solat penawar hati

Percayalah! Segala bentuk penyembuhan telah Allah ceritakan melalui kalam-Nya sebagai petunjuk kepada umat Islam. Tonik terbaik bagi mengatasi tekanan ialah dengan solat sebagaimana firman Allah dalam surah al Ma’rij:19 hingga 22,

“Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat suka mengeluh. Dan apabila dia ditimpakan kesusahan dia berkeluh-kesah. Dan apabila mendapat kebaikan (harta) dia menjadi kikir. Kecuali orang yang melaksanakan solat. Mereka yang tetap setia melaksanakan solatnya”.

Justeru, Mohamed Anuar Yusof, Pengasas Smart Consultan & Motivation percaya dan yakin, mereka yang tidak mampu mengawal tekanan pada dirinya adalah mereka yang tidak melaksanakan solat, atau melaksanakannya tanpa kesempurnaan.

Mereka yang melakukan solat sudah pasti dapat mengawal nafsu dan hasutan syaitan dalam dirinya. Namun begitu, ada juga dalam kalangan pelanggannya yang memberitahu:

“Saya dah solat Tuan. Cukup lima waktu sehari semalam, tetapi saya tetap juga tertekan, jiwa saya tidak tenang”

Menjawab persoalan itu, Mohamad Anuar memberitahu, analoginya seperti ubat dari hospital yang diberi oleh doktor jika kita menghidap sebarang penyakit. Doktor berpesan pada kita

“Ubat ini makan tiga kali sehari, selepas makan pagi, tengah hari dan malam”.

Apabila pulang ke rumah, kita biasanya bersarapan pada jam 7.30 pagi, tetapi ubat yang diberi oleh doktor tadi, ditelan pada jam 11.30 pagi. Adakah ubat itu akan mujarab? Jawapannya tidak. Kerana dalam tubuh kita ada enzim yang keluar pada waktu makan yang membantu memproses bahan ubatan itu agar bertindak balas selepas makan.

Begitu juga dengan solat. Bagaimana kita boleh kata solat tidak mampu membendung kita dari melakukan maksiat dan jiwa kita juga tidak tenang jika mengerjakannya di hujung waktu? Tepuk dada tanya iman, jam berapa selalunya kita mengerjakan solat? Adakah solat kita itu sempurna jika melakukannya di hujung waktu?.

Mudah-mudahan kita tidak tergolong dalam kalangan mereka yang pernah disebut oleh Rasulullah iaitu

“Sesiapa tidak terhalang kerana sembahyangnya dari perbuatan keji dan mungkar, maka dia sebenarnya bertambah jauh dari Allah’ dan ‘Ramai sekali orang mengerjakan sembahyang, tetapi bahagian yang diperolehi dari sembahyangnya hanyalah penat dan letih’ Orang yang dimaksudkan Rasulullah ialah orang yang lalai dalam sembahyangnya.” (Ahmad Nahari).

“Tapi Tuan! Saya dah solat di awal waktu. Tidak pernah lupa. Dengar sahaja azan, saya dah bentang sejadah. Namun saya tetap tertekan dengan masalah kerja, rumahtangga. Kadang-kadang benda kecil, tapi stresnya teruk… MasyaAllah! Asyik hendak marah saja. Macam mana?”

Mohamed Anuar, sekali lagi memberikan analoginya berkisah pada ubat. Apakah ubat yang diberi oleh doktor itu kita makan macam tu sahaja atau ada bantuan dari benda lain?

Jawapannya pasti dimakan dengan air. Begitu juga dengan solat, jika fikiran masih kusut dan tertekan dengan kehidupan seharian walaupun telah melaksanakan solat, maka lazimilah solat sunat.

Iringkan bersama solat-solat sunat yang memang banyak manfaatnya kepada kita. Dengan izin Allah, hidup kita akan kembali tenang dan lebih indah dengan merasai kemanisan iman.

Selepas bersolat juga, lazimilah berzikir kerana dengan zikir hati akan menjadi tenang sebagaimana firman Allah dalam surah ar-Ra’d: 28,

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati-hati mereka menjadi tenteram dengan berzikir (mengingat) kepada Allah. Ingatlah, hanya dengan berzikir (mengingat) kepada Allah-lah, hati akan menjadi tenteram”.

Stres makin membarah

Mengikut kajian, Mohamed Anuar turut menjelaskan golongan yang paling ramai mengalami tekanan mengikut pekerjaan ialah pekerja yang memerlukan pakaian beruniform dan pendidik. Pekerja yang berpakaian beruniform mengalami tekanan kerana membawa imej pekerjaan menerusi baju yang dipakai.

Manakala guru pula kerana tekanan dalam mendidik anak bangsa. Tekanan datang dari segenap segi, dari majikan, ibu bapa dan anak didik itu sendiri.

Oleh itu, ayuh! Dekat-dekatkan diri dengan agama agar kita semua terhindar dari tekanan yang boleh meninggalkan kesan mendalam dalam kehidupan kita. Dua kesan yang paling maksima boleh dilakukan oleh mereka yang tertekan ialah membunuh diri sendiri dan membunuh orang lain.

Tiada cara lain bagi mereka untuk menyelesaikan masalah selain dengan membunuh. Bisikan demi bisikan syaitan mula menguasai diri sehingga boleh bertindak di luar kawalan.

Tindakan itu diambil oleh mereka yang menghidap penyakit skizofrenia yang juga dikenali sebagai penyakit mental. Pada suatu masa dahulu, penyakit ini dianggap penyakit ganjil dalam negara kita, namun seperti kajian yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2014 menyebut nisbah pesakit skizofrenia dalam kalangan rakyat negara ini ialah 100:1. Manakala 50,000 kes cuba bunuh diri setahun telah direkodkan. Keadaan itu parah!

“Bayangkan, bagaimana jika dalam kalangan mereka yang menghidap penyakit mental itu adalah adik beradik, anak isteri, keluarga atau saudara dan kawan-kawan kita sendiri? Lebih teruk lagi mereka bertindak membunuh diri atau membunuh orang lain?

Oleh itu jangan sesekali menjauhkan diri dengan Allah dan rasul Nya. Ikutlah apa yang telah disyariatkan dalam Islam kerana itu merupakan garis panduan yang telah ditetapkan dalam kita menjadi insan yang terbaik di sisi Allah. Bebas dari sebarang tekanan, kesulitan dan jiwa yang meresahkan. Wallahu a’lam

______________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare