LIHATLAH wahai anakku, sekawan burung bangau itu. Burung-burung itu terbang, datang mencari ikan-ikan kecil yang berkeliaran di muara sungai ini di celah akar pohon bakau.

Cuba perhatikan betul-betul sang bangau itu. Ada yang kecil, ada yang besar malah ada yang tinggi berbanding yang lain. Ada yang berwarna abu-abu muda, ada yang berwarna putih melepak, ada yang berwarna merah kekuningan manakala sebahagian lagi berwarna kuning jingga.

Cuba lihat, sang bangau yang lebih tinggi kelihatan bagaikan berdiri di atas bangau kecil yang lebih rendah. Namun kesemua bangau itu sangat indah dan mengasyikkan setiap mata yang memandang.

Menariknya, sang bangau ini berdiri dengan satu kaki, tegak dan seimbang, kepalanya pula sentiasa lurus memandang ke hadapan. Hanya sesekali tunduk mematuk untuk memakan serangga dan ikan dengan paruhnya yang runcing.

Mari kita renungkan tamsilan ini, wahai anakku. Sang bangau mempunyai tubuh yang tinggi, namun sepasang kakinya yang kurus dapat menampung berat badannya tanpa sebarang masalah.

Kadangkala kita sukar untuk melihat dengan jelas kakinya. Semasa bangau berdiri tegak berjam-jam lama, kita tidak nampak burung ini berkeadaan resah gelisah mahupun goyah.

Sang bangau begitu tenang berdiri menunggu ikan-ikan timbul mengambil nafas dan bermain-main di permukaan air. Namun, setiap kali pagutan pasti membuahkan hasil di temboloknya.

Ada pula bangau lain yang berdiri tenang di atas daratan, sementara ada juga yang mengantuk dan tertidur sambil menyorokkan kepalanya di celah-celah kepaknya.

Kesemua bangau ini memperlihatkan persamaan sikap masing-masing, tenang dan seimbang mengawal tubuh masing-masing ketika berehat dan mencari makanan. Maka tidak hairanlah, para pelukis terpesona dengan kehidupan sang bangau dan mengabadikannya sebagai objek lukisan.

Begitulah hidup kita wahai anakku. Seperti mana si bangau yang tegak berdiri dan seimbang, begitulah diri kita juga seharusnya demikian, sentiasa tegak, istiqamah di atas garisan jalan kebenaran semasa menempuh perjalanan hidup singkat ini.

Untuk istiqamah, tetap tegak berdiri di atas garisan jalan kebenaran, amat memerlukan kebijaksanaan berfikir dan mengawal sesuatu tindakan agar tidak tergopoh-gapah. Kegopohan semasa berfikir menyebabkan kita membuat keputusan yang silap lantas menyebabkan kita gagal.

Kegagalan membawa kekecewaan. Seandainya kita terus tetap, tegak berdiri di atas jalan kebenaran Tuhan, maka sudah barang tentu kita akan memperoleh keseimbangan dan kejayaan dalam kehidupan ini.

Tapi, jika kita gopoh berfikir untuk menebang pokok-pokok bakau ini untuk meraih keuntungan singkat, maka nelayan pasti kehilangan pendapatan dan kita akan kekurangan sumber protein dari laut.

Apabila pohon bakau itu pupus, tiada lagi ikan-ikan yang memasuki muara sungai untuk menjadikan celah akar sebagai tempat tinggal, mencari makanan, bertelur dan membiak. Tangkapan ikan nelayan terjejas. Ketika itu, tiada lagi kelibat sang bangau memagut, mencari makanan.

Bahkan lebih buruk lagi muara dan pantai akan kehilangan keseimbangannya lalu menyebabkan hakisan sehingga pantai dan rumah kita roboh.

Adakah kita mahu tragedi buruk itu berlaku, wahai anakku?

Oleh itu, marilah anakku, kita belajar daripada kehidupan sang bangau, tegak berdiri dan seimbang, hidup di atas muka bumi ini untuk berjaya.

_________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen