsa serta agama membantu mangsa banjir.

Malah, dia turut berbesar hati apabila Aliff turut turun padang menghulurkan sumbangan.

“Terima kasih, semoga Allah membalas jasanya membantu mengurangkan bebanan saya sekeluarga.

“Saya tak boleh agak anggaran kerugian. Tetapi, apa yang boleh saya cakap kena bermula dari kosong semula. Bukan hanya semua barang elektrik rosak, malah, lantai pun pecah.

“Ia seperti membina rumah baharu. Satu rumah pula kena buat ‘wiring’ semula.

“Memang saya amat terkesan, tetapi, saya nak ucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sangat prihatin dan tidak berkira.

“Bila berlaku bencana ini, barulah saya nampak rakyat Malaysia sangat bersatu dan bermurah hati, tak kira apa bangsa dan agama. Saya memang respek pada masyarakat majmuk kita,” ujarnya.