PRN Johor buka tirai Sabtu ini, keputusan bakal status quo?

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

GENDANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bakal dipalu secara rasmi Sabtu ini apabila tirai proses penamaan calon dibuka seawal pukul 9 pagi.

Ia sekali gus menandakan bermulanya ‘medan tempur’ politik yang akan menjadi perhatian seluruh negara.

Walaupun hanyalah pemilihan untuk Dewan Undangan Negeri (DUN), namun keputusan PRN itu akan menjadi penanda aras awal bagi pilihan raya berikutnya.

Keputusan PRN Johor mampu memberi petunjuk awal terhadap landskap politik nasional menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Sebagai lokasi lahirnya UMNO, Johor sering disifatkan sebagai kubu kuat parti itu tidak kira dalam kalangan pengundi Melayu mahu pun di kerusi-kerusi marginal.

Justeru, tidak hairan jika pemerhatian awal ramai penganalisis politik menjangkakan keputusan PRN Johor ini berpotensi mengekalkan status quo.

Barisan Nasional (BN) memasuki gelanggang dengan reputasi mendominasi 40 kerusi DUN Johor pada PRN ke-15 tahun 2022 lalu.

Pada masa sama, BN juga mempunyai beberapa kelebihan yang sukar dinafikan.

Sebagai kerajaan negeri sedia ada, BN mempunyai rekod pentadbiran yang baik di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Malah, keperibadian Onn Hafiz juga menjadikan beliau diterima baik oleh sebahagian besar rakyat Johor.

Imej positif ditonjolkan Onn Hafiz turut membuatkan beliau berjaya membina jenama politiknya sendiri dan tidak lagi hanya dikenali sebagai cicit kepada Datuk Onn Jaafar; cucu Tun Hussein Onn atau anak saudara Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Tambahan pula, Johor secara tradisinya merupakan kubu kuat UMNO.

Walaupun landskap politik negara telah berubah sejak 2018, pengaruh parti itu di banyak kawasan luar bandar dan separa bandar masih sukar digugat sepenuhnya.

Namun, menganggap kemenangan BN sebagai sesuatu yang sudah terjamin juga mungkin satu kesilapan.

Ini kerana Pakatan Harapan (PH) kekal sebagai pencabar paling hampir.

Berdepan banyak cabaran terutama di peringkat Persekutuan tetapi PH masih mempunyai tapak sokongan yang kukuh terutama di kawasan bandar serta pengundi pelbagai kaum.

PH juga memiliki kelebihan dari segi jentera pilihan raya yang tersusun serta pengaruh pemimpin-pemimpin utama yang masih mempunyai daya tarikan tersendiri dalam kalangan pengundi muda dan kelas pertengahan.

Dalam politik, pilihan raya tidak dimenangi berdasarkan sejarah semata-mata. Ia ditentukan oleh sentimen semasa, isu tempatan dan kemampuan parti meyakinkan pengundi bahawa mereka menawarkan pilihan yang lebih baik.

Justeru, walaupun BN dilihat berada di hadapan, PH tidak boleh dipandang enteng.

Bagaimana pula dengan Perikatan Nasional (PN)?

Jika dibandingkan dengan negeri-negeri di Pantai Timur atau Kedah, pengaruh PN di Johor sememangnya tidak begitu menyerlah.

Faktor demografi, budaya politik setempat serta sejarah sokongan pengundi menjadikan negeri itu bukan medan paling ‘subur’ untuk PN.

Lebih mencabar, pergolakan antara Pas dan Bersatu menjelang PRN Johor ini dilihat berpotensi memberi kesan kepada kekuatan jentera serta penyatuan sokongan penyokong mereka.

Bagaimanapun, PN masih berpotensi memainkan peranan terutama di kawasan majoriti Melayu sekali gus bukan sahaja memecahkan undi tetapi juga mampu mencipta kejutan.

Selain tiga blok utama itu, perhatian juga tertumpu kepada parti-parti lain seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) serta parti baharu termasuk Parti Bersama Malaysia dan Parti Wawasan Negara.

Realitinya, kesemua parti itu menghadapi cabaran besar untuk menterjemahkan sokongan kepada undi sebenar.

Sejarah politik Malaysia menunjukkan bahawa pengundi lazimnya cenderung memilih parti yang mempunyai peluang realistik untuk menang dan membentuk kerajaan.

Faktor ini sering menyukarkan parti-parti kecil menembusi dominasi gabungan besar.

Ketika tirai PRN Johor mula dibuka Sabtu ini, persoalan utama yang akan bermain di fikiran ramai ialah sama ada pola politik sedia ada akan dikekalkan atau bakal ada kejutan baharu.

Bagi bukan pengundi Johor dan pemerhati politik neutral, apa sahaja kejutan sememangnya menarik untuk disaksikan.

Buat masa ini, semua petunjuk awal nampaknya lebih memihak kepada status quo dengan BN berada di landasan terbaik untuk mempertahankan penguasaan mereka.

Namun dalam politik, apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh kempen. Sentimen boleh berubah, isu boleh muncul dan pengundi boleh membuat keputusan pada saat-saat akhir.

Sebab itu, walaupun ramai menjangkakan keputusan sudah hampir dapat dibaca, hakikatnya perlumbaan sebenar hanya akan bermula apabila calon-calon mula memasuki gelanggang Sabtu ini.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Sultan Selangor hargai kesinambungan pentadbiran jayakan LRT3

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menegaskan kejayaan merealisasikan projek Laluan LRT3 Shah Alam adalah hasil kesinambungan perancangan serta...

More Articles Like This