
KEBELAKANGAN ini, antara isu negara yang agak panas ialah soal kenaikan harga makanan. Ia menjadi serius kerana situasi ini akan memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat Malaysia yang majoritinya adalah golongan B40.
Dikatakan rakyat Malaysia membelanjakan 60 peratus daripada keseluruhan pendapatan bulanan untuk membiayai kos makanan. Masalah ini menyebabkan kualiti hidup rakyat kita tidak juga boleh berkembang dengan baik dan selesa.
Masalah ini sudah berpanjangan sejak dulu tetapi keadaan itu menjadi bertambah buruk dan membimbangkan apabila Covid-19 melanda dunia. Lebih malang kerana Malaysia sangat bergantung kepada sumber import iaitu sumber makanan, sumber manusia dan sumber input pertanian. Pendek kata semuanya diimport. Bil import makanan kita sahaja mencecah RM 54bilion pada tahun 2020 berbanding RM 28 bilion pada tahun 2011.
Antara isu pokok yang terus berlegar tanpa noktah ini dikatakan juga berpunca daripada kurangnya minat generasi muda tempatan untuk menceburi sektor pertanian.
Laporan Survey Tenaga Buruh 2018 yang dirujuk kepada Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan bahawa terdapat 1.5 juta pekerja di sektor pertanian di Malaysia tetapi daripada jumlah tersebut, dipercayai seramai 500,000 adalah pekerja warga asing.
Kebanyakan pekerja Malaysia pula berstatus pekerja tidak standard. Definisi pekerja berstatus tidak standard ialah tidak bekerja sepenuh masa dan/atau tidak mempunyai kontrak pekerjaan formal, malah kebanyakannya juga bekerja sendiri.
Laporan itu juga mengatakan bahawa kadar gaji dan upah sektor pertanian adalah yang paling rendah iaitu bawah RM2,000 sebulan berbanding sektor-sektor lain yang menjadikan juga pekerja sektor pertanian berada pada kategori miskin.
Sememangnya trend sumbangan peluang pekerjaan dalam sektor pertanian menurun daripada 30 peratus pada tahun 1980 kepada 10 peratus pada tahun 2019. Survey tahun 2018 juga menunjukkan bahawa 56 peratus pekerja sektor pertanian besifat separuh masa, tidak tetap atau bekerja sendiri.
Dalam satu kajian yang diterbitkan oleh Institut Kajian Khazanah pada tahun 2020 terhadap pertubuhan-pertubuhan pertanian menunjukkan bahawa 90 peratus pertubuhan  pertanian tahun 2015 dikategorikan sebagai PKS dan 40 peratus syarikat pertanian adalah bersaiz mikro (iaitu pendapatan tahunan kurang RM300,000 setahun dengan pekerja kurang daripada 5 orang).

Kesemua fakta di atas menunjukkan bahawa industri dan pembangunan pertanian di Malaysia masih terlalu kecil dan gagal untuk meyakinkan golongan muda untuk menyertainya, sekaligus memberi kesan kepada keperluan Jaminan Bekalan Makanan (Food Security) di Malaysia.
Menarik golongan muda bukanlah mudah kerana perkara ini melibatkan eko-sistem yang berantai ibarat rantai basikal. Seandainya terputus satu rantaian, maka terputuslah semuanya hingga basikal tidak dapat bergerak sepenuhnya.
Kita tidak boleh memandang enteng hal yang berkaitan jaminan bekalan makanan ini kerana banyak sejarahnya yang menyaksikan kekecohan sesebuah negara hingga tumbang kerajaan yang memerintah. Selain keupayaan kita memastikan tahap saradiri atau self sufficient rate (SSR), cabaran besar hari ini adalah isu pemanasan global atau climate change serta pendamik covid 19 yang mengajar kita untuk mengatasi gangguan bekalan makanan. Dalam ert kata lain, kebergantungan kepada semua sumber pertanian dari negara asing adalah tidak selamat lagi.
Justeru, kita mempunyai cabaran yang besar bukan sahaja dari sudut bilangan atau kuantiti penyertaan tenaga kerja tempatan, bahkan kualiti sumber manusia kita dalam menghadapi cabaran pertanian hari ini dan masa depan. Pada masa depan, kita tidak boleh sekadar melahirkan petani biasa tetapi sebaliknya kita perlu melahirkan petani moden yang berilmu dan berkemahiran tinggi. Saya selalu mengistilahkannya dalam Bahasa Inggeris sebagai hands on skills with deep knowledge.
