PELAKON dan penyanyi, Bella Astillah tampil menjawab persoalan netizen yang tidak berpuas hati atas kemenangan suaminya, Aliff Aziz di pentas program realiti Gegar Vaganza 8 (GV8), Ahad lalu.

Menurut Bella,27, dia turut terasa hati apabila orang ramai melontarkan kata yang tidak enak kepada Aliff, namun memilih untuk berdiam diri dan tidak melayan kata-kata negatif tersebut atas nasihat suami tercinta.

“Bukanlah mahu kata nak tutup mulut netizen, tapi dia suami saya. Apa yang orang cakap tak baik pasal dia, sebagai isteri saya pun terasa. Tapi dia sangat positif. Dia yang tegur saya suruh berhenti…jangan layan netizen.

“Tapi saya beritahunya…saya nampak awak punya usaha. Kita tak suka bila orang cakap Aliff anak emas Astro. Saya tak suka sebab saya tahu, kita dekat sini berjuang macam mana,” ujarnya menerusi laporan MH.

Dalam pada itu, Bella turut menafikan dakwaan bahawa lagu yang diterima dan dipersembahkan oleh Aliff adalah mudah dan kemenangan pelantun lagu Sayang Sayang itu hanya sekadar mahu menutup mulut netizen.

“Ada yang cakap lagu Aliff senang. Pada diaorang mungkin senang, tapi tidak bagi Aliff. Dia perlu menari sambil menyanyi, ‘low note’ dia pun selalu kena tegur. Jadi kita cuba perbaiki.

“Ada juga orang tak tahu, misalnya minggu bahasa, kita ‘fight’ untuk lagu Tagalog. Tapi tak dapat, sebaliknya dapat lagu bahasa Melayu. Kita tak tahu nak jelaskan macam mana.

“Aliff marah saya, katanya berhenti daripada menjelaskan kepada mereka (netizen), kalau mereka tak suka, kita tak boleh nak paksa. Asalkan kita tahu niat kita.

“Tapi tak bermakna kemenangan ini nak tutup mulut netizen, rezeki hari ini Allah beri pada Aliff atas usaha dia. Untuk diri dia juga, alhamdulillah,” katanya.

Buat info, Aliff berjaya mengenepikan lima peserta lain iaitu Nikki Palikat, Suki Low, Adibah Noor, Azan Scan dan Aweera, sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 beserta trofi.

Sumber: MediaHiburan