Amalan pertanian bukan lagi berintensifkan buruh tetapi menggunakan teknologi moden yang menjimatkan kos operasi serta meningkatkan pengeluaran melalui konsep pertanian pintar.
Membentuk sumber manusia dalam pertanian adalah satu proses asuhan yang perlu dimulakan sejak kecil dan dibangku sekolah. Namun begitu, perkara ini tidak berlaku kerana ketiadaan dasar kita yang jelas dalam pemupukan sikap dan minat terhadap pertanian. Kempen secara bersungguh juga tidak berlaku. Maka segala kelompangan yang menggagalkan dasar pertanian kita sudah dirasai dengan ketara oleh rakyat Malaysia ketika ini.
Maka dalam hal ini, teringatlah penulis kepada bapa pertanian dan modal insan negara iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Kelima Malaysia.
Beliau amat menyedari masalah pertanian dan kepentingannya di Malaysia. Oleh itu, beliau telah menjadikan pertanian sebagai gagasan penting semasa era pemerintahannya. Ketika itulah kita juga dapat melihat Pak Lah cuba mencetuskan revolusi pertanian di Malaysia. Namun di sebalik cita-cita beliau, Pak Lah juga berhadapan dengan pelbagai karenah di peringkat kerajaan yang merimaskan beliau.
Dalam satu perbincangan beliau dengan penulis sekitar tahun 2008, Pak Lah terkejut bila mendapat tahu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) hanya melatih sekitar 500 orang sahaja pelatih sijil kemahiran pertanian, sedangkan negara memerlukan jauh lebih ramai pekerja mahir dalam bidang tersebut.
Walaupun menyedari kelemahan lain menterinya ketika itu, kegagalan dalam latihan pertanian telah menjadi kemuncak kepada rasa tidak puas hati beliau terhadap prestasi Menteri berkenaan. Beliau melabelkan sebagai gagal. Dalam Bahasa Pulau Pinang, beliau menyebut sebagai “ tak boleh nak bawak’.
Maka penulis diberi kepecayaan dan disokong untuk membuat sesuatu yang boleh mengubah keadaan supaya menjadi lebih baik. Alhamdulillah, dengan sokongan beliau penulis berjaya meningkatkan minat golongan muda melalui penjenamaan dan peremajaan sektor pertanian.
Setelah Pak Lah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib yang mengambil alih tugas PM, menyambung sekejap usaha penulis yang diasaskan oleh Pak Lah. Namun begitu, kesinambungannya amat lemah selepas itu dan kini keadaan kembali teruk seperti dulu. Difahamkan, usaha mendapatkan pelatih kemahiran pertanian sekarang adalah amat sukar sama ada di pusat latihan awam, mahupun swasta.
Memandang ke hadapan dan berbekalkan pengalaman penulis sendiri, penulis sedang berusaha menggabungkan semua agensi berkaitan latihan kemahiran dan pendidikan pertanian untuk bekerjasama secara satu pasukan dan berselaras dalam semua tindakan berkaitan. Antaranya ialah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sendiri. Inisiatif bersama IGROW ini diharap dapat menggembleng tenaga dan dana untuk menghasilkan keberhasilan yang lebih cepat, cekap dan berkesan.
Ketika mesyuarat yang dipengerusikan oleh Dato’ Haslina Abdul Hamid, Ketua Setiausaha MAFI, baru-baru ini, saya tertarik dengan pandangan dan nasihat sahabat baik saya iaitu Datuk Ahmad Nazri Yusof (Bekas Duta Besar Malaysia ke Netherland, merangkap bekas Timbalan Ketua Setiausaha Sulit Pak Lah) bahawa sektor pertanian di Malaysia adalah satu ekosistem besar yang kena dilihat secara menyeluruh, bukan adhoc dan secara terpisah atau mikro semata-mata.
Malah, katanya juga keselamatan makanan di Malaysia akan terus memburuk lagi jika kita hanya cantik di atas kertas tetapi hakikatnya kita masih bekerja dalam kerangka lama dengan cara yang sama.
Saya amat menghormati Datuk Ahmad Nazri kerana pengalamannya bergelumang dengan dasar pertanian Pak Lah dan pengalamannya juga menjadi duta di negara pertanian terbaik dan termoden di dunia.
Masa untuk kita semua bergabung, membuang ego dan bersama-sama menjayakan keselamatan makanan negara.
- Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian UtusanTV.
                                                          Â

